AUTOMASI robot menjadi agenda utama dalam revolusi industri.  - FOTO Pexels
AUTOMASI robot menjadi agenda utama dalam revolusi industri. - FOTO Pexels
Muhammad Saufi Hassan


Dunia teknologi hari ini sudah jauh berubah dan berteraskan kepada kecerdasan buatan, namun apa yang membimbangkan adalah generasi Z atau 'Gen Z' kurang memahami kandungan serta cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Tahap kesedaran dan pembabitan pelajar Gen Z dalam teknologi IR 4.0 seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan Internet of Things (IoT) di Malaysia bukan sahaja masih rendah, malah berada pada tahap yang membimbangkan.

Hasil kajian penyelidikan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC), Yayasan Harapan, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dan Smatrix Consultancy Sdn Bhd itu mendapati hanya 34 peratus responden tahu mendefinisikan atau mengklasifikasikan teknologi dan ilmu IR 4.0.

Kajian selama dua bulan bermula 15 November tahun lalu menerusi pensampelan seramai 920 pelajar Gen Z yang lahir dari 1997 hingga 2012 itu, turut mendapati 29 peratus responden sahaja mempunyai pendedahan atau pemahaman mengenai IoT.

Seramai 602 pelajar daripada enam sekolah di Putrajaya serta 318 penuntut membabitkan 25 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta terbabit sebagai sampel dalam penyelidikan itu.

Mengulas dapatan itu, Presiden MCCA, Mohamad Sirajuddin Jalil berkata, Gen Z yang tidak mempunyai kemahiran teknologi IR 4.0 akan menghadapi kesukaran bukan sahaja dalam mencari pekerjaan, malah mengekalkan pekerjaan masing-masing.

"Oleh itu, penting bagi pekerja mempelajarí ilmu dan kemahiran baharu IR 4.0 untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan dan global merentas sektor industri supaya tidak tertinggal dalam bidang masing-masing.

"Namun, apa lebih penting melengkapkan diri dengan pengetahuan internet sebagai nilai teras sumber manusia masa depan. Sudah sewajarnya silibus khusus mengenai IR 4.0 dimasukkan dalam silibus sekolah sehingga peringkat pengajian tinggi kelak.

"Pendedahan mengenainya di sekolah adalah sangat penting dan kritikal sebagai tapak asas sebelum menginjak ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam taklimat kepada media di ibu negara mengenai hasil pembentangan itu.

Pandangan senada turut dilontarkan Pemangku Naib Canselor KLMUC, Najmie Noordin yang berpendapat, program berasaskan digitalisasi dan teknologi IR 4.0 perlu diperkenalkan di peringkat sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi bermula sekarang supaya Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara lain.

GENERASI muda perlu ada kemahiran bidang revolusi industri, sekali gus jadi tenaga kerja relevan dengan keperluan pasaran kerja moden. - FOTO Pexels
GENERASI muda perlu ada kemahiran bidang revolusi industri, sekali gus jadi tenaga kerja relevan dengan keperluan pasaran kerja moden. - FOTO Pexels

GRADUAN IPT tidak lagi boleh bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata sebaliknya perlu seiring pencapaian praktikal.  - FOTO Pexels
GRADUAN IPT tidak lagi boleh bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata sebaliknya perlu seiring pencapaian praktikal. - FOTO Pexels

Menurutnya, langkah itu membantu pelajar memahami kemahiran dan pengetahuan dalam bidang IR 4.0, sekali gus membantu melahirkan tenaga kerja yang berkualiti, lebih relevan dengan keperluan pasaran kerja moden yang bersedia untuk menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan industri negara.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Smatrix Consultancy, Jasvinder Singh berkata, kajian juga mendapati hanya 75 peratus pelajar sekolah dan IPT terbabit pernah mendengar atau membaca mengenai AI, 'Cloud Computing' (48 peratus) dan 'Additive Manufacturing' (24 peratus).

"Pelajar yang terbabit dalam pengajian Revolusi Industri pula hanya 22 peratus, AI (17 peratus), 'Cloud Computing' (14 peratus), 'Additive Manufacturing' (tiga peratus).

"Namun, 55 peratus responden mengakui ada kesedaran bahawa Malaysia sedang aktif menuju ke arah penguasaan teknologi dan ilmu IR 4.0.

"Hanya 31 peratus responden menggunakan teknologi dan perkakasan berkaitan IR 4.0 di persekitaran pembelajaran mereka manakala hanya 34 peratus responden boleh mereka cipta dan berinovatif dengan fasiliti sedia ada," katanya.

Jasvinder berkata, kajian juga mendapati 81 peratus responden percaya bahawa pembelajaran mengenai teknologi dan ilmu IR 4.0 mengambil masa yang panjang dan susah, manakala 80 peratus responden percaya pembelajaran mengenai IR 4.0 mahal dan kurang pasti di mana boleh mengambil kursus mengenai IR4.0.

Menurutnya, 66 peratus responden berpendapat bahawa pembelajaran khusus berkaitan IR 4.0 perlu melibatkan proses pengendalian peralatan dan teknologi IR 4.0, sebanyak 65 peratus responden berasa perlu mempelajari lebih banyak perkara mengenai IR 4.0 untuk meningkatkan keyakinan dan 64 peratus responden merancang menggunakan teknologi dan ilmu IR 4.0 dalam kerjaya masa depan.

"Hal ini mungkin menyebabkan kesukaran untuk generasi Z ini memasuki pasaran kerja yang kini semakin berkaitan dengan IR 4.0. Hal ini turut membawa impak negatif dan penurunan kepada daya inovasi, produktiviti, kecekapan serta daya saing generasi Z di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 7:00 AM