LAKUKAN pemeriksaan dengan pakar pergigian untuk mengetahui masalah kesakitan gigi yang dihadapi.
LAKUKAN pemeriksaan dengan pakar pergigian untuk mengetahui masalah kesakitan gigi yang dihadapi.
Hafiz Ithnin

Kerap sakit gigi ketika mengunyah? Anda mungkin mengalami sindrom gigi retak yang sebenarnya boleh dialami tanpa sedar.

Menjelaskan perkara itu, Pensyarah dan Pakar Pergigian Restoratifdi Kuliyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kapten (B) Dr Mohd Haikal Muhamad Halil berkata, ia boleh ditafsirkan sebagai berlakunya ketidakselesaan yang berterusan, sensitif atau sakit pada gigi yang disebabkan fraktur pada gigi atau keretakan pada gigi.

Jelasnya, sindrom gigi retak ini biasanya berlaku pada gigi geraham terutamanya pada geraham besar kerana gigi ini banyak menyerap tekanan yang dihasilkan ketika mengunyah.

"Adalah sukar untuk mengetahui bahawa gigi itu retak. Kita tidak mungkin dapat menentukan bahagian gigi yang sakit atau dari mana sakit itu datang. Sama ada dari gigi bawah atau gigi atas.

"Retak pada gigi boleh kelihatan sebagai garis halus yang melintang sepanjang gigi. Selalunya retak pada gigi tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak kelihatan di dalam X-ray," katanya.

Tambahnya, kadang kala gigi yang retak mungkin berasa sakit ketika menggigit atau mengunyah. Kesakitan atau ngilu yang dialami boleh jadi sakit sedikit atau sakit yang teruk.

"Ia akan menjadi sakit hanya apabila memakan makanan tertentu atau menggigit dengan cara tertentu. Anda tidak akan merasa sakit yang teruk seperti kesakitan yang dialami jika gigi berlubang atau bernanah. Gigi terbabit akan lebih sensitif kepada suhu sejuk dan panas.

"Pada kebiasaannya, gigi retak disebabkan tekanan semasa mengunyah yang menyebabkan rekahan pada gigi itu terbuka. Apabila anda berhenti mengunyah, tekanan dialihkan dan kesakitan yang tajam akan terhasil disebabkan rekahan itu tertutup kembali dengan pantas," katanya.

SUKAR mengetahui gigi retak dari mata kasar.
SUKAR mengetahui gigi retak dari mata kasar.

Katanya, jika keretakan pada gigi menjadi bertambah besar, sebahagian kecil gigi akan pecah. Jangkitan juga mungkin akan berlaku pada gusi gigi yang pecah berkenaan.

"Satu bonjolan akan dapat dilihat di sekeliling gusi pada gigi berkenaan. Perkara itu yang dinamakan sebagai sinus. Kebanyakan mereka yang mengalami sindrom gigi retak ini mengalami tanda-tanda gigi retak selama beberapa bulan.

"Adalah sukar untuk menentukan sama ada terdapat gigi retak kerana sakit yang dialami sukar untuk dijangkakan," katanya.

Katanya, jika anda sering mengisar gigi ketika tidur atau menggetap gigi pada masa yang lain, maklumkan kepada doktor gigi anda. Mengisar gigi ketika tidur akan meningkatkan risiko mengalami sindrom gigi retak.

MENGISAR gigi ketika tidur boleh meningkatkan risiko sindrom gigi retak.
MENGISAR gigi ketika tidur boleh meningkatkan risiko sindrom gigi retak.

"Doktor gigi anda boleh membuat 'night guard' iaitu satu aplians plastik yang dapat menghalang anda daripada mengisar gigi ketika tidur. Ia mungkin boleh menghilangkan kesakitan akibat mengisar gigi ketika tidur.

"Sesetengah orang akan merasa gigi menjadi kurang sensitif apabila proses mengisar gigi itu dihentikan. 'Night guard' dipakai pada sebelah malam ketika tidur," katanya.

Tambahnya, bagaimanapun ia boleh dipakai pada lain-lain waktu jika anda mengisar gigi dan menggetap gigi di luar waktu tidur.

"Anda juga digalakkan untuk menghentikan tabiat seperti mengunyah ais atau menggigit pen kerana ia boleh menyumbang kepada terhasilnya retakan yang baru.

"Ia juga boleh menyebabkan retakan yang lama menjadi lebih besar dan teruk," katanya.

GIGI retak boleh terjadi dari pelbagai arah.
GIGI retak boleh terjadi dari pelbagai arah.

Katanya, rawatan bagi sindrom gigi retak tidak selalunya dapat menghilangkan simptom. Rawatan yang diberikan bergantung kepada tempat, arah dan keluasan gigi yang retak itu.

"Rawatan yang diberikan adalah melekatkan semula gigi yang retak itu atau rawatan salur akar. Jika gigi berkenaan retak teruk, cabutan gigi boleh dilakukan. Doktor gigi anda akan menentukan rawatan yang terbaik untuk anda.

"Retak yang halus adalah biasa dan selalunya tidak mendatangkan masalah. Pemeriksaan gigi berkala adalah penting untuk menentukan dan memberikan rawatan awal kepada masalah berkenaan.

"Malah retakan pada gigi boleh membesar dengan perlahan. Jika ia dapat dikenal pasti dan dirawat dengan sewajarnya, pembesaran itu dapat dihentikan atau sekurang-kurangnya dapat melambatkan dan dengan itu dapat meningkatkan jangka hayat gigi berkenaan.

TAMPALAN amalgam selalunya  mempunyai rekahan akibat tekanan yang kuat.
TAMPALAN amalgam selalunya mempunyai rekahan akibat tekanan yang kuat.

Katanya, kadang-kala, retak hanya membabitkan bahagian luar pada gigi yang dinamakan kuspa iaitu bahagian tertinggi pada sesuatu gigi. Gigi itu boleh dilekat atau distabilkan dengan menggunakan rawatan korona atau onlay untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk.

"Jika retak itu membabitkan pulpa (tisu lembut yang terletak di tengah-tengah gigi di mana saraf dan salur darah berada), rawatan yang lebih rumit seperti rawatan salur akar perlu dilakukan sebelum meletakkan korona.

"Sebanyak 20 peratus daripada gigi yang mengalami sindrom gigi retak, memerlukan rawatan salur akar. Selepas rawatan salur akar, gigi tersebut tidak lagi sensitif kepada suhu tetapi masih bertindak balas kepada tekanan," katanya.

KEADAAN retak yang berlaku di bawah tampalan amalgam.
KEADAAN retak yang berlaku di bawah tampalan amalgam.

Gigi retak disebabkan pelbagai faktor:

• Mengisar dan menggetap gigi.

• Tekanan kunyah yang tidak sekata.

• Kemalangan yang membabitkan bahagian mulut.

• Permukaan gigi terdedah kepada suhu yang melampau.

• Mengunyah makanan yang keras seperti ais, kekacang dan gula-gula yang agak keras.

• Kehilangan sebahagian struktur gigi disebabkan kehausan pada gigi, tampalan yang besar atau lain-lain tampalan.

• Gigi yang rapuh atau lemah disebabkan gigi berkenaan sudah melalui rawatan kanal akar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 7:30 AM