AFFENDI kini bergelar usahawan kayu palet yang berjaya.
AFFENDI kini bergelar usahawan kayu palet yang berjaya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEHILANGAN penglihatan mata kiri akibat kemalangan ketika berusia lima tahun tidak menjadi halangan buat Mohd Noor Affendi Abdul Muin, 40, untuk berjaya seperti orang lain.

Biarpun menjadi orang kurang upaya (OKU), namun bekas jurutera itu tetap gigih mengubah nasib diri dan kini berjaya dalam perniagaan kayu palet yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Bapa tiga anak yang mesra dengan panggilan Affendi itu berkata, dia memulakan perniagaan itu selepas ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) oleh syarikat penerbangan tempatnya bekerja selama 15 tahun.

Katanya, berbanding orang lain, dia hanya mempelajari kemahiran pertukangan menerusi YouTube kerana sebelum ini suka bertukang terutama membuat rak kayu serta permainan untuk anak-anaknya.

"Apabila ditawarkan VSS, saya lihat hobi ini berpotensi sebagai perniagaan dan mula aktif membuat pelbagai barangan lain hingga mendapat tempahan daripada jiran dan rakan-rakan.

"Kemudian saya memberanikan diri menyertai Program Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD). Alhamdulillah bertitik tolak dari situ, perniagaan semakin maju hingga tidak menang tangan," katanya selepas diumumkan sebagai pemenang pertama pada majlis Pusingan Akhir SAY LEAD Edisi Keempat di ibu negara, baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, Affendi membawa pulang piala, sijil, geran perniagaan berjumlah RM3,000 selain layak ke peringkat SAY LEAD+.

Hadiah disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Menurut Affendi lagi, dia kini mempunyai tiga pekerja dan melakukan kerja bertukang di bengkel berhampiran rumahnya di Bandar Saujana Putra, Selangor.

TENGKU Amir Shah menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis Pusingan Akhir SAY LEAD Edisi Keempat di ibu negara.
TENGKU Amir Shah menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis Pusingan Akhir SAY LEAD Edisi Keempat di ibu negara.

Kata Affendi, antara produk kayu palet yang dihasilkannya merangkumi rak barangan, almari, meja, kerusi, rumah kucing dan perhiasan rumah.

"Jika ada rezeki, saya berhasrat membuka bilik pameran pula selepas ini dengan pelbagai produk sedia ada yang boleh dibeli terus kerana ketika ini barangan dihasilkan adalah berdasarkan tempahan.

"Ia bukan mudah, namun tidak mustahil kerana jika ada usaha, pasti ada jalannya," katanya.

Pada majlis sama,

pengusaha nasi lemak, Amir Mohsin Mohd Bahrudin pula dipilih memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi pemilik kedai runcit, Irwan Faizuri Johari.

Anugerah Usahawan Harapan pula dimenangi pengusaha perkhidmatan mencuci dan membersih, Nur Aini Mohamad Mashudi, 31, yang juga penghidap bipolar.

Ibu kepada dua cahaya mata itu disahkan menghidap masalah berkenaan pada 2018 selepas berdepan kemurungan dan terpaksa berhenti kerja daripada sebuah syarikat swasta.

Kata Nur Aini, dia kemudian mencuba pelbagai jenis pekerjaan dan perniagaan sebelum memulakan perniagaan itu.

Katanya, pada mulanya dia hanya menjalankan perkhidmatan membersih dan mencuci rumah seorang diri, sebagai terapi selain untuk mencari pendapatan sampingan.

"Namun, tidak sangka ia mendapat sambutan dan saya bersyukur kerana keluarga serta rakan-rakan turut memberikan sokongan.

ANTARA sentuhan tukangan Affendi.
ANTARA sentuhan tukangan Affendi.

"Setakat ini perkhidmatan mencuci dan membersihkan rumah atau premis pejabat hanya di sekitar Kuala Selangor dan saya kini turut dibantu lima pekerja.

"Dalam sehari, sekurang-kurangnya tiga hingga empat rumah dapat dibersihkan dan jika tiada halangan saya ingin mengembangkan perkhidmatan ke luar Kuala Selangor pula selepas ini," katanya.

Sementara itu, SAY LEAD adalah sebuah liga keusahawanan bagi OKU untuk membantu usahawan daripada golongan berkenaan menjana pendapatan stabil melalui perniagaan dan kursus bimbingan perniagaan yang berstruktur.

Tiga pemenang utama akan layak ke peringkat seterusnya iaitu program SAY LEAD+, program bimbingan selama satu tahun untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baharu, digitalisasi perniagaan dan pasaran eksport.

NUR Aini memenangi Anugerah Usahawan Harapan SAY LEAD Edisi Keempat.
NUR Aini memenangi Anugerah Usahawan Harapan SAY LEAD Edisi Keempat.

Ia adalah inisiatif Selangor Youth Community (SAY) yang diasaskan Tengku Amir Shah sendiri.

Menariknya, edisi kali ini turut disertai usahawan OKU pekak dan bisu yang menunjukkan potensi hebat seperti usahawan OKU lain.

Dengan dibantu Jurubahasa Isyarat (JBI) ketika sesi pembentangan membuktikan mereka mampu dan ingin ke depan seperti yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 7:00 AM