KEMAHIRAN mengurut mampu menjana pendapatan tetap.
KEMAHIRAN mengurut mampu menjana pendapatan tetap.
Muhamaad Razis Ismail


SIAPA sangka minat mendalam terhadap bidang urutan tradisional Melayu berjaya meletakkan wanita ini antara tukang urut yang disegani di dalam mahupun di luar negara.

Apa tidaknya, Mazlin Mazlan, 35, bukan calang-calang individu kerana khidmatnya sebagai tukang urut tradisional Melayu bukan sahaja ditagih di negara ini malah turut membawanya sehingga ke Jepun sejak tahun 2017.

Di Jepun, Mazlin bagaikan duta kecil negara apabila bukan sahaja menyediakan perkhidmatan rawatan bersalin dan kelas urutan kepada komuniti Malaysia malah turut menerima permintaan daripada penduduk setempat yang berminat mempelajari teknik urutan Melayu di samping mempromosi keunikan seni urutan ini di luar negara.

Baru-baru ini, dengan kos sendiri, wanita yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu ini sanggup terbang ke negara matahari terbit itu untuk menyertai Asia Massage Championship 2024 di Tokyo bagi kategori urutan berasaskan minyak dan urutan penjagaan badan.

Biarpun tidak berjaya, namun pemilik sebuah spa di Kemaman itu melihat penyertaannya dalam pertandingan terbabit dari sudut positif dalam mengembangkan kerjayanya sebagai tukang urut tradisional di peringkat antarabangsa.

Berkongsi pembabitannya dalam bidang itu, Mazlin berkata, selepas menamatkan pengajian dari Kolej Vokasional Putri Temerloh, Pahang dalam jurusan Seni Kecantikan dan Dandanan Rambut, dia mula menyediakan rawatan urutan badan, muka, dan spa bergerak sebagai pendapatan sampingan.

Katanya, biarpun menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di sebuah kolej di Perak, dia menolak kerana lebih cenderung untuk meneruskan pekerjaan dalam bidang urutan.

"Saya tidak pernah merancang untuk menjadi tukang urut, namun segalanya berubah selepas mendapat maklum balas positif dalam kalangan pelanggan.

"Biarpun pernah menerima bayaran RM5 dan RM10 namun bukan nilai wang menjadi ukuran kerana melalui pengalaman ini saya belajar pertingkatkan seni urutan. Pada masa sama, sebagai tukang urut, saya bebas mengurus masa sendiri antara kerjaya, keluarga dan diri.

"Alhamdulillah dengan dorongan daripada ibu Allahyarham Hamimah Yang, bapa serta sokongan suami, Baihaki Mohd Yusoff, saya dapat melangkah jauh sehingga berjaya membuka dua cawangan spa.

"Malah siapa sangka, melalui bidang urutan, saya dapat menjejakkan kaki ke negara matahari terbit (Jepun) untuk memperkenalkan keunikan seni urutan tradisional Melayu supaya lebih dikenali di peringkat antarabangsa," katanya,

Menurutnya, urutan adalah salah satu rawatan yang sangat diperlukan terutamanya untuk kesihatan dalaman yang bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan dan kesakitan fizikal, malah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan keseluruhan individu.

Oleh itu, sebagai tukang urut, berpeluang membantu pelanggan yang memerlukan khidmat pulih dari sakit sentiasa menjadi keutamaannya.

"Setiap maklum balas yang positif adalah penghargaan dan pembakar semangat untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.

"Ia juga memberi pengalaman untuk saya memperbaiki kemahiran seni urutan," katanya.

Biarpun begitu, Mazlin tidak menafikan, masih terdapat segelintir masyarakat yang sering mengaitkan tukang urut dengan gejala tidak sihat dan tidak menjanjikan masa depan yang cerah.

"Sebagai individu yang sudah lama terbabit dalam bidang ini sejak berusia 17 tahun, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mengubah persepsi ini dengan menunjukkan profesionalisme dalam aspek kerjaya," katanya.

Mengulas lanjut, kesedaran masyarakat terutama golongan muda untuk menceburi bidang urutan perlu dipertingkatkan.

"Golongan muda harus diberi galakan untuk mempelajari dan menguasai kemahiran urutan. Ini bukan sahaja memberikan mereka peluang menjana pendapatan, tetapi juga menyediakan satu kerjaya yang berpotensi untuk berkembang.

"Menerusi latihan yang betul dan pengalaman yang mencukupi, golongan muda boleh mengembangkan kemahiran mereka dan menjadi ahli terapi urut yang profesional. Ini juga membuka peluang untuk mereka membuka perniagaan sendiri, seperti spa atau pusat kesihatan, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka dan mempromosikan warisan urutan tradisional dalam budaya kita," katanya.

Dia menasihatkan wanita yang ingin menceburi bidang ini supaya menguasai kemahiran mengurut sebagai satu cara untuk menjana ekonomi dan mencapai kebebasan kewangan.

"Memiliki kemahiran ini memberikan banyak manfaat dan membuka pelbagai peluang, terutamanya dalam memastikan anda tidak bergantung sepenuhnya kepada lelaki atau pihak lain untuk kelangsungan hidup.

"Kemahiran mengurut bukan sahaja membolehkan anda menawarkan perkhidmatan yang sangat diperlukan oleh masyarakat, tetapi juga membina asas untuk perniagaan yang boleh berkembang," katanya.

Berkongsi perancangan masa hadapan, Mazlin berhasrat terus mengembangkan dan memperkenalkan budaya urutan Malaysia kepada dunia dengan menjadi duta yang lebih aktif mempromosikan keunikan ini.

"Untuk mencapai matlamat ini, saya merancang membabitkan diri dalam lebih banyak acara dan festival antarabangsa yang berkaitan bidang urutan serta menjalin hubungan yang lebih kukuh dengan komuniti urutan di seluruh dunia bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman.

"Selain itu, saya berhasrat untuk menyusun program-program latihan dan bengkel yang bertujuan untuk mengajar teknik-teknik urutan tradisional Melayu kepada orang ramai terutamanya di luar negara. Ini akan membantu memperluas pengaruh budaya urutan dari Malaysia dan memastikan warisan ini terus hidup dan berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 7:00 AM