WARNA gincu penting agar penampilan tampak mudah didekati.
WARNA gincu penting agar penampilan tampak mudah didekati.
Nurul Husna Mahmud


SOLEKAN menjadi elemen utama tatarias wajah kerana ia bukan sahaja mampu menonjolkan penampilan malah ia juga membantu meningkatkan keyakinan diri wanita.

Setiap wanita memiliki 'preference' atau cita rasa tersendiri apabila memilih tona atau gaya solekan.

Namun faktor senario atau latar acara perlu dihadiri antara perkara dipertimbangkan dalam memilih jenis solekan yang sesuai.

Kali ini seorang jurusolek dengan pengalaman lebih 6 tahun, Eiyma Jalil berkongsi beberapa tip penting untuk solekan ke pejabat.

Kata Eiyma, penampilan ke pejabat biasanya 'sinonim' dengan imej kemas dan perlu solekan tidak mengambil begitu banyak masa.

"Pandangan saya untuk ke pejabat, solekan tidak sarat tetapi boleh menonjolkan pesona profesionalisme individu perlu diketengahkan.

"Bergantung juga kepada situasi kerana ada individu bekerja di bahagian hadapan seperti kaunter atau memerlukan mereka bertemu dengan klien, solekan itu perlu bagi membantu tampak lebih mesra atau 'welcoming.'

"Saya sendiri selalu tekankan kalau bahagian pemasaran atau jualan, mereka perlu kenakan solekan yang lebih 'lembut' dan menyejukkan mata memandang," katanya.

GAYA ringkas sesuai untuk penampilan pejabat.
GAYA ringkas sesuai untuk penampilan pejabat.

Kesilapan ramai wanita dalam sektor itu kerana memilih solekan berat pada mata atau bibir membuatkan mereka tampak garang dan tidak mudah didekati.

"Solekan tidak sesuai contohnya penggunaan tona warna lebih gelap pada mata dan bibir selalunya membuatkan wanita itu kelihatan garang.

"Prospek kerja atau klien mereka tidak sesuai dan itu boleh menjadi penyebab mereka sukar didekati orang kerana salah tafsir dengan penampilan.

"Sebaiknya guna gincu bibir yang lebih lembut dan solekan mata lebih terang atau redup," katanya.

Satu lagi elemen tidak kurang penting dikongsi wanita berusia 40 tahun itu ialah persiapan awal muka sering diabaikan kebanyakan wanita menjadi punca solekan mereka mudah pudar dan tidak tahan lama.

"Proses selalu dilangkau apabila wanita mengenakan solekan ialah 'prep' muka. Tip cukup penting atau protokol dalam mengenakan solekan mengikut cara saya ialah mesti pakai primer.

"Carilah produk yang dua dalam satu atau tiga dalam satu, seperti siap dengan primer, pelembap dan pelindung sinaran ultra ungu (UV).

"Ini memudahkan dan mempercepatkan proses serta primer pada saya adalah langkah yang tidak boleh dilangkau dalam urutan mengenakan solekan.

"Primer ini membantu 'memegang' kemas solekan yang dikenakan dan ia juga membantu memberi keseimbangan kepada tona warna kulit apabila dilapisi dengan pelbagai produk kosmetik," katanya.

Kandungan untuk pelembap muka juga perlulah disesuaikan mengikut jenis kulit dan pakar kecantikan itu berkata untuk kulit Asia terdapat dua jenis kulit.

"Mengenakan pelembap iaitu pada langkah asas atau awal solekan perlulah mengikut jenis kulit. Kulit orang tempatan selalunya berminyak atau kering.

"Jika berminyak pastikan pelembap digunakan adalah 'water based' atau jenis pelembap kandungan air sementara untuk kulit kering mestilah jenis berminyak atau krim.

PEMERAH pipi digunakan untuk menaikkan seri muka.
PEMERAH pipi digunakan untuk menaikkan seri muka.

"Bagi wanita yang memiliki kulit berminyak mengenakan pelembap jenis krim, kemungkinan solekan mereka jadi 'bercapuk' atau bertompok atau merekah bagi kes kulit kering," katanya.

Selepas mengenakan 'base,' boleh gunakan bedak asas atau 'foundation' diikuti dengan kontur untuk hasilkan kesan muka tampak lebih bujur.

Eiyma juga kemaskan teknik 'shading' dengan bedak kompak lebih ringan bersesuaian dengan kulit.

Pada bahagian mata pula untuk solekan gaya ke pejabat, dia menyarankan supaya memilih tona lebih panas (warm) seperti perang terang, jingga atau merah jambu.

"Saya suka teknik 'half moon' pada kelopak mata dan contoh kali ini saya adun dua warna iaitu sedikit perang dengan merah jambu untuk contoh gaya ke pejabat.

"Bagi celak mata saya lebih suka kenakan pada separa mata dan tarik tajam sedikit di hujung mata. Gaya ini 'in trend' kerana mengikut gaya solekan mata dari Korea Selatan," katanya.

Beliau tidak menafikan pengaruh luar seperti gaya artis Korea antara menjadi ikutan wanita tempatan apabila memilih konsep tertentu untuk perincian solekan wajah.

Bagi bahagian bibir, Eiyma menggunakan warna merah yang lebih 'nude' dan tidak begitu terang. Ini membuatkan penampilan wanita tampak lebih mesra dan profesional.

"Pemilihan warna gincu juga penting dan seperti yang saya maklumkan, perlu mengikut kesesuaian kulit serta 'nature' kerja mereka.

SOLEKAN ke pejabat perlu bersesuaian dengan imej formal atau semiformal.
SOLEKAN ke pejabat perlu bersesuaian dengan imej formal atau semiformal.

"Warna merah yang terlalu 'daring' atau 'bold' memberi persepsi salah terutama jika mereka mahu berurusan dengan orang yang pertama kali mereka jumpa.

"Nasihat saya persiapkan gincu bibir dengan warna merah 'nude' memudahkan lagi urusan kerja mereka," katanya.

Biasanya tempoh solekan ke pejabat mengambil masa sekitar 10 hingga 20 minit termasuk 'prep' wajah dan semburan 'setting' mekap untuk kekal lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 7:02 AM