TIA mempunyai minat sebagai jurutlatih rehabilitasi air sejak di tahun akhir UiTM.
TIA mempunyai minat sebagai jurutlatih rehabilitasi air sejak di tahun akhir UiTM.
Hafiz Ithnin


"SAYA dapat rasakan pelanggan merasa sebak sebaik sahaja berada di dalam air," cerita jurulatih rehabilitasi air wanita ini yang sudah lebih 10 tahun berada di dalam bidang itu.

Sejak tahun akhir pengajian Ijazah Sains Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Bashtiah Nahrul Khair, 35, sudah mendalami terapi menerusi air.

Malah kajian tahun akhirnya juga membabitkan bidang yang sama.

Tidak sekadar itu, dia juga memiliki dua sijil profesional rehabilitasi air dari luar negara iaitu Aquatic Rehabilitation Online Course (AROC) dari Amerika Syarikat pada 2019 dan Hydrotherapy Masterclass dari Singapura pada 2023.

Ibu kepada dua cahaya mata yang lebih mesra disapa Tia itu berkata, dia memulakan kerjaya sebagai jururehabilitasi air pada 2011 di sebuah pusat renang di ibu negara.

"Pada awalnya saya adalah pengajar renang. Apabila pelanggan sering mengadu mengenai masalah pergerakan seperti lutut, leher dan belakang yang menyebabkan mereka tidak boleh melakukan aktiviti sukan di darat. Jadi, saya sarankan untuk melakukan rehabilitasi di dalam air bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

"Rehabilitasi air atau pemulihan di dalam air untuk pelbagai kecederaan sukan ini sebenarnya boleh membantu memudahkan pergerakan mereka yang mengalami pelbagai kecederaan sukan kerana berat badan mereka ditampung oleh air," katanya.

Sejak 2020, Tia membuka pusat rehabilitasi air sendiri yang menawarkan perkhidmatan itu kepada mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, sejak dia aktif sebagai jurulatih rehabilitasi, pelbagai pelanggan terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), warga emas dan juga mereka yang tercedera akibat aktiviti sukan sudah menjadi pelanggannya.

"Paling mencabar pastinya untuk mengendalikan kanak-kanak autisme atau down sindrom kerana saya kadang-kala tidak dapat membaca situasi mereka yang mudah untuk berubah tanpa dapat dijangka.

"Jadi, saya perlu amat berhati-hati ketika mengendalikan mereka ketika menjalani terapi di dalam air. Justeru, keselamatan menjadi perkara yang paling diutamakan," katanya.

Tambahnya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila mengendalikan pelanggan dalam kalangan OKU yang menggunakan kerusi roda.

"Kita boleh rasa perasaan mereka yang begitu sebak sebenarnya apabila dapat bergerak bebas di dalam air meskipun kaki mereka tidak dapat bergerak.

"Jadi, rehabilitasi air ini juga secara tidak langsung membantu dari segi psikologi OKU supaya mereka merasa tenang dan bebas ketika di dalam air. Perkara ini kerana berat badan mereka sudah ditampung air menyebabkan pergerakan menjadi lebih mudah," katanya.

Katanya lagi, begitu juga dengan warga emas yang biasanya mengalami strok menyebabkan mereka tidak mahu melakukan rehabilitasi kerana khuatir tidak mampu bergerak.

"Apabila berada di dalam air, mereka boleh melakukan rehabilitasi yang saya ajarkan dengan mudah dan perkara ini menjadikan warga emas yang mengalami strok itu terus berusaha untuk merawat keadaan diri yang tidak boleh bergerak," katanya.

Ketika ditanya mengenai pembabitan wanita yang mempunyai kerjaya sepertinya, Tia berkata, di Malaysia mungkin hanya dia sahaja wanita tempatan yang 'menawarkan' rehabilitasi air.

"Memandangkan saya berada di dalam kerjaya rawatan, saya mempunyai kumpulan yang terdiri daripada doktor perubatan dan jurulatih fisioterapi. Supaya pelanggan saya dapat melakukan rawatan secara inklusif.

"Selain itu, ia juga memberi lebih kepercayaan dalam kalangan pesakit untuk melakukan rehabilitasi air kerana kami mempunyai doktor perubatan tersendiri," katanya.

Bercerita mengenai keseronokan kerjaya sebagai jurulatih rehabilitasi katanya, pastinya apabila pesakit yang datang dapat bergerak seperti biasa.

"Saya seronok berada di dalam bidang ini kerana boleh merasakan perasaan pelanggan yang mengalami pelbagai masalah kecederaan sukan ini ingin berjuang merawat diri mereka.

"Saya jurulatih rehabilitasi hanya sebagai pembantu sahaja. Perkara paling utama ialah kita ingin mereka bersemangat untuk kembali pulih terutama warga emas dan membantu OKU supaya ada peningkatan dalam pergerakan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 7:00 AM