Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pencarian Wanita Melayu-Plaza Shah Alam (PWM 2022) kini kembali selepas dua tahun penganjuran ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Pengurus Kanan Plaza Shah Alam, Azura Mokhtar berkata, sehingga kini pihaknya selaku penganjur sudah menerima hampir 200 penyertaan seluruh negara yang merebut peluang untuk bergelar Ikon Wanita Melayu 2022 sejak mula dibuka pada Mac lalu.

"Sesi uji bakat akan diadakan pada 23 dan 24 Julai nanti di sini (Plaza Shah Alam) dan bagi sesi uji bakat ini pemarkahan peserta akan dinilai daripada sudut personaliti, kemahiran komunikasi dan bakat yang untuk ditonjolkan.

"Hanya 25 peserta sahaja akan layak ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada 6 Ogos. Manakala hanya 10 peserta akan dipilih ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 13 Ogos depan," katanya dalam sidang media di Plaza Shah Alam di sini.

Yang turut hadir, penaja utama PWM 2022 iaitu Pengurus Besar Perhubungan Awam Habib, Yasheedah Yashaiya; selebriti dan juga hos PWM, Fahrin Ahmad.

AZURA (kiri) bersama Yasheedah dan Fahrin pada Sidang Media Pencarian Wanita Melayu 2022 di Plaza Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
AZURA (kiri) bersama Yasheedah dan Fahrin pada Sidang Media Pencarian Wanita Melayu 2022 di Plaza Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Azura berkata, penganjuran ketujuh PWM 2022 kali ini juga mendapat sambutan menggalakkan malah sepanjang tempoh pendemik juga ada yang berminat untuk menyertainya meskipun tiada penganjuran.

"Penyertaan sangat menggalakkan dan penyertaan berakhir esok (15 Julai)... jadi kepada semua gadis Melayu, inilah peluang anda menonjolkan kemahiran, kelebihan dan keistimewaan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Yasheedah berkata seperti tahun sebelumnya, Habib menjadi penaja utama program Pencarian Wanita Melayu 2022.

"Habib menawarkan hadiah bernilai RM20,000 (Habib Jewels & Ice-Watch) kepada pemenang PWM 2022.

"Selain itu, 10 finalis PWM 2022 juga layak menjadi Duta Kempen Habib di mana mereka akan diundi oleh pelanggan barangan kemas itu di media sosial," katanya.

Selain Habib, hadiah PWM 2022 turut ditaja Anytime Fitness, Anas Abdullah, Twenty, Shes Official, Seri Radiah Songket, Eyrafadz Wedding, Mumtazfella Perfume, Breylee Malaysia dan Schatzs Cosmetic.

Penganjuran PWM bermula pada 2014, lima Ikon Wanita Melayu diangkat iaitu Ashira Kaseh (2014), Ayu Harris (2015), Hazwani Zaini (2016), Nurul Ain Nasiron (2017), Amy Nurtinie (2018) dan Aini Sophie (2019).

YASHEEDAH (dua dari kanan), menunjukkan Tiara Mutiara Laut Selatan yang akan dimahkotakan untuk pemenang utama pada Sidang Media Pencarian Wanita Melayu 2022 di Plaza Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
YASHEEDAH (dua dari kanan), menunjukkan Tiara Mutiara Laut Selatan yang akan dimahkotakan untuk pemenang utama pada Sidang Media Pencarian Wanita Melayu 2022 di Plaza Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 7:10 PM