LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.
Tuan Asri Tuan Hussein

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), kelmarin memperkenalkan Urutan Malaysia yang menggabungkan teknik urutan kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Pribumi sebagai produk baru pelancongan negara.

Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Urutan Malaysia yang diilhamkan pakar dan penggiat industri spa negara ini diolah mengikut acuan Malaysia diharap dapat bersaing dengan urutan negara lain yang kini membanjiri premis spa di negara ini.

Ya, siapa yang tak kenal dengan ‘Thai massage’ atau urutan Siam, begitu juga dengan urutan Bali dari Indonesia. Dua kaedah urutan ini amat popular dengan premisnya boleh didapati di mana-mana saja, bukan setakat di Malaysia tetapi di merata dunia.

Justeru, saya memuji usaha MOTAC ini dan menganggap ia diperkenalkan amat tepat pada masanya iaitu pada ketika rakyat negara ini seakan-akan hampir hilang jati diri dengan segala aspek kegiatan ekonomi dikuasai warga asing.

Bercakap soal urut, bukan lagi rahsia sebenarnya ada dua jenis urut. Pertama, yang bersih atau asli dan satu lagi, yang berunsurkan seks atau disebut juga urut batin.

Lebih parah lagi, ada juga yang mempromosi premis perniagaan mereka sebagai pusat kesihatan, spa atau pusat refleksologi, namun khidmat yang ditawarkan sebenarnya lebih menjurus kepada pelacuran.

Tukang urutnya pula sebahagian besar bukan warga tempatan. Selain wanita warga Thai dan Indonesia yang kononnya pakar urutan Siam dan Bali, ramai juga wanita dari China yang kononnya pakar urut dengan kaedah tradisional negara itu.

Hakikatnya, ramai yang hanya ‘main wayang’ kerana kepakaran mengurut tidak sehebat mana, sebaliknya lebih menawarkan khidmat seks.

Isu rumah urut kini menjadi bertambah panas apabila tujuh anggota dan pegawai polis termasuk dua Ketua Polis Daerah yang bertugas di Melaka Tengah serta Jasin kini direman kerana disyaki menerima rasuah daripada pengusaha rumah urut.

Seorang daripada mereka yang berpangkat koperal dan bertugas di Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ditahan bersama wang tunai RM800,000 yang disembunyikan di dalam stor rumahnya.

Turut ditahan ialah empat orang awam termasuk seorang pengusaha pusat judi tidak berlesen yang dikatakan mempunyai ‘kuasa’ dan pengaruh untuk menukar mana-mana pegawai polis yang tidak bekerjasama dengannya.

Melihat kepada rentetan perkembangan yang berlaku, ia jelas membuktikan memang banyak perkara yang tidak kena dalam industri atau perniagaan khidmat urutan di negara ini.

Ringkas kata, khidmat urutan mudah dipandang serong dan dikaitkan dengan seks. Tukang urut ‘geli-geli’ ini pula kebanyakannya wanita warga asing, termasuk yang menjadi mangsa eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

Biarpun melakukan kegiatan tidak bermoral dan bertentangan undang-undang, premis menawarkan khidmat urutan seks dan pelacuran ini tumbuh bak cendawan selepas hujan di negara ini disebabkan ada anggota penguat kuasa undang-undang yang menerima rasuah.

Begitulah skrip yang tertulis setakat ini. Persoalannya sekarang, mampukah khidmat urutan seks ini dihapuskan dan dibersihkan? Mampukah juga khidmat Urutan Malaysia menjadi alternatif kepada urut Siam, Bali dan China?

Sukar sebenarnya untuk memberi jawapan kepada soalan ini. Bagi saya, pokok pangkalnya di sini ialah kesungguhan, ketulusan dan kejujuran. Jika pihak berkuasa benar-benar jujur untuk menghentikan kewujudan premis urut yang menyediakan khidmat seks, mereka boleh melakukannya.

Aktiviti pemberian wang perlindungan atau rasuah oleh pengusaha rumah urut berunsur seks kepada polis atau pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengeluarkan lesen, harus dibanteras habis-habisan.

Ia sama seperti yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri ketika mengulas isu penahanan 16 anggota dan pegawai polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah minggu lalu.

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, siasatan menyeluruh harus diperluaskan dengan turut membabitkan peringkat ibu pejabat kontinjen negeri (IPK) dan daerah.

Ini bermakna, siasatan terhadap anggota dan pegawai polis yang menerima rasuah untuk melindungi rumah urut berunsur seks juga harus diperluaskan ke negeri lain dan tidak terhenti setakat di Melaka.

Saya percaya, jika siasatan secara telus dan menyeluruh di negeri-negeri lain, akan terbongkar salah laku serupa. Sekali lagi saya ulangi, pokok pangkalnya di sini ialah kesungguhan, ketulusan dan kejujuran.

Jika tiga elemen ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan, barulah 100 peratus premis khidmat urutan di negara kita bebas daripada unsur seksual dan negatif, sekali gus membuka laluan yang luas untuk Urutan Malaysia berkembang dengan jaya.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:44 AM