ANTARA cenderamata yang diukir untuk golongan istana.
ANTARA cenderamata yang diukir untuk golongan istana.
Hafiz Ithnin


SIAPA sangka bahan dari belakang rumah rupanya menerbitkan minat mendalam wanita berusia 39 tahun ini menceburi bidang ukiran kayu, sekali gus menjana pendapatan lumayan.

Ibu empat cahaya mata itu juga sebenarnya tidak mempunyai sebarang pendidikan formal dalam bidang perkayuan.

Namun, YouTube menjadi guru kepada wanita ini untuk mengukir pelbagai karya seni yang akhirnya memberi pulangan yang cukup baik kepada dia sekeluarga.

Bagi Nor Hazilawati Buang dari Johor itu dia sebenarnya tidak menyangka 'kayu hanyut' yang diletakkan dan dikumpul suami di belakang rumah hasil pemberian orang kampung mampu menjadi pencetus idea untuknya melakukan kerja seni.

Katanya, kayu hanyut adalah kayu daripada pelbagai jenis pokok bernilai tinggi yang ditebang pemiliknya di kebun untuk dibersihkan antaranya jenis cengal, merbau dan resak.

"Ketika itu pada 2013, di belakang rumah saya ada pondok menempatkan pelbagai kayu hanyut dan saya mula terfikir untuk menjadikannya perabot, tetapi bukan untuk dijual.

"Apabila siap sebuah meja kopi, secara tidak sengaja ada orang berminat membelinya dan bermula dari situ saya timbul minat untuk menerokai lagi cara menghasilkan pelbagai jenis perabot lain untuk dijual," katanya.

Ternyata dari aktiviti tidak disangka itu, kini perabot yang dihasilkan Nor Hazilawati bukan sahaja mendapat perhatian daripada pembeli tempatan, malah sehingga Singapura.

Katanya, kini kayu hanyut yang mempunyai usia ratusan tahun itu dibeli daripada pemilik kebun yang tidak lagi memerlukannya untuk dijadikan perabot dan pelbagai bahan kraf tangan lain.

"Sebenarnya selain daripada perabot seperti meja dan kerusi, saya juga menghasilkan cenderamata seperti arca dan ukiran atas kayu.

"Setakat ini permintaan untuk cenderamata berasaskan kayu juga boleh dikatakan tinggi kerana sentiasa mendapat tempahan," katanya.

Tambahnya lagi, pada mulanya dia hanya melakukan kerja pertukangan itu bersama suami dan kini mempunyai lima pekerja.

Jelasnya, untuk proses membuat perabot dan ukiran kayu memerlukan mesin khas yang tajam.

Sebagai seseorang yang tidak pernah mengendalikan mesin itu sudah semestinya pada awalnya agak khuatir mengenai keselamatan diri.

"Namun, apabila kita mempunyai sifat ingin mendapatkan hasil yang terbaik dan cepat, sudah semestinya memerlukan mesin berkenaan dan perlu ada keberanian untuk mengendalikannya.

"Meskipun pada awalnya agak kekok, tetapi suami banyak memberi tunjuk ajar cara betul untuk memotong kayu kerana khuatir jika berlaku sebarang kemalangan," katanya.

Tambahnya, sejak mempunyai pekerja dia tidak lagi mengendalikan mesin utama seperti mesin memotong kayu dan hanya menumpukan kepada proses mengecat dan kerja mengukir bagi menghasilkan cenderamata.

"Bagi saya, walaupun kita sebagai pemilik sudah mempunyai pekerja, tetapi asas untuk proses menghasilkannya perlu tahu supaya jika kekurangan pekerja misalnya, saya boleh lakukan sendiri.

"Selain itu, bagi saya ia satu ilmu yang menarik walaupun kerja pertukangan ini bukan sinonim dengan kerja perempuan. Namun, dari segi kreativiti dan semangat itu kita ada dan boleh lakukannya," katanya.

Jelasnya lagi, dia berada di bengkel di belakang rumah bermula jam lapan pagi sebaik sahaja selesai menguruskan keperluan anak-anak dan suami.

"Aktiviti harian saya memang di bengkel dan waktu rehat iaitu pada tengah hari saya akan mula ke dapur untuk memasak dan menyediakan persiapan keluarga.

"Bagi saya meskipun mempunyai 'kerjaya' sebagai tukang kayu, tugas sebagai ibu dan isteri perlu dilakukan seperti biasa dan lebih mudah kerana tempat kerja saya hanya di belakang rumah sahaja," katanya.

Akuinya, disiplin juga antara perkara penting walaupun bekerja sendiri.

Setiap hari dia dan pekerja mampu menyiapkan antara dua hingga tiga perabot serta 20 cenderamata, sama ada ukiran atau arca.

"Saya seronok apabila dapat menyiapkan sesuatu produk yang ditempah pembeli kerana ia adalah hasil kerja tangan sendiri.

"Selain itu, apabila melihat sendiri jumlah pelbagai perabot dan cenderamata yang sudah dijual seperti tidak pernah percaya ia adalah hasil usaha kami sendiri," katanya.

Katanya, dia sentiasa melihat wanita bukan sekadar menjadi suri rumah, tetapi sudah boleh melakukan kerja yang didominasi kaum Adam.

"Sebenarnya usaha adalah kunci utama dan jangan pernah putus asa untuk melakukan kerja yang kita inginkan walaupun berasakan ia bukan bidang pekerjaan yang jarang diceburi wanita.

"Apabila kita berusaha dan tidak berputus asa, hasilnya juga bukan sekadar memberi kepuasan, tetapi mampu menjadi mata pencarian baharu kepada kita untuk membantu keluarga," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 7:00 AM