Fairul Asmaini Mohd Pilus


BARANGAN kemas yang dihiasi dengan batu permata berwarna-warni sememangnya semakin mendapat tempat di hati pencintanya.

Secara amnya, batu permata terbahagi kepada dua kategori iaitu batu berharga 'precious stone' yang terdiri daripada batu permata popular dan mempunyai permintaan tinggi dari serata dunia seperti safir, zamrud, delima serta berlian.

Kategori kedua adalah batu permata daripada kategori 'semi-precious' seperti kecubung (amethyst), turmalin (tourmaline), topaz, citrine dan opal.

Sebelum membeli barangan kemas bertatahkan batu permata, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan supaya dapat memberikan kepuasan dan keselesaan ketika memakai.

Antaranya, kenali batu permata dan warna yang ada kerana setiap satunya menpunyai keunikan serta keistimewaan tersendiri.

Contohnya zamrud hijau iaitu antara batu permata dalam kumpulan 'Beryl' selain daripada permata aquamarin biru dan morganit merah jambu.

Ia pertama kali dijumpai di Mesir dan dikatakan menjadi batu permata kesukaan Ratu Cleopatra.

Zamrud mempunyai kekerasan setinggi 7.5 hingga lapan mengikut skala Mohs dan ia hanya boleh ditemui di beberapa tempat di dunia seperti di Colombia, Brazil, Zimbabwe, Zambia dan Afghanistan.

GELANG tangan batu permata menarik.
GELANG tangan batu permata menarik.

Bagi batu permata delima dan safir, tergolong dalam kumpulan yang sama iaitu korundum serta mempunyai kekerasan pada skala sembilan menurut skala Mohs.

Istimewanya kumpulan itu ia juga boleh didapati dalam hampir semua warna seperti merah, ungu dan biru.

Setiap batu permata adalah unik dan tidak serupa antara satu sama lain.

Selain itu, warna juga menjadi satu faktor utama dalam pemilihan permata semula jadi.

Penilaian menggunakan mata kasar adalah agak sukar kerana ia memerlukan peralatan khas untuk membezakan setiap jenis batu permata di pasaran.

CINCIN yang dihiasi batu permata.
CINCIN yang dihiasi batu permata.

Justeru, jika mahu beli barangan kemas dengan batuan berharga seperti itu, anda hendaklah mengunjungi sumber yang diyakini dan dipercayai bagi mengelakkan penipuan.

Anda juga perlu mengetahui jenis dan warna emas yang digunakan untuk mengikat batu permata sebelum membeli barang kemas batu permata.

Secara lazimnya, mutu emas bermula 750 dan ke bawah adalah pilihan terbaik untuk mengikat batu permata kerana sifatnya yang lebih kuat dan kukuh, selain memastikan batu permata terletak dengan sempurna.

Sifat emas 999 dan 916 yang lembut dan mudah dilentur tidak disarankan untuk barangan kemas seperti ini kerana dikhuatiri batu permata akan terkeluar daripada ikatan.

Di samping mengetahui jenis dan mutu emas, pemilihan warna emas seperti kuning, putih dan merah jambu juga perlu dititikberatkan bagi memenuhi cita rasa serta menonjolkan warna batu permata.

KOLEKSI batu permata berwarna.
KOLEKSI batu permata berwarna.

Selain itu, barangan kemas batu permata juga mengikut bajet yang ada.

Sama seperti berlian, batu permata dinilai berdasarkan 4Cs (Warna, Kejernihan, Karat dan Potongan).

Semakin sempurna keempat-empat ciri-ciri berkenaan, semakin tinggi harga yang ditawarkan di pasaran.

Di rangkaian Habib contohnya, barangan kemas bertatahkan permata ditawarkan bermula serendah RM300 dan mampu milik.

Barangan kemas batu permata pada harga yang eksklusif juga ditawarkan kepada mereka yang ingin tampil lebih mewah.

Sebagai contoh, jika menggemari batu permata berwarna hijau dengan bajet yang terhad, anda boleh memilih batu turmalin hijau untuk menghiasi barangan kemas selain zamrud kerana harganya jauh lebih berpatutan dan mampu milik.

PERHIASAN menarik koleksi batu permata Habib.
PERHIASAN menarik koleksi batu permata Habib.

Apa pun, ketahui tujuan sebenar anda membeli barangan kemas batu permata berkenaan sebelum membuat pembelian.

Misalnya, jika anda membeli barangan kemas batu permata untuk dipakai harian, mungkin rekaan itu perlu lebih ringkas dan minimalis berbanding andai hendak digayakan ke acara tertentu.

Bagi acara istimewa, anda boleh mendapatkan barangan kemas batu permata dengan rekaan yang lebih menonjol untuk menyerlahkan lagi penampilan.

Sementara itu, ketahui dengan betul penjagaan batu permata kerana ia berbeza mengikut jenisnya.

Jadi, sebelum membeli sebarang barangan kemas bertatahkan batu permata, anda perlu mengetahui bagaimana kecantikan dan kesempurnaannya boleh dikekalkan.

Apa pun, bagi yang menggemari barangan kemas bertatahkan batu permata, jangan lupa kunjungi Festival Batu Permata Habib untuk mendapatkan pelbagai rekaan menarik.

Ia berlangsung di seluruh bilik pameran Habib sehingga 31 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 7:00 AM