DUA lelaki Palestin rela mengharungi ancaman tentera Israel ke Masjidil al-Aqsa untuk menunaikan ibadat pada bulan Ramadan.
DUA lelaki Palestin rela mengharungi ancaman tentera Israel ke Masjidil al-Aqsa untuk menunaikan ibadat pada bulan Ramadan.
Mohd Shahrizal Nasir

Sekarang kita berada pada 10 malam akhir Ramadan. Ia menjadi kemuncak untuk mencari suatu malam yang sangat mulia, dengan beramal ibadat padanya lebih baik daripada seribu bulan.

Ruangan kali ini akan membicarakan mengenai Lailatulqadar atau Malam al-Qadar agar dapat menambah semangat dan motivasi dalam diri untuk menggandakan amalan pada malam berkenaan dan malam lain akhir Ramadan.

Keistimewaan Lailatulqadar dinyatakan dalam al-Quran, maksudnya: “Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

“Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perintah (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 3 hingga 5)

Rasulullah SAW menganjurkan kita mendapatkan Lailatulqadar, sebagaimana dapat difahami dalam satu hadis: “Sesiapa daripada kamu mencari Lailatulqadar, hendaknya dia mencarinya pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadan.” (Muttafaq alaih)

Dalil al-Quran dan hadis ini menjadi petunjuk jelas mengenai keistimewaan malam yang mulia itu untuk dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus menambah kebaikan dalam surat amalan masing- masing.

Tempoh usia dianugerahkan Allah kepada kita umat Nabi Muhammad SAW tidaklah lama iaitu sekitar 60 tahun ataupun lebih sedikit.

Maka, dengan rahmat dan kasih sayang Allah jualah kita semua dianugerahkan Lailatulqadar yang amat istimewa itu.

Rasulullah SAW ada menyatakan tanda berkaitan Lailatulqadar. Sabda Baginda SAW, mafhumnya: “Pada pagi hari Lailatulqadar matahari terbit dengan tidak ada sinar yang menyilaukan, (ia) seperti bejana hingga meninggi.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini merujuk kepada tanda berkaitan malam yang mulia itu tetapi pada pagi selepas ia berlaku. Dalam perkataan yang mudah, tanda itu memberi petunjuk Lailatulqadar baru saja berlalu.

Dalam usaha mendapatkan Lailatulqadar, apakah yang perlu kita lakukan? Usah hanya ingin mendapatkannya dalam erti kata sekadar mencari. Malam itu perlu dimanfaatkan dengan amal ibadat kepada-Nya.

Ibadat pula bukan hanya terbatas dalam bentuk khusus dan pada waktu tertentu, sebaliknya lakukanlah sebanyak mungkin amal kebaikan pada setiap sepuluh malam terakhir Ramadan ini agar kita tidak terlepas daripada memperoleh keistimewaan Lailatulqadar.

Pintalah keampunan kepada Allah pada malam yang mulia itu. Sebabnya, Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah RA pernah menceritakan: “Saya berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! Apabila saya mengetahui waktu Lailatulqadar, apakah yang mesti saya ucapkan pada saat itu?”

Baginda menjawab: “Katakanlah: Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Keampunan, suka memberi pengampunan, maka ampunilah daku.” (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Rasulullah SAW juga bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang melakukan qiam pada Malam al-Qadar kerana iman dan mengharapkan (pahala) diampuni baginya dosanya yang lalu.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Penulis ialah pensyarah UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:04 AM