MUHAMMAD Ziyad, Abdul Latif, Ridzuan dan Siti Noor Radiah bersama keluarga selamat tiba di KLIA selepas menunaikan ibadah umrah.
MUHAMMAD Ziyad, Abdul Latif, Ridzuan dan Siti Noor Radiah bersama keluarga selamat tiba di KLIA selepas menunaikan ibadah umrah.
Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: “Banyak negara saya sudah pergi (untuk acara sukan) namun, kali ini adalah untuk menunaikan umrah.

“Pengalaman di sana memang tidak dapat digambarkan dengan perkataan,” kata atlet paraplegik Muhammad Ziyad Zolkefli berkongsi pengalaman beliau sepanjang berada di Tanah Suci untuk menunaikan umrah.

Pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dalam Temasya Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu menunaikan ibadat umrah bersama tiga lagi atlet iaitu Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (pemenang emas 100m T36), Abdul Latif Romly (pemenang emas lompat jauh T20) dan Siti Noor Radiah Ismail (pemenang gangsa lompat jauh T20) tajaan DRB-Hicom Berhad.

Muhammad Ziyad menyifatkan, sekembalinya ke tanah air daripada menunaikan ibadat itu, ia membawa suatu azam baharu dalam dirinya untuk terus maju dalam bidang sukan yang diceburi.

“Saya menyambut tahun baharu di Makkah dan ia suatu pengalaman tidak dapat dilupakan apabila dapat berada di Tanah Suci pada waktu itu.

“Malah, saya berdoa serta berazam di hadapan Kaabah dan semoga permintaan ini dimakbulkan Allah...insya-
Allah,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Komunikasi Kumpulan DRB-Hicom Mahmood Abdul Razak menyambut ketibaan atlet terbabit.

Empat atlet itu tiba ke tanah air jam 12.40 tengah hari dan pemergian mereka menunaikan umrah ditaja DRB-Hicom sebagai ganjaran membawa pulang pingat dalam Temasya Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Selain mereka, pihak DRB-Hicom menaja keluarga atlet terbabit selain wakil Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak media dari pelbagai agensi.

Dalam pada itu, Muhammad Ziyad berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak DRB-Hicom kerana memberi peluang kepadanya serta keluarga untuk menunaikan ibadat bersama.

“Nikmat ketika berada di Tanah Suci suatu perkara yang luar biasa malah, saya juga sempat melawat beberapa tempat termasuk menziarahi makam Nabi Muhammad.

“Selain itu, saya memohon doa untuk menjadi atlet yang baik selain kebahagiaan dan kesejahteraan ibu bapa serta berharap dapat melakar nama lebih jauh berbanding tahun lalu,” katanya.

Abdul Latif pula sependapat dengan Muhammad Ziyad dan berazam untuk terus memberikan yang terbaik terhadap prestasi sukan diceburinya.

“Alhamdulillah dapat pergi menunaikan umrah bersama ibu bapa dan banyak pengalaman yang dipelajari sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya memohon doa untuk kesejahteraan keluarga selain rakan serta mahu terus maju dalam bidang sukan,” katanya.

Rakannya, Mohamad Ridzuan berkata, dia bersyukur dapat menunaikan umrah bersama ibu bapa memandangkan ini kali pertama mereka dapat ke Tanah Suci.

Sementara itu, Mahmood berkata, pihaknya berharap program tajaan umrah itu bukan saja menyuntik semangat empat atlet terbabit malah, mereka yang lain untuk terus meningkatkan prestasi masing-masing sekali gus mengharumkan nama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:23 AM