LAKUKAN senaman secara berkala ketika mengandung.
LAKUKAN senaman secara berkala ketika mengandung.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MENGANDUNG dan melahirkan anak adalah proses fisiologi normal kurniaan tuhan kepada wanita.

Proses itu membabitkan perubahan bukan sahaja dari segi fisiologi bahkan anatomi (bentuk badan), hormon dan juga mental ataupun psikologi.

Bagi kebanyakan wanita, proses itu dilalui dengan tenang tanpa banyak gangguan.

Namun, ada juga wanita yang melalui perubahan yang tidak normal mendorong ke arah masalah kesihatan mental sekali gus memerlukan intervensi dari segi perubatan mahupun perubahan pada gaya hidup.

Masalah mental yang sering terjadi kepada ibu mengandung ialah masalah kemurungan dan keresahan.

Menurut perkongsian info di portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan (KKM), dianggarkan antara 10 hingga 15 peratus ibu mengandung mengalami masalah itu di sepanjang tempoh kehamilan mereka.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi masalah mental yang boleh berlaku dan ia bergantung kepada banyak faktor iaitu perubahan fizikal akibat pertambahan berat badan, gangguan tidur, kesakitan pada badan gangguan selera makan, ketidakselesaan ketika bersama pasangan, pergerakan yang terhad serta masalah kerap membuang air kecil.

Jangkaan orang sekeliling dan diri sendiri juga boleh mengakibatkan wanita hamil mudah merasa letih secara emosi yang mendorong kepada kekecewaan.

Kesihatan mental wanita hamil biasanya dipengaruhi tiga faktor utama iaitu status kesihatan mental si ibu sebelum mengandung, isu semasa yang mendorong kepada tekanan dan perasaan terhadap kandungan berkenaan.

ISU perubahan fizikal boleh menyumbang kepada gangguan emosi dan masalah mental wanita hamil.
ISU perubahan fizikal boleh menyumbang kepada gangguan emosi dan masalah mental wanita hamil.

Ini kerana ada ibu yang masih tidak bersedia untuk mengandung lagi tetapi hamil akibat tidak melakukan perancangan kehamilan. krisis pada diri ibu mahupun orang sekeliling.

Situasi itu bukan sahaja boleh berlaku pada pasangan yang belum berkahwin malah boleh berlaku kepada pasangan yang sudah berumah tangga.

Jadi, adalah penting bagi ibu mahupun orang di sekeliling untuk mengetahui secara umum tanda-tanda gangguan emosi ataupun masalah mental bagi membolehkan mereka mendapat rawatan secepat mungkin.

Gangguan emosi ataupun masalah mental pada ibu mengandung tidak boleh diambil mudah kerana ia boleh mempengaruhi proses mengandung, bayi dalam kandungan serta semasa dan selepas bersalin kelak.

Jika mengalaminya, ibu tidak perlu berasa malu untuk segera berjumpa dengan doktor, kaunselor ataupun mendapatkan apa sahaja bentuk sokongan yang boleh membantu mereka mengatasi masalah kesihatan mental yang dialami.

Penyelesaian kepada masalah yang dialami tidak semestinya dengan menggunakan ubat sahaja bahkan intervensi psiko sosial lain juga boleh membantu dengan berkesan.

Namun, sekiranya si ibu tidak pernah mengambil ubat dan dicadangkan untuk mengambil ubat, adalah dinasihatkan memahami sepenuhnya tujuan ubat diberikan, kesan samping ubat dan sebagainya.

Kefahaman yang jelas, mengurangkan kebimbangan ibu dan penyakit akan lebih mudah untuk dirawat.

PROSES kehamilan membabitkan pelbagai perubahan.
PROSES kehamilan membabitkan pelbagai perubahan.

Bagi ibu yang tidak memerlukan ubat-ubatan pula, terapi kaunseling dan sebagainya juga boleh membantu mereka.

Apapun penting untuk isteri sentiasa berbincang dengan suami dan ahli keluarga berkenaan masalah yang dialami bagi membolehkan mereka memahami keperluan dan kerisauan yang ada.

Sementara itu, usahalah untuk mendapatkan waktu tidur dan rehat yang mencukupi serta menjaga pemakanan dengan baik.

Belajar mengenal pasti makanan yang boleh menyebabkan rasa tidak selesa, loya dan muntah.

Banyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan dalam diet bagi membantu sistem penghadaman yang lebih lancar.

Selain itu, kenal pasti aktiviti yang boleh menenangkan perasaan dan memperbaiki mood, luangkan masa sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk aktiviti berkenaan, ia pasti membuatkan anda merasa lebih gembira.

Lakukan juga senaman (yang sesuai) secara berkala kerana mengandung bukanlah halangan untuk melakukan senaman yang boleh menyihatkan badan.

Jangan merokok ataupun berada dekat dengan orang yang sedang menghisap rokok untuk kesihatan diri dan bayi anda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 6:30 AM