URUTAN sukan memberi kesan baik untuk aktiviti regangan.
URUTAN sukan memberi kesan baik untuk aktiviti regangan.
Hafiz Ithnin

MELAKUKAN urutan tidak dinafikan menjadi pilihan ramai untuk melegakan kesakitan dan ada pelbagai jenis urutan ditawarkan juruterapi.

Urutan sukan antaranya paling popular dalam kalangan mereka yang menjalankan aktiviti kecergasan termasuk atlet.

Sainstis kecergasan, Riquan Aqif Ropli berkata, urutan sukan adalah pengurusan, manipulasi dan pemulihan tisu lembut badan termasuk otot, tendon serta ligamen.

"Ia dapat membantu individu yang aktif dalam kehidupan seharian sama ada menerusi aktiviti kecergasan atau pekerjaan.

"Malah, ia dilihat mampu menyediakan tubuh mereka berada pada tahap prestasi optimum, pulih selepas kecederaan atau berfungsi dengan baik," katanya.

Katanya, untuk melakukan urutan sukan, juruterapi urutan berkenaan perlu mempunyai ilmu yang luas terutama mengenai hubungan otot.

"Perkara ini penting bagi memastikan tekanan yang diberikan dalam alternatif rawatan berkenaan dapat dilakukan dengan betul.

"Malah, jika juruterapi tidak mempunyai kemahiran dan ilmu mengenai hubungan otot boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami lebih teruk kecederaan," katanya.

Tambahnya, kelebihan urutan sukan mampu membantu mengurangkan kecederaan terutama mereka yang aktif dalam aktiviti sukan kerana penggunaan otot yang berlebihan menyebabkannya ketegangan di bahagian otot yang sering digunakan.

URUTAN sukan memberi faedah kepada aktiviti kecerdasan.
URUTAN sukan memberi faedah kepada aktiviti kecerdasan.

"Ia dapat mengurangkan simpulan urat otot dan akan mengeluarkan asid laktik terutama yang berada dalam otot.

"Asid laktik ini perlu dikeluarkan kerana ia akan mengganggu keselesaan urat saraf. Apabila perkara ini berlaku menyebabkan kontraksi otot berkurangan. Sekali gus menyebabkan kapasiti kontraksi otot berkurangan," katanya.

Tambahnya, urutan sukan juga dapat mengurangkan 'keradangan' pada bahagian sendi dan otot memandangkan teknik urutan ini dapat meningkatkan aliran darah yang baik.

"Perkara ini akan menyebabkan salur darah seseorang itu mengembang, sekali gus boleh mengurangkan bengkak.

"Selain itu, ia dapat mengurangkan lapisan otot (myofascial) berasa tegang. Apabila myofascial berada dalam keadaan baik, ia memberi kesan kepada kelegaan daripada kesakitan di bahagian otot yang terbabit," katanya.

Katanya, apabila melakukan urutan sukan, seseorang itu dapat melakukan regangan lebih efisien kerana otot tidak berada dalam keadaan tegang.

"Apabila dapat melakukan regangan yang efisien, ia memberi kesan baik kepada kebolehan otot untuk diregangkan," katanya.

Riquan berkata, urutan sukan juga dapat memberi kesan psikologi yang lebih baik kerana urutan dapat menenangkan individu yang mengalami tekanan termasuk dalam aktiviti kecergasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 6:30 AM