ANTARA aktiviti JRM sebelum PKP dilaksanakan.
ANTARA aktiviti JRM sebelum PKP dilaksanakan.
Muhamaad Razis Ismail


PENINGKATAN kes pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) di negara ini.

Bagi mengekang penularan pandemik, banyak sektor tidak dibenarkan beroperasi dan ramai perlu bekerja dari rumah.

Bukan itu sahaja, aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan terhad kepada joging serta senaman sahaja.

Anda juga perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter selain hanya dilakukan di kawasan kejiranan.

Oleh itu, senaman lompat tali antara aktiviti yang paling sesuai untuk dijalankan sepanjang tempoh itu.

Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja termasuk di hadapan rumah dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Ketua Komunikasi Jump Rope Malaysia (JRM), Amir Izwan Mohd Ghazali berkata, sebelum ini aktiviti lompat tali ini kurang dikenali di negara ini.

Katanya, ia lebih dilihat sebagai sukan yang dipertandingkan dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.

"Malah, aktiviti ini banyak dimainkan secara bersendirian dan di tempat yang sedikit tersorok daripada pandangan ramai.

SENAMAN lompat tali boleh dilakukan di rumah.
SENAMAN lompat tali boleh dilakukan di rumah.

"Mungkin pada ketika itu, ramai yang masih malu untuk bermain aktiviti ini di khalayak ramai.

"Bagaimanapun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, persepsi itu mula berubah dan semakin ramai terbabit dengan aktiviti ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, antara keunikan senaman ini adalah ia tidak membabitkan kos tinggi selain boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

LOMPAT tali banyak manfaat kepada kesihatan.
LOMPAT tali banyak manfaat kepada kesihatan.

"Dengan modal RM5, anda sudah boleh memiliki tali PVC sebagai permulaan untuk berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Selain itu, dengan keadaan pandemik ini, ia boleh dilakukan di hadapan rumah sahaja.

"Bagi yang berdepan kekangan masa, ini adalah senaman terbaik kerana boleh dilakukan selama lima sehingga 10 minit sehari sahaja," katanya.

Jelasnya, bagi yang tidak suka berlari dan berbasikal, lompat tali adalah pilihan senaman yang sangat baik untuk kesihatan.

PELBAGAI jenis tali di pasaran.
PELBAGAI jenis tali di pasaran.

"Kajian menunjukkan, aktiviti ini mampu membakar kalori yang tinggi dalam tempoh yang singkat berbanding sukan lain.

"Selain itu, lompat tali adalah senaman kardio membabitkan pergerakan seluruh badan, baik untuk ketumpatan tulang dan dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan," katanya.

Tambahnya, penubuhan komuniti JRM sejak 2019, bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat mengenai aktiviti lompat tali.

"Sepanjang SPP ini, JRM juga menjalankan pelbagai aktiviti secara dalam talian termasuk mencabar peminat aktiviti ini memuat naik video.

"Harapan kami sepanjang SPP ini, masyarakat terus mengamalkan gaya hidup termasuk melakukan senaman lompat tali supaya kekal cergas,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:30 AM