BACAAN atas tekanan darah (sistolik) sekurang-kurangnya 140 milimeter merkuri (mmHg) dan bacaan bawah (diastolik), 90 mmHg ditakrifkan sebagai praeklampsia.
BACAAN atas tekanan darah (sistolik) sekurang-kurangnya 140 milimeter merkuri (mmHg) dan bacaan bawah (diastolik), 90 mmHg ditakrifkan sebagai praeklampsia.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"SAYA sedih apabila mengetahui kematian anak sulung yang dilahirkan pada minggu 38 kehamilan berpunca daripada penyakit 'praeklampsia' yang saya hadapi semasa mengandungkannya pada 2004.

"Saya tidak menyangka sakit kepala, lesu badan, pandangan kabur dan loya yang dialami adalah gejala praeklampsia," kata Syareena Abu Bakar, 42.

Kesedihan Syareena berganda apabila kandungan keduanya gugur pada minggu ke-11 pada 2005.

Syareena berkata, dia mengetahui berkaitan penyakit dihidapinya apabila mendapatkan rawatan dengan Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Zaleha Abdullah Mahdy, atas saranan rakannya selepas insiden kematian anak sulung dan keguguran kandungan kedua.

"Oleh kerana penyakit in

i berpotensi memberikan risiko kepada ibu dan bayi dalam kandungan, maka sepanjang empat kehamilan yang seterusnya, saya dijaga rapi oleh Dr Zaleha.

"Jika pada pemeriksaan bulanan, Dr Zaleha dapati tekanan darah tinggi, saya akan ditahan di wad untuk pemantauan," katanya.

Syareena turut menasihati ibu hamil supaya mematuhi arahan, mendengar nasihat doktor serta mengambil ubat yang ditetapkan.

"Segera ke hospital untuk pemeriksaan jika mengalami gejala 'luar biasa' semasa hamil. Ini kerana setiap kehamilan adalah berbeza.

"Suami hendaklah menemani isteri setiap kali membuat pemeriksaan antenatal untuk mengetahui keadaan atau masalah pada kandungan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaleha berkata, praeklampsia ialah penyakit darah tinggi dialami ibu hamil yang banyak mengorbankan nyawa ibu dan bayi di dunia.

Menurutnya, secara teorinya, terdapat dua faktor utama wanita hamil menghidap praeklampsia.

"Faktor pertama berpunca daripada pembentukan uri pada minggu lapan hingga 12 kehamilan. Ia mula menunjukkan gejala awal akan berlaku masalah praeklampsia pada penghujung kehamilan.

"Gejala awal ini tidak ketara kecuali jika dilakukan pemeriksaan ultra bunyi pada salur darah rahim," katanya.

WANITA obes perlu menurunkan berat badan sebelum hamil bagi mengurangkan risiko praeklampsia.
WANITA obes perlu menurunkan berat badan sebelum hamil bagi mengurangkan risiko praeklampsia.

Menurut beliau, kedua ialah faktor risiko pada ibu apabila wanita hamil yang mempunyai masalah komorbid seperti obesiti dan kandungan lemak darah tinggi, mereka berkemungkinan berisiko lebih tinggi mengalami praeklampsia.

"Penyakit ini sangat berbahaya kerana dalam kebanyakan kes, wanita hamil yang menghidap praeklampsia tidak mempunyai gejala.

"Tekanan darah tinggi pada ibu hamil meningkat 'secara senyap' tanpa sebarang gejala," katanya.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, sebelum ini, bengkak atau sembab yang dialami dalam kalangan ibu hamil pernah dianggap sebagai satu gejala ketara praeklampsia.

"Bagaimanapun, ia (bengkak atau sembab) 'digugurkan' daripada kriteria sebagai satu gejala ketara praekampsia.

"Ini kerana ada ibu hamil yang tidak mengalami sembab, tetapi tekanan darahnya meningkat, buah pinggang mula rosak dan akhirnya diserang sawan.

"Sawan adalah gejala paling teruk kepada pesakit praeklampsia hingga boleh menyebabkan pendarahan dalam otak. Ia adalah penyebab utama kematian dalam kalangan penghidap praeklampsia," katanya.

Untuk rekod, di Amerika Syarikat, Mei setiap tahun dipilih sebagai Bulan Kesedaran Praeklampsia untuk mendidik ibu hamil mengenai kepentingan mengetahui gejala dan golongan berisiko tinggi mengalami praeklampsia.

Dr Zaleha berkata, bacaan atas tekanan darah (sistolik) praeklampsia ditakrifkan sebagai sekurang-kurangnya 140 milimeter merkuri (mmHg) dan bacaan bawah (diastolik), 90 mmHg.

DR Zaleha
DR Zaleha

"Ini adalah kriteria yang digunakan untuk membuat diagnosis praeklampsia kepada ibu hamil," katanya.

Beliau berkata, selain gejala sawan dan kerosakan buah pinggang, komplikasi praeklampsia boleh memberikan kesan kepada setiap organ badan.

"Jantung boleh gagal berfungsi dan masalah paru-paru berair juga boleh berlaku sehingga mengakibatkan ibu hamil sesak nafas secara tiba-tiba.

"Ada kalanya kegagalan buah pinggang akibat praeklampsia boleh terjadi begitu teruk sehingga menyebabkan pesakit perlu menjalani rawatan dialisis," katanya.

Mengenai statistik pesakit praeklampsia di Malaysia, beliau berkata, berdasarkan kajian dilakukan UKM pada 2000 hingga 2005, risiko seorang wanita hamil anak pertama mengalami praeklampsia ialah 2.6 peratus iaitu dua hingga tiga orang bagi setiap 100 ibu hamil sulung.

