SOFEA bersama trofi dan replika cek yang diterimanya.
SOFEA bersama trofi dan replika cek yang diterimanya.
Muhamaad Razis Ismail


PERNAH 'terduduk' selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perniagaan snek kulit popiah yang diusahakan sejak 2018.

Kegigihan Sofea Chan Shu Fen Abdullah, 46, untuk terus bertahan ketika berada di saat sukar itu ternyata berbaloi apabila diumumkan sebagai pemenang program Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 anjuran Selangor Youth Community (SAY) dan Entrepreneurship Selangor baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Sofea menerima trofi Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor 2023, geran bernilai RM3,000 dan sijil penyertaan yang disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sofea berkata, perniagaan terjejas teruk disebabkan Covid-19 mengakibatkannya mengalami kerugian besar.

Bagaimanapun, dia tidak pernah berputus asa kerana percaya dan yakin dengan produk yang dihasilkan mempunyai potensi untuk berkembang.

"Kini selepas keadaan kembali pulih, saya melangkah semula untuk mengembangkan perniagaan termasuk dengan menyertai program Liga Usahawan Wanita Selangor 2023.

"Saya beranikan diri keluar daripada zon selesa untuk membuat pembentangan dan menyertai bengkel yang banyak membantu membentuk diri menjadi usahawan yang berilmu dan berani berdepan cabaran.

"Kemenangan yang tidak disangka ini menjadi pembakar semangat untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

NOR Sabrina
NOR Sabrina

Bagi pemenang tempat kedua, Nor Sabrina Nor Saidi, 37, penyakit saraf Chiari Malformation type 1 tidak mematahkan semangatnya untuk membantu suami menjalankan perniagaan jahitan penutup stereng kereta.

"Saya rasa bertuah kerana terpilih menyertai program ini yang dapat membantu memberi ilmu dan semangat kepada usahawan B40 seperti saya untuk terus maju," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, Liga Usahawan Wanita Selangor adalah program memperkasakan wanita dari latar belakang asnaf dan ibu tunggal dalam bidang keusahawanan.

TENGKU Amir Shah menyerahkan replika cek dan sijil penyertaan kepada Sofea (kanan).
TENGKU Amir Shah menyerahkan replika cek dan sijil penyertaan kepada Sofea (kanan).

"Menerusi program ini, kami berikan mereka kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan untuk menjana pendapatan melalui perniagaan.

"Selepas ini, banyak lagi program pengembangan yang boleh diberikan dan jika mereka sudah bersedia, kami tidak menolak kemungkinan untuk membawa usahawan ini ke luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 7:00 AM