BARISAN finalis Pencarian Wanita Melayu 2019.
BARISAN finalis Pencarian Wanita Melayu 2019.
Zaitie Satibi


PLAZA Shah Alam dengan kerjasama Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels) menganjurkan program Pencarian Wanita Melayu (PWM) 2019.

Ia antara usaha mencari wanita Melayu ideal yang masih mengamalkan adat Melayu dan berpegang teguh kepada nilai tradisi walaupun ramai antara mereka berperwatakan moden, berpendidikan tinggi serta berkerjaya menarik, baru-baru ini.

Dalam program pencarian itu, gadis kelahiran Alai, Melaka, Aini Sophi Shamsol Zailan, 19, dinobatkan sebagai juara.

Naib juara disandang Fatin Nabilah, 21, diikuti tempat ketiga, Farzana Zainul, 22. Dua kategori khas yang diberikan penganjur adalah Miss Personaliti yang dimenangi Nur Jannah Adibah, 29 dan Miss Fotogenik iaitu Natasha Azman, 24. Satu kategori khas penaja, Miss Confident Xixili disandang Nurul Aina, 22.

Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar berkata, 10 calon dipilih dinilai berdasarkan kecantikan, kemahiran, personaliti dan keagamaan menerusi dua sesi uji bakat pada Mac lalu.

PENGARAH Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib (dua kiri) bersama juara Pencarian Wanita Melayu 2019, Aini Sophi.
PENGARAH Urusan Habib Jewels, Datuk Seri Meer Sadik Habib (dua kiri) bersama juara Pencarian Wanita Melayu 2019, Aini Sophi.

“Bagi sesi uji bakat ini pemarkahan peserta dinilai daripada sudut personaliti, kemahiran komunikasi dan bakat. Beberapa soalan diajukan juri bagi melihat keupayaan dan kebolehan peserta menjawab soalan secara spontan dalam masa ditetapkan.

“Ini adalah penganjuran kali keenam bagi membuka peluang buat semua gadis Melayu untuk bergelar ikon wanita Melayu.

“Namun, kecantikan bukan kayu ukuran untuk mencari wanita Melayu yang ideal. Sebenarnya kami mencari gadis Melayu yang masih mengamalkan gaya hidup Melayu dalam dunia serba moden hari ini,” katanya.

Selain itu, satu kerjasama khas bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dalam mengumpul dana sumbangan buat pesakit kanser payudara turut diwujudkan sempena aktiviti PWM 2019. Dana itu disumbangkan sepenuhnya kepada pihak MAKNA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 8:14 AM