KEBERANIAN diperlukan untuk mengatasi rasa gayat di tempat tinggi.
KEBERANIAN diperlukan untuk mengatasi rasa gayat di tempat tinggi.
Muhamaad Razis Ismail


KERJAYA sebagai juruteknik akses tali dikategorikan antara pekerjaan yang berisiko tinggi di dunia kerana perlu bergayut dengan tali di tempat tinggi.

Wanita yang berkecimpung dalam bidang ini tidak ramai kerana bukan sahaja memerlukan keberanian, malah perlu memiliki kecekapan dan kemahiran tinggi.

Biarpun begitu, ia bukan penghalang Nurul Nadirah Shamsul Liani, 31, untuk menceburi bidang ini secara serius sebagai kerjaya sepenuh masa sejak 2016.

Selain bertugas di tempat yang sukar diakses di bangunan tinggi, kepakaran yang dimiliki dalam bidang teknikal turut membolehkannya bekerja di pelantar minyak di tengah laut yang mempunyai cabaran tersendiri.

Dia juga bukan calang-calang individu apabila pernah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Speed Challenge di Indonesia Rope Challenge pada 2018.

Berkongsi pembabitannya dalam bidang itu, Nurul Nadirah berkata, dia mula aktif dengan aktiviti menggunakan tali sejak berusia 18 tahun sebelum menuntut di universiti.

NURUL Nadirah berjaya buktikan kemampuan diri sebagai juruteknik akses tali.
NURUL Nadirah berjaya buktikan kemampuan diri sebagai juruteknik akses tali.

"Saya bermula dengan aktiviti sukan rekreasi seperti turun cenuram. Kemudian saya menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang aktif dengan kerja menyelamat membabitkan penggunaan tali dan kerja tali.

"Selepas itu, saya ambil kursus IRATA (Industrial Rope Access Trade Association) peringkat 1 untuk bekerja sebagai juruteknik akses tali.

"Seterusnya saya berkembang ke bidang NDT (Non-Destructive Testing) bermaksud Ujian Tanpa Musnah dan beberapa kerja mekanikal yang membabitkan 'rope access'," katanya.

Menurutnya, dengan sijil yang diperoleh, dia mula bekerja dalam perkhidmatan penyelenggaraan dan pembersihan bangunan.

"Secara amnya, skop kerja saya adalah bekerja di tempat yang sukar diakses peralatan kerja atau mesin yang lain. Oleh itu, saya perlu menggunakan beberapa peralatan keselamatan dan tali untuk melakukan pekerjaan ini.

TIDAK kekok bekerja dengan rakan setugas lelaki.
TIDAK kekok bekerja dengan rakan setugas lelaki.

"Cabaran dalam kerjaya ini semestinya berkaitan dengan gayat. Oleh itu, saya perlu melawan perasaan ini supaya saya dapat melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan. Biasanya, saya mulakan pekerjaan ini dengan bacaan Bismillah dan selebihnya saya tawakal kepada Allah," katanya.

Jelasnya, rutin harian pekerjaannya bermula dengan mendengar taklimat berkenaan tugasan yang disampaikan ketua yang mempunyai 'level' 3.

"Perkara pertama yang ditanya adalah berkenaan kesihatan kerana ia penting untuk memastikan kita dapat fokus ketika melaksanakan tugas di tempat berisiko tinggi.

"Seterusnya kami akan mula bekerja mengikut tugas masing-masing. Perkara penting ketika bekerja adalah perlu saling mengingati rakan setugas berkenaan keselamatan. Ini penting kerana kadangkala ada yang terlupa perkara kecil dan remeh untuk mengelakkan perkara tidak diingini," katanya.

Katanya, pekerjaan yang diceburinya itu diakui mempunyai risiko dan cabaran tersendiri.

BEKERJA di tempat tinggi menuntut fokus dan komitmen tinggi.
BEKERJA di tempat tinggi menuntut fokus dan komitmen tinggi.

"Antara yang tidak boleh saya lupakan adalah satu kejadian yang hampir meragut nyawa apabila hampir disambar kilat ketika mencuci cermin di sebuah bangunan.

"Saya nampak kilat itu melalui cermin tingkap bangunan yang hampir menyambar. Selepas itu, kerja terus dihentikan kerana cuaca buruk yang boleh mengundang risiko kepada kami," katanya.

Selain bekerja di bangunan tinggi, Nurul Nadirah teruja apabila berpeluang bekerja dalam bidang minyak dan gas.

"Ramai yang berpesan bekerja dalam bidang ini sangat 'keras.' Jika tidak cukup kuat dari segi fizikal dan mental sukar untuk kekal lama. Ada yang bekerja separuh jalan dan berhenti mungkin kerana beberapa faktor.

"Namun, saya teruja dengan peluang ini kerana sudah lama mengimpikan bekerja di pelantar minyak dan bersyukur semuanya berjalan lancar.

MELAKUKAN kerja penyelenggaraan mekanikal di platform laut.
MELAKUKAN kerja penyelenggaraan mekanikal di platform laut.

"Saya gembira dapat merealisasikan impian memanjat dan bekerja di nyalaan api yang berketinggian 150 meter," katanya.

Tambahnya, pembabitannya dalam bidang itu dilakukan secara senyap tanpa diketahui ibu bapanya.

"Namun, semuanya terbongkar apabila gambar saya tergantung atas tali pernah keluar di akhbar. Ayah tiada masalah, cuma ibu agak berat sedikit untuk menerima.

"Bagaimanapun, lama-kelamaan selepas memahami pekerjaan saya ini, ibu dapat terima dengan baik," katanya.

Nurul Nadirah berharap, dia akan terus kekal dalam bidang itu dan dapat menarik lebih ramai wanita untuk menjadikan juruteknik akses tali sebagai kerjaya pilihan.

"Saya percaya dengan minat, usaha dan doa, pasti impian akan tercapai. Untuk berjaya, tidak kira lelaki atau perempuan, perlu kuat untuk redah apa sahaja halangan.

"Perlu diingat, sekiranya anda memilih kerjaya ini sekadar untuk kejar populariti kemungkinan tidak bertahan lama berbanding dengan minat mendalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 6:30 AM