PENCARI kerja orang kurang upaya (OKU) mendengar penerangan daripada wakil majikan di Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans di MITC Ayer Keroh. STR/NURALIAWATI SABRI
PENCARI kerja orang kurang upaya (OKU) mendengar penerangan daripada wakil majikan di Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans di MITC Ayer Keroh. STR/NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri

Melaka: Tetap bersemangat mengubah nasib serta memiliki kerjaya tetap walaupun dalam keadaan cacat kekal.

Kemahuan tinggi itu ditunjukkan beberapa orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda dan bertongkat yang mencari peluang pekerjaan di Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka Careertrans di sini tadi.

Dengan lebih 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan, mereka berusaha mencari kekosongan jawatan bersesuaian dengan keadaan fizikal.

Salah seorang OKU, Mohd Nor Azizi Che Pa, 32, berkata, kaki kanannya terpaksa dipotong dari paras lutut akibat kemalangan motosikal dua tahun lalu.

Menurutnya, selepas beberapa tahun tidak bekerja, dia kembali untuk mengubah hidupnya.

"Alhamdulillah, saya kembali bersemangat dan perlu mencabar diri untuk bekerja meskipun keadaan diri tidak sama seperti dulu.

"Dulu saya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Namun kali ini saya perlu mencari bidang bersesuaian seperti perhotelan," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran karnival itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini.

Mohd Nor Aziz yang kini sedang menjalani proses rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi PERKESO, Melaka berkata, dia berharap akan ada majikan yang sudi mengambilnya bekerja.

"Kaki palsu pun sudah siap dan tidak jadi masalah untuk bekerja," katanya.

Seorang lagi pencari kerja OKU, Nur Afifah Farihah Zakaria, 25, berkata, dia hadir ke karnival itu untuk mencari pekerjaan sesuai dengan keadaan dirinya yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya.

"Sebelum ini saya kerja di sebuah kilang. Namun kecacatan yang dialami menyebabkan doktor memaklumkan kerja itu tidak lagi sesuai dengan keadaan saya.

"Jadi ini saya datang ke sini untuk mencari skop kerja yang sesuai. Kalau ikutkan saya ingin mencuba dalam bidang rekaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 5:11 PM