MERAIH anugerah jadi detik manis dalam kerjaya sebagai pengadil bola sepak.
MERAIH anugerah jadi detik manis dalam kerjaya sebagai pengadil bola sepak.
Hafiz Ithnin


Sisi pencapaian anak ketiga dari lima beradik ini dalam dunia sukan tampak manis dari pandangan mata.

Di sebaliknya kata-kata makian dan cacian terpaksa ditelan untuk dia berada di posisi itu.

Bagi anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, kata-kata kesat yang diterima tidak sedikit pun menjatuhkan semangatnya yang bertugas sebagai pengadil dalam arena bola sepak.

Berdepan pemain, jurulatih atau peminat yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diambilnya ketika perlawanan bola sepak berlangsung sebagai pengadil sudah menjadi parut tidak berbisa untuk wanita berusia 24 tahun itu.

Melakar sejarah sebagai pengadil termuda Malaysia pada usia 14 tahun, pemilik nama Nurul Ain Izatty Zainal itu juga menikmati pelbagai pengalaman manis dalam dunia perlawanan bola sepak. Antaranya berpeluang mengembara ke luar negara dan sentiasa kekal cergas.

Akuinya, itu antara asam garam menjadi pengadil yang sememangnya memerlukan kekuatan mental dan fizikal cukup kuat untuk berada di atas padang.

"Saya bukan sekadar mengadili pasukan bola sepak wanita sahaja, malah lelaki. Jadi, pelbagai cabaran perlu ditempuhi ketika bertugas.

"Malah, saya masih ingat pada usia 14 tahun, saya sudah pun menjadi pengadil dan dimaki pemain kerana tidak berpuas hati. Saya masih budak ketika itu. Rasa mahu menangis pun ada, tetapi ia menjadi pengalaman untuk saya lebih matang dan terus berada dalam kerjaya ini," katanya.

Dia yang lebih mesra disapa Ain berkata, pada usianya 17 tahun dia sudah menjadi pengadil bagi perlawanan bola sepak liga Malaysia dan masih berkhidmat sehingga kini.

AIN (tiga dari kanan) bercita-cita untuk layak menjadi pengadil Fifa.
AIN (tiga dari kanan) bercita-cita untuk layak menjadi pengadil Fifa.

Katanya, di Malaysia tidak ramai wanita menjadi pengadil perlawanan bola sepak kebangsaan kerana termasuk dirinya hanya lima orang sahaja.

Jelasnya, menjadi pengadil bukan sekadar memerlukan ketahanan mental, malah fizikal perlu selari kerana lesen sebagai pengadil akan diberikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara tahunan.

"Antara faktor wanita tidak ramai menjadi pengadil kerana komitmen terutama latihan fizikal yang perlu ada bagi setiap individu bagi mempersiapkan diri ketika memperbaharui lesen dan beraksi dalam perlawanan.

"Setiap pengadil perlu melalui ujian fizikal terutama membabitkan stamina. Antaranya kami perlu melalui ujian larian pantas mengikut masa ditetapkan," katanya.

Selain menyarung jersi sebagai pengadil bola sepak, Ain adalah penguat kuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2020.

AIN melayangkan kad kuning kepada pemain dalam perlawanan.
AIN melayangkan kad kuning kepada pemain dalam perlawanan.

Ain berkata, meskipun mempunyai kerjaya tetap sebagai penguat kuasa JPJ, dia sentiasa memastikan waktu terluang diisi dengan sesi latihan fizikal.

"Boleh dikatakan setiap hari saya akan melakukan latihan stamina sama ada melakukan latihan endurance atau menguatkan otot.

"Perkara ini penting supaya stamina saya tidak terjejas apabila berada atas padang. Lebih penting juga ketika ingin melalui ujian kecergasan memperbaharui lesen pengadil," katanya.

Katanya, dia begitu bersyukur kerana majikan sentiasa memahami tugasannya sebagai pengadil bola sepak dan menjadi antara tulang belakang penting.

BIDANG pengadilan memerlukan Ain menitikberatkan stamina fizikal.
BIDANG pengadilan memerlukan Ain menitikberatkan stamina fizikal.

Ditanya mengenai kisah dia terbabit sebagai pengadil, dia berkata, ketika di sekolah dia sering menjadi pengadil tidak profesional dan mendapat upah kerana melakukan tugasan itu.

"Saya ketika itu seronok kerana setiap perlawanan walaupun tidak profesional, dibayar RM50 sekali perlawanan.

"Ia menjadi duit sekolah dan saya boleh menabung. Selain itu, saya juga mempunyai sahabat yang menjadi mentor saya dalam dunia pengadil, Akmal Anuar yang banyak memberi tunjuk ajar saya berada dalam arena ini," katanya.

Ain yang pernah dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Wanita Kebangsaan 2021 dan Ikon Sukan Wanita JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022 turut aktif dalam sukan tae kwan do.

Anak kepada pasangan Zainal Mohd Yusof dan Julaina Kassim itu bercita-cita untuk layak sebagai pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 7:00 AM