WANITA perlu ketahui serba sedikit berkenaan hak mereka supaya boleh dijadikan panduan. - Gambar hiasan
WANITA perlu ketahui serba sedikit berkenaan hak mereka supaya boleh dijadikan panduan. - Gambar hiasan
Muhammad Saufi Hassan

SETIAP wanita pada hari ini perlu mengetahui hak mereka di dalam tuntutan harta khususnya selepas ketiadaan suami supaya tidak dimanipulasi pihak ketiga.

Hak golongan berkenaan dalam menuntut harta sebenarnya dipelihara baik dari segi agama Islam yang suci mahupun perundangan.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, seorang isteri mempunyai dua hak terhadap suaminya iaitu harta sepencarian yang mampu mencecah sehingga 50 peratus dan bahagian faraid isteri.

Menurutnya, bagi pembahagian faraid, isteri berhak untuk mendapatkan satu per empat jika arwah suami tidak mempunyai anak dan hak satu per lapan jika arwah suami mempunyai

anak.

"Sebagai contoh, jika suami berpoligami atau pernah berkahwin lain dan mempunyai anak, walaupun bukan dengan si isteri berkenaan, maka bahagian faraid isteri tetap satu per lapan.

HAK wanita dalam tuntutan harta turut dijaga menerusi perundangan. -  Gambar hiasan
HAK wanita dalam tuntutan harta turut dijaga menerusi perundangan. - Gambar hiasan

"Berkaitan harta sepencarian, ia adalah hak yang boleh dituntut si isteri sama ada ketika bercerai dengan suami (ketika hidup) ataupun ketika suami meninggal dunia.

"Sebagai isteri, walaupun tidak sama-sama menyumbang daripada sudut kewangan terhadap harta bersama, tetapi isteri menguruskan rumah tangga dan anak-anak, ini juga dikira sebagai sumbangan terhadap harta terbabit," katanya.

Mahmud berkata, sekiranya bercerai, ataupun suami meninggal dunia, isteri berhak membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.   

"Paling tinggi isteri boleh dapat sehingga 50 peratus daripada harta sepencarian dan ia bergantung kepada keputusan mahkamah.

"Jika suami meninggal dunia, urusan tuntutan harta sepencarian yang dibuat dulu, selepas selesai tuntutan, baki daripada harta pusaka suami berkenaan baru diuruskan mengikut pembahagian faraid pula.

"Dalam harta pusaka suami ini yang bahagian faraid isteri ada dua situasi iaitu satu per empat jika suami tidak pernah mempunyai anak dan satu per lapan sekiranya suami mempunyai anak yang masih hidup," katanya.

Beliau berkata, ini bermakna jika suami meninggal, bahagian harta yang berhak isteri terima adalah harta sepencarian sebanyak mencecah 50 peratus paling tinggi ditambah pula satu per empat dan satu per lapan untuk bahagian faraid.

PENGETAHUAN berkenaan perlu khususnya ketika suami sudah tiada dan wanita mempunyai hak dalam harta serta tuntutan. -  Gambar hiasan
PENGETAHUAN berkenaan perlu khususnya ketika suami sudah tiada dan wanita mempunyai hak dalam harta serta tuntutan. - Gambar hiasan

Menyentuh kepada aspek perundangan, Mahmud berkata, peruntukan secara khusus mengenai tuntutan harta sepencarian oleh isteri selepas kematian suami terkandung dalam Arahan Amalan No 5 Tahun 2003 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Menurutnya, dalam arahan berkenaan menyatakan bahawa masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan sama ada ketika tuntutan perceraian atau selepas perceraian ataupun selepas kematian mana-mana pihak. 

Katanya, mahkamah dalam hal ini boleh menerima mana-mana tuntutan harta sepencarian yang dibuat selepas kematian mana-mana pihak dalam tuntutan berkenaan dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi.

"Ini jelas menunjukkan bahawa isteri dibenarkan untuk menuntut harta sepencarian selepas kematian suaminya. 

"Isteri tidak mempuyai hak secara automatik ke atas harta sepencarian sebaliknya hendaklah mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah, maka mahkamah yang akan menentukan kadar bahagian yang boleh dimiliki isteri berdasarkan kepada pertimbangan tertentu oleh pihak mahkamah," katanya.

Untuk itu, katanya, wanita perlu mengetahui serba sedikit berkenaan hak mereka supaya boleh dijadikan panduan atau jika sudah berdepan dengan situasi itu, perlu merujuk kepada pihak yang lebih arif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 7:00 AM