LARIAN denai jarak jauh semakin mendapat perhatian dalam gaya hidup sihat di negara ini.
LARIAN denai jarak jauh semakin mendapat perhatian dalam gaya hidup sihat di negara ini.
Hafiz Ithnin


LARIAN denai semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat larian tempatan. Komunitinya di Malaysia juga semakin berkembang.

Lihat sahaja acara larian denai dianjurkan pelbagai pihak, pasti mendapat sambutan. Tidak hairan juga kuota disediakan penganjur mencecah kepada tahap seratus peratus.

Apatah lagi ketika ini lebih ramai yang menggemari aktiviti gaya hidup sihat dan ingin mencabar diri, larian jarak jauh denai melebihi 42 kilometer (km) atau ultra turut terus popular penyertaannya.

Justeru, dalam Wanita Metro (WM) kali ini kami ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan kepada anda yang ingin menyertai larian denai, terutama dalam acara jarak ultra.

LATIHAN berjadual penting untuk memastikan prestasi larian dalam keadaan baik.
LATIHAN berjadual penting untuk memastikan prestasi larian dalam keadaan baik.

1. Latihan secukupnya

Lakukan latihan intensif termasuk seminggu sekali iaitu anda perlu membuat latihan jarak jauh supaya badan dapat menyesuaikan diri sebelum menyertai acara rasmi.

Pastikan anda memahami setiap latihan kecergasan yang dilakukan mengikut jarak yang dipilih kerana apabila membabitkan jarak dekat, anda bermain dengan kelajuan. Manakala, ultra pula memerlukan kepantasan dan ketahanan endurance.

Jangan sekadar membuat latihan larian secara intensif tanpa mempedulikan latihan menguatkan otot kerana otot yang kuat amat diperlukan.

Dalam latihan juga jangan sesekali tidak mempedulikan hari yang perlu berehat kerana tubuh juga perlu berehat supaya dapat terus memberi prestasi terbaik.

PILIH makanan berkualiti untuk persediaan acara larian.
PILIH makanan berkualiti untuk persediaan acara larian.

2. Pemakanan

Pemakanan adalah perkara pokok dalam melakukan setiap aktiviti harian. Sekiranya anda tidak menjaga pemakanan dengan betul, ia memberi kesan kepada prestasi larian kerana makanan dapat memberi tenaga. Pastikan anda menyusun diet yang betul dengan pengambil sumber protein dan karborhidrat terutamanya. Jangan menikmati makanan pedas apabila sudah hampir dengan tarikh acara perlumbaan kerana khuatir menyebabkan perut anda sakit.

PILIH kasut yang sesuai untuk larian jarak jauh penting.
PILIH kasut yang sesuai untuk larian jarak jauh penting.

3. Pemilihan kasut

Dalam pelbagai alat kelengkapan diri untuk berlari, kasut antara perkara paling penting. Di pasaran ada pelbagai jenis kasut. Pastikan kasut yang anda pilih sesuai untuk larian jarak jauh dan permukaan yang bakal ditempuhi.

Jangan hanya mementingkan jenama kerana kualiti dan prestasi kasut memainkan peranan penting. Contohnya, untuk larian denai, pastikan tapak yang dipilih tidak licin dan mampu memberi kestabilan ketika melalui kawasan berbukit.

4. Makanan tambahan

Di pasaran ketika ini ada pelbagai jenama makanan tambahan yang mampu memberi tenaga kepada pelari jarak jauh. Namun tidak semua makanan tambahan ketika acara larian bermula sesuai dengan anda.

Pastikan anda mencuba dahulu ketika latihan. Makanan tambahan kadangkala mampu memberi tenaga untuk anda meneruskan larian jarak jauh.

5. Persediaan di luar jangka

Perkara ini juga amat penting kerana pada hari acara larian pelbagai situasi boleh berlaku. Pastikan anda membuat persediaan rapi terutama membabitkan ubat-ubatan dan perlindungan diri peribadi.

Perkara ini jangan dipandang remeh kerana kadangkala anda bukan seorang yang mudah mengalami kekejangan otot, tetapi tanpa disangka, ia boleh berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 6:30 AM