AYAM dibakar antara 35 hingga 45 minit bergantung kepada saiz.
AYAM dibakar antara 35 hingga 45 minit bergantung kepada saiz.
Hafiz Ithnin


AYAM percik antara menu yang popular di negara ini. Baunya sahaja mampu membuka selera. Apatah lagi, jika melihat hidangan itu di depan mata.

Chef peribadi, Wan Muhammad Syahmi Wan Roshdee berkata, ayam percik adalah berasal dari pantai timur dan begitu digemari ramai kerana rasanya yang cukup lazat.

Jelasnya, ramai yang beranggapan menyediakan resipi ayam percik sesuatu yang rumit. Hakikatnya, menyediakan hidangan itu adalah mudah.

"Saya sendiri menggemari hidangan ini. Pada awalnya, sebelum mempelajari resipinya pasti mempunyai persepsi yang sama iaitu sukar untuk menyediakannya.

"Namun, saya mempelajari cara menyediakan hidangan ini menerusi ibu tercinta kerana di Kuala Lumpur agak sukar untuk mendapatkan ayam percik merah yang kena dengan cita rasa sendiri," katanya.

Justeru, Wan Muhammad Syahmi berkongsi resipi menyediakan ayam percik merah untuk pembaca Wanita Metro (WM):

Resipi ayam percik

Bahan-bahan

1. Satu ekor ayam yang dipotong empat.

2. Bahan untuk kisar halus (perapan):

- 150 gram serai

- 100 gram bawang putih

- 80 gram halia

3. Bahan untuk kuah percik:

- Setengah kilogram (kg) peket santan

- 200 gram serai

- 35 gram halia

- 150 gram cili kering

- Setengah kg bawang merah

- Garam secukup rasa

- 250 gram gula melaka

- Satu sudu teh asam jawa

- 400 gram minyak masak

Langkah memasak ayam percik

1. Sediakan bahan kisar dan perap ayam sekurang-kurangnya satu jam atau semalaman.

2. Masukkan minyak dan tumis bahan kisar serta masukkan cili kering yang dikisar halus. Masak sehingga pecah minyak.

3. Selesai, pecah minyak masukkan santan sedikit demi sedikit. Biarkan sehingga kuah mendidih.

4. Masukkan garam, gula melaka dan perasa secukupnya dan tunggu sehingga mendidih.

5. Sediakan air bancuhan tepung beras, perlahankan api masakan dan masukkan sedikit demi sedikit sehingga dan kacau hingga kepekatan yang diinginkan.

6. Selesai kuah. Boleh sediakan tempat membakar dan ayam perap tadi sedia untuk dibakar (anggaran tempoh membakar 35 hingga 45 minit bergantung pada saiz ayam).

7. Apabila ayam sudah siap dibakar, tuangkan kuah percik dan siap untuk dihidangkan!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 6:55 AM