IBU mengandung boleh bergerak bebas termasuk bersenam, mudahkan proses kelahiran selain jaga kesihatan.
IBU mengandung boleh bergerak bebas termasuk bersenam, mudahkan proses kelahiran selain jaga kesihatan.
Nurul Husna Mahmud


Pengetahuan penjagaan kehamilan atau antenatal sangat penting dalam membantu ibu bapa memahami perubahan dan risiko dialami sepanjang tempoh kehamilan.

Kurangnya pengetahuan berkaitan penjagaan dan rawatan antenatal boleh menjadi halangan atau meningkatkan risiko kepada ibu serta kandungan.

Si ibu umpamanya perlu mendalami atau mempunyai pemahaman jelas berkenaan faktor yang mempengaruhi proses bersalin.

Menurut Jururawat Bidan Hospital Columbia Asia Bukit Jalil, Nur Emilda Raihan Abdullah, masih ramai ibu memandang remeh mengenai penjagaan kehamilan.

"Kebanyakan ibu hamil kurang menyedari betapa pentingnya rawatan kehamilan yang memberi kesedaran mengenai risiko tinggi yang mungkin dialami mereka.

"Apabila hal itu diabaikan atau risiko itu lewat disedari ibu hamil ketika bersalin, mereka mungkin sudah terlambat untuk diselamatkan.

"Situasi itu berlaku kerana kurangnya pengetahuan dan pendedahan terutama dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman," katanya.

Tambah Nur Emilda, proses bersalin secara normal sebenarnya bergantung kepada faktor mental dan fizikal ibu hamil.

"Faktor mental dan fizikal ibu sepanjang proses kehamilan sangat penting. Faktor fizikal yang lebih spesifik adalah berkaitan dengan bentuk punggung yang normal dan sepadan dengan berat bayi.

"Manakala, faktor mental merujuk dengan keadaan psikologi ibu, terutamanya persediaan ketika bersalin.

"Biasalah untuk ibu hamil berasa takut dan bimbang. Kesan daripada itu boleh menyebabkan masalah ketika proses bersalin sehinggakan terpaksa menjalani pembedahan.

"Persiapan ibu hamil dengan menghadiri kelas antenatal menguatkan lagi persediaan mental dan fizikal supaya dapat mengatasi masalah ketika proses bersalin," katanya.

Faktor lain yang juga harus diberi perhatian adalah seperti sejarah penyakit ibu serta ahli keluarga.

Kata Nur Emilda lagi, berdasarkan penelitiannya, ibu yang mempunyai perasaan risau yang berlebihan dan berpanjangan ketika hamil akan berkemungkinan melahirkan anak yang hiperaktif, tidak memberikan kerjasama dalam belajar dan kemahiran komunikasi yang rendah.

"Perkara yang boleh menjejaskan ibu untuk senang bersalin ialah ibu yang mengalami tekanan emosi sehingga mendorong kepada kemurungan dan kegelisahan.

"Selain itu, kehamilan berisiko tinggi selalunya terjadi kepada wanita yang mempunyai sejarah penyakit terdahulu seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, sakit lemah jantung, sakit buah pinggang, anemia dan talasemia.

"Sebaiknya lakukan saringan intensif sepanjang tempoh kehamilan selain lakukan aktiviti terutama senaman yang dapat membantu memudahkan kelahiran," katanya.

Stigma mengenai ibu yang sarat hamil tidak boleh melakukan pergerakan besar dan perlu banyak berehat tidak membantu memudahkan kehamilan.

Aktiviti fizikal atau senaman tertentu bukan sahaja meningkatkan kesihatan ibu dan kandungan, ia juga membantu mengurangkan tekanan.

KELAS antenatal persiapan baik untuk wanita hamil.
KELAS antenatal persiapan baik untuk wanita hamil.

IBU hamil mahu bersalin normal perlukan keadaan fizikal dan mental baik.
IBU hamil mahu bersalin normal perlukan keadaan fizikal dan mental baik.

Rutin senaman disarankan jururawat perbidanan itu lebih giat dilakukan pada trimester ketiga.

"Bagi memudahkan ibu bersalin, doktor akan menyarankan beberapa senaman pada trimester ketiga. Trimester ketiga bermula dari minggu ke-28 dan berakhir dengan kelahiran sekitar minggu ke-40 atau sehingga waktu kelahiran normal.

"Si ibu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Hal ini kerana, setiap ibu mengandung mempunyai risiko tertentu seperti plasenta previa dan lain-lain," katanya.

Antara senaman sesuai dilakukan ibu hamil adalah:

1. Senaman berjalan kaki

Berjalan kaki adalah satu senaman dapat membantu ibu mudah bersalin.

Ia boleh membantu menangani kontraksi. Oleh itu, banyakkan berjalan selepas anda mula mengalami kontraksi. Berjalan kaki juga boleh membantu bayi turun dan berada dalam posisi yang ideal untuk kelahiran.

2. Squat

Untuk melakukan squat' pertama, anda harus berdiri dan kangkang. Kemudian, turunkan badan perlahan-lahan hingga ke posisi mencangkung. Tahan selama 30 saat.

Seterusnya, berdiri semula tanpa bantuan tangan. Ulang langkah ini 10 hingga 20 minit setiap hari. Lama kelamaan, sakit pinggang pun boleh hilang!

3. Senaman angkat punggung dan otot pelvis

Senaman ini boleh dibuat di rumah. Apa yang perlu buat adalah sediakan alas atau tilam yoga untuk baring.

Kemudian, bengkokkan tubuh dan biar tapak kaki terletak pada lantai. Perlahan-lahan angkat punggung anda.Pastikan bahu dan kaki tidak terangkat.

Lakukan senaman ini selama 10 hingga 15 minit setiap hari.

4. Gunakan 'birthing ball' atau bola senaman

Ketika perut makin besar dan anda mula mengalami kontraksi, posisi duduk yang tertentu akan membantu mengurangkan rasa sakit.

Duduk di atas 'birthing ball' adalah salah satu cara yang sesuai dengan ibu mengandung.

Selain daripada senaman terbabit, ibu mengandung boleh mengikuti kelas senaman prenatal seperti yoga, berenang, zumba dan banyak lagi mengikut saranan doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 7:01 AM