Suriany Awaludin

Bagaimana status perkahwinan jika suami merujuk untuk kembali dalam waktu iddah (talak raj’iy), tetapi isteri pula tidak boleh menerima suami.

Mereka tidak lagi tinggal sebumbung lebih dua tahun dan rujuk pula tidak didaftarkan semula.

Bagaimana status isteri itu dan apa tindakan sepatutnya suami lakukan?

Ingin Kepastian, Kuala Lumpur

Aturan untuk merujuk isteri dalam talak raj’ie diperuntukkan di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi pasangan yang ingin merujuk iaitu:

1. Suami hendaklah melafazkan niat untuk merujuk bekas isterinya.

2. Bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas rujuk itu. Selepas itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke Mahkamah Syariah untuk mendaftarkan rujuk.

Kemudian, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri.

Selepas proses rujuk itu lengkap, barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya. Itu adalah sebagaimana dinyatakan di dalam Seksyen 51 (8) sebagaimana berikut:

Jika selepas talak raj’iy suami melafazkan rujuk dan isteri bersetuju terhadap rujuk itu, isteri boleh atas permohonan suami, diperintah oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri menunjukkan sebab yang baik mengikut hukum syarak sebaliknya, dan jika demikian halnya, mahkamah hendaklah melantik jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

Sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 51(8) itu, suami boleh memohon kepada Mahkamah Syariah perintah supaya isterinya kembali taat dan hidup semula sebagai suami isteri.

Namun jika isteri mempunyai alasan munasabah dan diterima oleh syarak, enggan kembali atau hidup semula sebagai suami isteri setelah bersetuju dengan rujuk itu, isteri boleh menyatakan alasan dan sebab kepada mahkamah.

Setelah didengar, mahkamah akan mengarahkan tindakan atau kes itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai.

Seterusnya peruntukan cerai di bawah Seksyen 47 adalah terpakai dalam isu berkenaan.

Sekiranya isteri enggan bersetuju dari peringkat awal suami menyatakan hasrat dan merujuk isterinya serta isteri enggan kembali tinggal bersama dengan suami, tindakan lanjut adalah sebagaimana Seksyen 58 (9):

Jika selepas talak raj’iy suami melafazkan rujuk, tetapi isteri tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab yang dibenarkan oleh hukum syarak, dia tidak boleh diperintah mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

Jelas, bagi persoalan diajukan pada minggu ini, tindakan isteri enggan menerima kembali suami serta tinggal berasingan secara berterusan sehingga dua tahun boleh dikategorikan tertakluk kepada peruntukan di dalam Seksyen 51(9) di atas.

Walau bagaimanapun, tindakan lanjut perlu dimulakan suami atau isteri bagi merungkaikan masalah berkenaan.

Adakah isteri mempunyai alasan dibenarkan syarak atau isteri sengaja ingkar tanpa alasan munasabah.

Apapun keadaannya, apabila suami melafazkan rujuk, maka rujuk itu menjadi sah setelah rukun dan syaratnya dipenuhi.

Jika rujuk sudah sah dan pasangan kembali sebagai suami isteri, segala tanggungjawab terhadap perkahwinan perlu ditunaikan.

Bagi pihak isteri pula, jika mempunyai alasan yang dirasakan perlu dan patut untuk beliau enggan kembali kepangkuan suami, isteri perlu memaklumkannya kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian membuat keputusan sama ada perkahwinan itu di rujuk kepada Jawatankuasa Pendamai atau sebaliknya.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 12:48 PM