Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO) Intelek Muda Nasional (Intelek) menerima banyak aduan mengenai tekanan hidup akibat pengabaian dan tunggakan nafkah di seluruh negara.

Pengarah Komunikasi dan Medianya Erni Zawawi berkata, ia termasuk kes ibu tunggal bergelut untuk mencari sesuap nasi dan membesarkan anak-anak selepas ditinggalkan suami.

Katanya, kes digantung tidak bertali paling banyak diterima ketika proses mengumpulkan maklumat penerima sumbangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kehidupan mereka semakin mencabar sejak penularan wabak Covid-19 apabila PKP berkuat kuasa pada tahun lalu.

"Tambahan pula, ibu tunggal ini mempunyai tanggungan termasuk anak-anak masih kecil selain menjaga ibu bapa yang tua, sakit dan uzur," katanya.

Menurutnya, Intelek menggerakkan usaha termasuk penghantaran bantuan bekalan makanan, keperluan asas secara percuma dan wang tunai serta sokongan kesihatan mental kepada golongan itu.

Katanya, pihaknya juga menjejaki ibu tunggal yang dikategorikan sebagai golongan asnaf untuk membantu mereka.

"Ada juga antara (ibu tunggal) yang masih dalam proses perceraian di mahkamah sejak PKP 1.0 lagi tidak menerima nafkah daripada bekas suami.

"Malah, ada yang tidak dapat bekerja ketika PKP, tetapi terpaksa menggalas peranan sebagai ketua keluarga. Maka Intelek membantu ibu tunggal yang hidup dalam kesukaran melalui dana projek Bantuan Kasih PKP sejak tahun lalu.

"Kita berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu bagi memastikan nasib anak-anak serta ibu tunggal ini terjamin ketika keadaan masih lagi tidak menentu sekarang ini ," katanya.

Berita berkaitan

'Doakan saya boleh bertahan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 11:35 AM