ZULKERNAI (tiga,kiri) dan Tomas (tiga,kanan) selepas menanda. FOTO Aziah Azmee
ZULKERNAI (tiga,kiri) dan Tomas (tiga,kanan) selepas menanda. FOTO Aziah Azmee
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


L'OREAL Malaysia julung kalinya mengadakan penampilan korporat selaras dengan komitmen syarikat itu untuk mencipta kecantikan yang menggerakkan dunia.

Sebagai peneraju utama industri kecantikan, L'Oreal percaya dalam memperjuangkan kecantikan inklusif, pelbagai dan pemerkasaan.

Pengarah Urusannya Tomas Hruska berkata, selain itu, syarikat turut bertanggungjawab melakukan sesuatu yang membawa perubahan positif kepada individu, komuniti dan alam sekitar melalui inisiatif diterajui syarikat ini serta jenamanya.

Beliau berkata, tujuannya mencipta kecantikan yang menggerakkan dunia adalah kerana kecantikan ialah suatu keperluan manusia dan mempunyai kuasa inkslusif.

"Berlandaskan kepelbagaian dan keterangkuman, pemerkasaan wanita, kebertanggungjawaban serta inovasi, kami mencipta kecantikan yang dinamik untuk memberi manfaat kepada semua.

"Kami sudah melaksanakannya lebih 20 tahun di Malaysia dan kekal komited untuk melakukan perubahan yang lebih bermakna pada masa hadapan," katanya.

Tomas berkata, L'Oreal untuk masa hadapan adalah matlamat kemampanan kumpulan untuk tahun 2030.

"Dengan cabaran sosial dan alam sekitar semakin meningkat, kami sebagai pemain industri kecantikan terkemuka dunia ini, memacu transformasi ke arah model yang menghormati batasan, mengukuhkan komitmennya terhadap kemampanan serta keterangkuman," katanya.

Dalam majlis sama, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani di antara Bahagian Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan L'Oreal Malaysia.

Timbalan Pengarah Kanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Zulkernai Fauzi berkata, Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang dinamik ini antara KPM dan L'Oreal Malaysia, akan mempunyai beberapa siri inisiatif direka untuk memperkasakan belia Malaysia, meningkatkan kemahiran guru serta memupuk pemindahan ilmu.

"Dengan sokongan L'Oreal, terutamanya untuk Bahagian Pendidikan dan Latihan Vokasional Kementerian Pendidikan, pelajar akan mempunyai akses kepada pelbagai peluang.

"Ia mempercepatkan perkembangan kemahiran, kebolehan dalam industri serta membuka laluan luas dan bermanfaat dalam kerjaya mereka melalui latihan amali serta peluang pekerjaan di L'OrÈal Malaysia juga syarikat-syarikatnya," katanya.

Menurutnya, sepanjang kerjasama lima tahun, tumpuan utama KPM ialah memperkasakan pelajar dalam bidang kosmetologi (ilmu persolekan).

TOMAS ketika menyampaikan ucapan. FOTO Aziah Azmee
TOMAS ketika menyampaikan ucapan. FOTO Aziah Azmee

"KPM mempunyai 86 kolej vokasional di seluruh Malaysia, termasuk 17 institusi pakar dalam kosmetologi. "Kami berharap melalui kerjasama strategik ini pelajar mendapatkan pandangan dan bimbingan perniagaan yang sangat bagus daripada industri kecantikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:21 AM