"Secara global, kekerapan berlakunya praeklampsia ialah empat hingga lima peratus.

"Risiko penyakit ini lebih tinggi dalam kalangan wanita hamil daripada golongan berpendapatan rendah kerana kekurangan zat makanan (mikro nutrien)," katanya.

Menurut beliau, walaupun penyakit ini dikatakan lebih kerap dihidapi ibu hamil anak sulung, tetapi senario di Malaysia ada sedikit kelainan iaitu risikonya meningkat semula dalam kalangan mereka yang mengandung anak keempat dan seterusnya.

Katanya, boleh jadi, faktor peningkatan usia ibu mempengaruhinya.

"Banyak kajian menunjukkan risiko praeklampsia meningkat berlipat ganda kepada wanita hamil yang obes," katanya.

Dr Zaleha berkata, sebahagian besar ibu hamil yang mengalami praeklampsia tidak mempunyai masalah tekanan darah tinggi sebelum mengandung.

"Penyakit ini sering terjadi kepada ibu hamil anak pertama dan risiko penyakit ini berulang pada kehamilan seterusnya adalah tinggi.

"Daripada segi usia, dua golongan ibu hamil berisiko menghidap praeklampsia ialah mereka yang mengandung sebelum berusia 20 tahun dan mengandung selepas berumur 35 tahun," katanya.

Dr Zaleha berkata, penyakit praeklampsia boleh memberikan dua kesan utama kepada bayi iaitu bayi dilahirkan tidak cukup bulan.

Kerap kali bayi terpaksa dikeluarkan menerusi pembedahan bagi mengelakkan praeklampsia memberi kesan lebih teruk kepada ibu.

"Kesan kedua ialah merencatkan tumbesaran bayi dalam kandungan," katanya.

Menyentuh mengenai rawatan praeklampsia, Dr Zaleha berkata, satu-satunya rawatan penyakit ini ialah mengeluarkan anak dan uri daripada kandungan.

Kemudian, ibu akan beransur pulih daripada penyakit berkenaan.

"Masalah lain pula timbul membabitkan bayi berkenaan sekiranya ia dikeluarkan daripada kandungan belum cukup bulan, terutama sebelum minggu ke-30 usia kehamilan.

"Daya survival (kemandirian) hidup bayi ini bergantung kepada keadaan sama ada mengalami rencatan tumbesaran semasa dalam kandungan dan mendapat rawatan neonatologi yang sewajarnya selepas dilahirkan," katanya.

Dr Zaleha berkata, cara terbaik mengurangkan risiko wanita obes daripada diserang penyakit praeklampsia tertumpu kepada penurunan berat badan sebelum hamil.

"Ini kerana masalah obesiti meningkatkan risiko mereka menghidap praeklampsia berbanding ibu lain.

"Selain itu, mereka yang menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi kronik, kencing manis, sistemik lupus eritematosus (SLE), penyakit buah pinggang dan sebagainya, turut berisiko tinggi mengalami praeklampsia semasa hamil," katanya.

Kata beliau, ini terutama jika penyakit berkenaan tidak dikawal dengan baik semasa wanita terbabit pada awal usia kehamilan.

"Oleh itu, amat penting mereka mendapatkan nasihat doktor mengenai status kawalan penyakit masing-masing sebelum cuba hamil," katanya.

Dr Zaleha berkata, terdapat ubat yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko praeklampsia bagi mereka yang berisiko tinggi dengan penyakit ini iaitu aspirin dan kalsium.

"Dua ubat ini perlu dimulakan pengambilannya pada awal kehamilan. Oleh itu, wanita perlu mula berjumpa doktor seawal mungkin apabila hamil saringan tahap risiko mereka.

"Tujuannya supaya mereka boleh memulakan pengambilan aspirin dan kalsium pada waktu sewajarnya. Vitamin E sawit (tokotrienol) adalah satu lagi ejen yang berpotensi mengurangkan risiko praeklampsia tetapi masih diperingkat percubaan klinikal.

"Bagi wanita yang baharu mendirikan rumah tangga, mereka dinasihati untuk menangguhkan kehamilan sehingga selepas enam bulan berkahwin kerana ini mengurangkan risiko praeklampsia.

"Kajian epidemiologi juga mendedahkan bahawa praeklampsia bukanlah penyakit yang berpunca daripada isteri sahaja, tetapi genetik suami turut mempengaruhinya.

"Jika seorang lelaki menyebabkan seorang wanita hamil dan semasa kehamilan, wanita itu mengalami praeklampsia, sekiranya dia menghamilkan wanita lain, wanita yang lain itu juga berisiko menghidap praeklampsia," katanya.

Jelasnya, boleh dikatakan hampir 100 peratus wanita akan pulih daripada penyakit ini selepas bersalin kecuali jika mengalami komplikasi yang teruk semasa mengandung seperti diserang angin ahmar berpunca daripada praeklampsia.

Katanya, tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai praeklampsia masih rendah dan istilah ini mungkin hanya diketahui oleh segelintir daripada mereka yang pernah mengalami penyakit itu.

Oleh itu, Dr Zaleha berkata, kempen kesedaran mengenai penyakit ini perlu dipergiatkan pada masa hadapan.

"Ini supaya wanita yang ingin hamil dan suami mereka mempunyai pengetahuan luas mengenai praeklampsia serta prihatin mengenai langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengurangkan risikonya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 7:00 AM