PANDUAN untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya dapat berkhidmat dengan lebih baik dan nawaitu kerana Allah SWT.
PANDUAN untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya dapat berkhidmat dengan lebih baik dan nawaitu kerana Allah SWT.
Asisten Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Moh kita pakat ramai-ramai dengar lagu Datuk Siti Nurhaliza bertajuk '7 Nasihat'. Ditanya mengapa lagu Siti Nurhaliza, kang bubuh lagu lain, puas pula dema 'menGoogle' siapa penyanyinya, maklumlah remaja zaman sekarang bukan kenal sangat penyanyi lama-lama ni.

Jika sebut Siti Nurhaliza, pasti ramai yang kenal penyanyi nombor satu negara itu.

Ada sebab tersendiri penulis memilih lagu itu untuk mengaitkannya dengan kesedaran, tidak sombong termasuk juga dalam bidang kepolisan.

Kesedaran diri dan jangan sombong atau bongkak amat penting pada masa ini kepada semua individu dan sesebuah organisasi tidak kira perkhidmatan awam atau swasta.

Walaupun cuma lagu, tapi lirik amat mendalam dapat diguna pakai dalam kehidupan seharian kita.

Begitu juga dengan bidang keselamatan (kepolisan), jangan kita selalu mendabik dada kerana kita sudah ada pekerjaan berbanding dengan orang lain yang belum ada kerja, lebih-lebih lagi 'Kluster Paku, Bunga, Keris, Pedang dan Tombak'.

Tujuh nasihat dalam lagu itu adalah:

• Nak berjaya jangan sombong

• Dahulukan hormat

• Jaga lidah dan tulisan

• Jangan lupa diri

• Bersihkan hati

• Berbaik budi sesama kita

• Ingat pesan yang tua

Perkataan 'kibir' mengikut istilah bahasa Melayu ertinya sombong atau angkuh.

Pengertian dalam bahasa moden ialah ego.

Mengikut syariat Islam, erti kibir ialah membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan dan keistimewaan sehingga lupa kepada Allah SWT dan menderhakainya.

Pengertian mengikut istilah syariat inilah yang akan dihuraikan di sini.

Sifat kibir atau sombong atau angkuh atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan.

Ia adalah sifat batin (mazmumah) yang paling keji. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat.

Dosa dan kesalahan pertama dilakukan makhluk terhadap Allah SWT ialah sifat sombong.

Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS sewaktu Allah SWT memerintahkannya. Dia membesarkan diri lantaran merasakan dirinya lebih utama dan lebih mulia daripada Nabi Adam a.s.

Kejadiannya daripada api sedangkan Nabi Adam AS daripada tanah. Itu saja penyebab yang dia rasa dirinya lebih hebat dan istimewa.

Peristiwa kesombongan iblis ini diceritakan Allah SWT dalam al-Quran menerusi firman-Nya: "Dan (ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat: 'Sujudlah kepada Adam.' Dia (Iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah daripada golongan musyrik." (al-Baqarah: 34)

Sifat sombong ini hanya layak bagi Allah SWT. Ia pakaian Tuhan, maka makhluk tidak berhak memakainya. Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi: "Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu daripadanya, Aku lemparkan dia ke neraka Jahanam." (Riwayat Abu Daud)

Di antara ayat al-Quran yang sangat melarang kita memakai sifat kibir ini ialah: "Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku, akan masuk ke Neraka Jahanam dalam keadaan hina dina." (Al Mukmin: 60)

"Janganlah kamu berjalan dengan menyombongkan diri kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan ketinggianmu tidak akan melepasi gunung." (al-Israk: 37)

"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong." (an-Nahl: 23)

Rasulullah SAW ada mengingatkan dalam hadis baginda tentang bahayanya sifat sombong.

"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (Riwayat Muslim)

Di antara kesan sifat sombong ialah orang akan benci keadannya dan mudah marah, sedangkan kemarahan akan berakhir dengan perbalahan dan pergaduhan.

Malah, apabila wujud sifat sombong, lahirlah penyakit berikutnya iaitu mudah berdendam, hasad dengki dengan manusia, mudah hendak bertindak balas di atas kesilapan orang lain.

Kesombongan sangat membahayakan sesebuah organisasi lebih-lebih lagi penjawat awam yang bertindak sebagai pemudah cara kepada kerajaan.

Lantaran itu, Allah SWT sangat murka dan tempatkan mereka ini di dalam neraka bersama Firaun, Namrud, Hamman dan lain-lain orang yang zalim dan angkuh itu.

Renung-renungkanlah wahai penjawat awam di luar sana, khasnya panduan untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kita semua dapat berkhidmat dengan lebih baik dan nawaitu kerana Allah SWT.


Penulis adalah Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:00 AM