Hilmi Isa

Sebahagian salaf menjelaskan bahawa dosa pertama kali yang muncul kepada Allah SWT adalah keangkuhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kalian kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali Iblis, ia enggan dan takabur (angkuh) dan ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 34)

Menurut Qatadah iaitu ahli tafsir mengenai ayat itu: “Iblis hasad kepada Adam dengan kemuliaan yang Allah berikan kepadanya.

Iblis mengatakan: “Saya diciptakan daripada api sementara Adam diciptakan daripada tanah.”

Keangkuhan itulah dosa yang pertama kali terjadi. Iblis angkuh dengan tidak mahu sujud kepada Adam.

Realiti pada hari ini, ramai orang bersikap angkuh kerana mempunyai kelebihan pangkat serta harta.

Ada juga manusia angkuh kerana memiliki kelebihan rupa paras.

Suami bersikap angkuh dengan tidak mengendahkan perasaan, pandangan dan pendapat isteri serta anak-anaknya.

Mereka hanya tahu memberikan arahan demi arahan. Akhirnya, si isteri banyak memendam perasaan akibat perbuatan suaminya itu.

Seorang yang mempunyai kedudukan dan pangkat bersikap angkuh kerana berasa diri lebih tahu dalam segala perkara berbanding orang di bawahnya.

Apabila orang bawahan menyuarakan pendapat, dia akan memperlekehkan serta menolak pandangan yang diutarakan itu.

Seorang yang berharta dan kaya bersikap angkuh kerana merasakan dia memiliki segala-galanya dan boleh membeli apa saja dengan kuasa wang.

Tidak kurang juga kisah pembesar yang membeli dan cuba membeli isteri orang.

Seorang yang mempunyai rupa paras menarik pula berasa angkuh kerana dia boleh memikat siapa saja yang dimahukannya.

Dia juga boleh tinggalkan serta mengecewakan sesiapa saja di sekelilingnya.

Ayat angkuh yang selalu kita dengar seperti: “Kau tak nak? Seorang pergi, sepuluh mari.”

Hari ini, orang sanjung kita kerana pangkat. Bolehkah kita menjamin bahawa kita tidak akan diturunkan pangkat atau dibuang kerja atau segala gelaran boleh ditarik semula?

Barangkali sekarang orang sanjung kita kerana harta kekayaan. Namun, bolehkah kita memberi jaminan bahawa empayar bisnes yang kita miliki itu berkekalan?

Hari ini orang sanjung kita kerana rupa dan kecantikan dimiliki. Bolehkah kita jamin bahawa selama-lamanya kulit kita tidak akan berkedut dan badan tidak akan menggelebeh?

Nikmat yang setiap manusia ada hanyalah pinjaman daripada Allah SWT semata-mata.

Pada bila-bila masa Allah boleh tarik semula nikmat yang Dia kurniakan itu. Maha Suci Allah, Dia Maha Kaya, pemilik segala yang di langit dan di bumi.

Dia Maha Pemberi dan Maha Mulia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih adalah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati (tawadhu’) dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqaan, ayat 63)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 12:18 PM