BERBINCANG dengan doktor dahulu sebelum menggabungkan  pengambilan suplemen.
BERBINCANG dengan doktor dahulu sebelum menggabungkan pengambilan suplemen.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Ramai mengambil suplemen sebagai makanan tambahan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri.

Antara jenis suplemen yang boleh membantu kesihatan ialah vitamin, mineral dan herba.

Ada segelintir yang menggabungkan pengambilan pelbagai jenis suplemen dalam satu masa.

Namun tahukah anda, terdapat kombinasi suplemen yang perlu dielakkan.

Ini kerana, mungkin suplemen tidak hanya berinteraksi antara satu sama lain, tetapi berinteraksi dengan ubat-ubatan yang diambil dan sebab itu, penting untuk mengetahui potensi interaksi setiap suplemen.

Gabungan Suplemen Perlu Dielakkan:

Suplemen boleh memberi manfaat kesihatan, tetapi ia juga mungkin mempunyai risiko kesihatan.

Contoh, ada kalanya bahan dalam suplemen tertentu boleh mengubah ujian makmal atau mempunyai kesan negatif semasa pembedahan.

Risiko ini mungkin boleh meningkat sekiranya mengambil lebih daripada satu suplemen.

Terdapat beberapa kombinasi suplemen yang memerlukan perbincangan dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya.

1. Magnesium dan kalsium

Magnesium adalah mineral yang diperlukan untuk membantu banyak proses badan termasuk fungsi otot, mengawal gula dalam darah dan tekanan darah.

Memiliki tahap magnesium yang rendah ada kaitannya dengan penyakit jantung, kencing manis dan osteoporosis.

Kalsium pula adalah bahan mineral lain yang penting untuk kesihatan tulang.

Kekurangan pengambilan kalsium boleh menyebabkan kekuatan tulang berkurangan dan berlaku masalah osteoporosis.

Pengambilan magnesium dan kalsium serentak boleh mengakibatkan penyerapan mangesium berkurangan, sekiranya mengambil kalsium pada dos sangat tinggi iaitu 2,600 miligram (mg) sehari.

2.Vitamin C dan mineral tembaga

Vitamin C membantu menghasilkan kologen, manakala protein membantu memulihkan luka.

Individu mengambil suplemen vitamin C kerana beberapa sebab termasuk untuk membantu melawan jangkitan, mengurangkan kesakitan selepas pembedahan atau tekanan darah rendah.

Mineral tembaga terbabit dalam penghasilan tenaga dan membantu membentuk tisu penghubung yang memberikan struktur kepada badan.

Terdapat bukti menunjukkan bahawa pengambilan vitamin C pada jumlah yang banyak (lebih 1,500mg) boleh mengurangkan penyerapan mineral tembaga.

3. Zat Besi dan teh hijau

Zat besi adalah bahagian penting sel darah merah yang memindahkan oksigen daripada paru-paru ke tisu.

Pengambilan mineral ini disyorkan kepada mereka yang mengalami masalah kekurangan zat besi (anemia), pesakit barah dan gangguan gastrousus serta wanita hamil.

Antara khasiat teh hijau ialah meningkatkan kecerdasan mental, melegakan gejala pencernaan, sakit kepala dan menghalang penyakit barah serta jantung.

Bagaimanapun, pengambilan teh hijau bersama zat besi boleh mengurangkan penyerapan mineral berkenaan (zat besi).

Suplemen yang boleh berinteraksi dengan ubat

Suplemen tertentu boleh mengubah penyerapan, metabolisme atau perkumuhan sesuatu ubat.

Sekiranya ini terjadi, ia boleh menjejaskan potensi ubat yang diambil yang bermaksud anda mungkin mendapat terlalu banyak atau terlalu sedikit ubat yang diperlukan.

Terdapat beberapa vitamin dan suplemen yang mungkin interaksi antara satu sama lain.

A. Ashwagandha

Ialah herba yang digunakan dalam perubatan tradisional Cina dan ayurveda. Tetapi mengambil herba ini mungkin boleh interaksi dengan pelbagai ubat termasuk:

a.1 - Ubat untuk tekanan darah tinggi

Terdapat penyelidikan ke atas haiwan menunjukkan bahawa ashwagandha boleh menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik.

a. 2 -'Immunosuppressants'

Kajian ke atas manusia mendapati ashwagandha boleh merangsang sistem imun.

Selain itu, kajian terhadap haiwan pula menunjukkan ashwagandha boleh mengurangkan keberkesanan 'immunosuppressants' disebabkan oleh 'cyclophosphamide', iaitu dadah yang digunakan untuk merawat barah dan sindrom nefrotik.

B. Zat besi

Zat besi adalah mineral yang mempunyai banyak peranan termasuk sistem imun, penghasilan protein, menyembuhkan luka, pembentukan DNA dan deria rasa serta bau.

Tetapi, zat besi boleh interaksi dengan banyak ubat-ubatan termasuk:

b.1. Antibiotik

Antibiotik tertentu seperti 'quinolone' dan 'tetracycline' akan berinterkasi dengan zat besi dalam saluran gastrousus yang tidak membenarkan penyerapan zat besi dan antibiotic.

Sekiranya perlu mengambil kedua-duanya, disarankan mengambil antibiotik sekurang-kurangnya dua jam sebelum atau empat jam hingga enam jam selepas mengambil suplemen zat besi.

C. Melatonin

Hormon yang dihasilkan oleh otak yang memainkan peranan penting untuk kitaran bangun dan tidur secara semulajadi.

Tahap semulajadi melatonin dalam darah adalah tinggi pada waktu malam.

Sesetengah penyelidik mencadangkan bahawa suplemen melatonin boleh membantu mengatasi masalah gangguan tidur.

D. Pil perancang keluarga

Sebahagian penyelidik mencadangkan bahawa pil perancang keluarga boleh meningkatkan tahap melatonin.

Namun, interaksi ubat memberi risiko kesan buruk melatonin termasuk sakit kepala, pening, loya dan mengantuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 6:00 AM