HASIL lukisan digital Nur Athirah.
HASIL lukisan digital Nur Athirah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Meskipun diuji penyakit Atrofi Otot Spina (SMA) jenis dua yang menyebabkan kedua-dua kakinya hilang keupayaan dan memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak, tetapi Allah SWT menganugerahkan bakat melukis luar biasa kepadanya.

Sentuhan emas tangannya bagaikan satu keajaiban kerana dia mampu menghasilkan lukisan yang sangat cantik, menarik dan memukau pandangan.

Malah, hasil seninya itu begitu sempurna dan setanding pelukis profesional lain. Mungkin mereka yang tidak mengenali pelukisnya, pasti tidak menyangka ia adalah karya Nur Athirah Ruzli, 22, yang menderita penyakit SMA sejak usia dua tahun.

Nur Athirah berkata, melukis adalah hobinya dan memiliki bakat itu sejak kecil. Pada usia kanak-kanak juga dia mempunyai cita-cita mahu menjadi pelukis sebagai kerjaya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat merealisasikan cita-citanya, meskipun diuji dengan penyakit itu yang ada kalanya membataskan kemampuannya untuk melukis.

"Selain bakat semula jadi, saya juga mengasah bakat ini perlahan-lahan dan kebanyakan seni melukis ini saya pelajari sendiri daripada internet.

"Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ada mengikuti kelas tutor lukisan selama beberapa bulan untuk meningkatkan kemahiran melukis," katanya.

MENGHIDAP penyakit SMA tidak menghalang Nur Athirah mencapai cita-cita menjadi pelukis.
MENGHIDAP penyakit SMA tidak menghalang Nur Athirah mencapai cita-cita menjadi pelukis.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, hasil kelas tutor itu juga dia mampu melangkah lebih jauh dalam bidang itu yang mana dapat menyertai pameran lukisan di galeri lukisan sekitar Lembah Klang.

"Menerusi pameran ini juga, masyarakat semakin nampak bakat saya dan ada yang berminat membeli lukisan ini.

"Setakat ini saya sudah menjual empat lukisan dan harga lukisan paling mahal ialah RM1,700 untuk satu lukisan pada 2019," katanya.

Katanya, ini membuatkannya lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak karya lukisan bermutu dan menarik.

"Saya suka melukis dalam genre realistik dan banyak lukisan dihasilkan berkaitan alam seperti manusia, tumbuhan dan pemandangan.

"Walaupun medium yang digunakan untuk lukisan ialah campuran media (menggunakan pelbagai jenis warna untuk satu lukisan), tetapi saya lebih banyak menggunakan cat air dan akrilik.

SEBAHAGIAN lukisan dihasilkan Nur Athirah.
SEBAHAGIAN lukisan dihasilkan Nur Athirah.

"Ini kerana pada saya, hasil lukisan menggunakan cat air dan akrilik adalah lebih menarik serta halus," katanya.

Nur Athirah yang menetap di Kajang, Selangor berkata, setakat ini sudah menghasilkan ribuan lukisan yang pelbagai saiz dan tema.

Katanya, sejak pandemik Covid-19, dia beralih daripada lukisan konvensional kepada digital menggunakan iPad yang dipelajari menerusi YouTube.

"Lukisan digital lebih mudah kerana tidak memerlukan banyak bahan untuk mewarna dan dapat menyiapkan lukisan lebih cepat.

"Namun, setiap lukisan yang boleh disiapkan adalah bergantung kepada jenis dan kerumitan lukisan berkenaan," katanya.

Jelasnya, pada masa ini kesihatannya kurang baik dan kerap mengalami kesakitan pada tulang belakang kerana skoliosis. Ia adalah kesan lain daripada penyakit SMA dihidapinya.

MENYERTAI pameran lukisan.
MENYERTAI pameran lukisan.

"Keadaan ini menyebabkan saya tidak boleh duduk lama di kerusi roda untuk melukis dan kerja melukis sedikit terganggu kebelakangan ini.

"Insya-Allah Oktober depan, saya akan menjalani pembedahan untuk skoliosis dan berharap selepas itu tahap kesihatan semakin baik serta dapat kembali aktif melukis," katanya.

Sementara itu, ibu Nur Athirah, Azmiah Ismail, 51, berkata, dia dan suami, Ruzli Zairazi, 51, sentiasa memberi dorongan kepada anaknya aktif dalam bidang lukisan yang diminatinya sejak kecil.

"Malah, turut memberikan kebebasan kepadanya untuk menentukan hal tuju dalam bidang ini. Tentunya kami gembira apabila Nur Athirah menjadikan bakatnya sebagai satu kerjaya kerana memanfaatkan anugerah kurniaan Allah SWT.

"Memang berasa simpati setiap kali melihat Nur Athirah menahan kesakitan dan tidak dapat melukis dalam tempoh lama.

"Namun, Nur Athirah kuat semangat dan masih melukis, tetapi mengikut kemampuannya kerana aktiviti ini sudah sebati dalam dirinya," katanya.

Katanya, dia seperti ibu lain yang berasa sedih apabila anak mempunyai masalah kesihatan dan tidak mengambil masa lama untuk melenyapkan perasaan itu.

Bahkan, Azmiah mengambil keputusan bersara awal sebagai guru untuk menguruskan Nur Athirah dan anak sulungnya yang turut menghidap penyakit SMA.

NUR Athirah (kiri) bersama ibu, Azmiah.
NUR Athirah (kiri) bersama ibu, Azmiah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 7:00 AM