SERAT dieteri buah dan sayur berfungsi memanjangkan rasa kenyang serta mengelak makan secara berlebihan.
SERAT dieteri buah dan sayur berfungsi memanjangkan rasa kenyang serta mengelak makan secara berlebihan.
Hazira Ahmad Zaidi


KESIBUKAN gaya hidup moden hari ini menyebabkan masyarakat mengambil ringan terhadap tabiat pengambilan makanan.

Mudah diperoleh atau menyediakan makanan secara cepat, mudah disaji dan menyelerakan tanpa memikirkan tahap kandungan bahan awet, gula, lemak serta garam antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik.

Memburukkan lagi keadaan, masih ramai mengamalkan diet harian tanpa mengambil serat yang penting untuk kesihatan badan.

Kekurangan serat dalam pengambilan makanan antara faktor yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit.

Ini kerana serat mempunyai kesan fisiologi yang baik kepada proses pembuangan air besar, paras kolesterol darah dan paras gula darah.

Selain itu, serat juga dikatakan turut memainkan peranan penting dalam membantu mengawal penyakit termasuklah sembelit, penyakit divertikular, kanser, penyakit jantung, diabetes, obesiti dan hipertensi.

Begitupun, pengambilan serat daripada sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah rendah iaitu hanya 16 gram (g) sahaja sehari.

Ia jauh jika dibandingkan dengan saranan pengambilan serat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 20 hingga 25 g atau 400 g sehari.

Menurut Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Wan Rosli Wan Ishak @ Wan Ahmad, kebanyakan produk makanan proses di Malaysia mengandungi serat yang sangat rendah tetapi kandungan lemak dan gula ringkas yang tinggi.

Kata beliau, menyedari kebanyakan rakyat negara ini tidak menggemari sayur-sayuran, konsep 'menyembunyikan' serat harian daripada bahan sampingan pertanian seperti jagung muda, cendawan, kundur dan pisang ranum dalam produk makanan berasaskan tepung seperti biskut, mufin, kek, kuih tradisional dan berasaskan daging (sosej atau kepingan burger) sudah dirancang serta dimajukan.

"Selain itu, pemilihan jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang memenuhi kriteria untuk dijadikan bahan atau ramuan dalam pemajuan produk makanan fungsian juga sudah dijalankan.

"Diharapkan, prevalens penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kanser kolorektal , penyakit jantung koronari dan sebagainya mampu dikekang serta dicegah menerusi pengambilan serat dietari yang mencukupi daripada sayur-sayuran mahupun buah-buahan," katanya.

Dr Wan Rosli berkata, untuk merealisasikan peningkatan pengambilan serat dalam kalangan masyarakat, pembabitan semua pihak menerusi konsep keterlibatan lingkaran gandaan 5 (quintuple helix) perlu dilaksanakan.

Ia membabitkan kerjasama antara entiti akademia, agensi kerajaan, industri, masyarakat dan alam sekitar untuk bersinergi serta berkolaborasi secara holistik dan dinamik.

"Usaha untuk menyembunyikan serat dietari dalam makanan fungsian yang popular di Malaysia sememangnya memerlukan usaha tanpa jemu secara berterusan.

"Ia bagi memangkin kemajuan lebih banyak makanan fungsian berserat tinggi untuk menjamin kesihatan yang lestari," katanya.

Menurut Dr Wan Rosli lagi, makanan fungsian adalah makanan yang berpotensi memberikan kesan positif terhadap kebaikan kesihatan melangkaui pemakanan asas.

Sebagai contoh, biskut yang diformulasikan daripada serat jagung muda bukan sahaja mempunyai khasiat pemakanan seperti serat dietari, antioksida dan nutrien yang lain, malah turut memberikan nilai indeks glisemik (GI) yang rendah.

"Makanan berindeks glisemik rendah akan membantu mengurangkan kecenderungan untuk meningkatkan paras gula dalam darah individu terutama mereka yang menghidap diabetes.

"Selain itu, serat dietari buah dan sayur berfungsi memanjangkan rasa kenyang serta mengelak makan secara berlebihan, ia secara tidak langsung mampu membantu mengawal berat badan dan mengekalkan kesihatan," katanya.

Beliau berkata, inovasi makanan fungsian membabitkan beberapa langkah penting bermula daripada proses penilaian, pemilihan jenis sayur dan buah, pemprosesan dan penyediaan serat.

Bagaimanapun, ia juga membabitkan proses kajian nilai pemakanan, analisis komponen aktif, penilaian deria dan penyediaan prototaip untuk diuji.

"Kajian penyimpanan juga perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan makanan terjamin dan mengekalkan nutrien dalam produk yang sudah siap direka cipta.

"Kriteria pemilihan sayur dan buah sebagai bahan yang sesuai untuk dijadikan ramuan berserat dalam makanan terproses pula berdasarkan kepada aspek ketersediaan, kemudahdapatan, kemudahcapaian, kuantiti, kualiti dan harga.

"Bahan sampingan daripada beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran juga kaya dengan sebatian fenolik yang mempunyai kesan baik terhadap kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 7:00 AM