LATIHAN regangan fleksibiliti aduktor, ‘glute’, ‘oblique stretch’ untuk meningkatkan daya renggang otot.
LATIHAN regangan fleksibiliti aduktor, ‘glute’, ‘oblique stretch’ untuk meningkatkan daya renggang otot.
Hafiz Ithnin


DALAM aktiviti kecergasan terutama membabitkan sukan yang agak lasak, sering kali berlaku ketegangan otot. Malah, punca berlaku masalah itu dikatakan kerana kurang melakukan aktiviti pemanasan atau regangan awal.

Saintis kecergasan, Riquan Aqif Ropli berkata, sering kali kita dengar mengenai ketegangan otot ketika bersenam atau bersukan, antara punca utamanya adalah kurang regangan otot sebelum melakukan aktiviti itu.

"Tetapi, teknik latih tubi mobiliti masih kurang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia walaupun ia juga dapat mengurangkan ketegangan otot dengan baik dan sesuai digabungkan bersama sesi regangan fleksibiliti.

"Fleksibiliti dari aspek badan manusia bermaksud kebolehan seseorang itu untuk merenggangkan serat ototnya. Manakala mobiliti dalam aspek ini pula kebolehan sendi seseorang itu untuk bergerak atau digerakkan dengan mudah," katanya.

Katanya, antara contoh untuk latihan regangan fleksibiliti adalah regangan statik dan contoh latih tubi mobiliti pula ialah aliran pergerakan seperti gabungan latihan, 'lateral shootrough.'

"Selain dari kedua-duanya boleh mengurangkan ketegangan otot, ia juga boleh mengurangkan peluang untuk seseorang itu untuk cedera kerana dengan melakukan latihan ini, individu dapat mengekalkan otot-ototnya dalam keadaan yang baik.

"Persamaan lain pula adalah, kedua-duanya dapat meningkatkan julat gerakan sendi membolehkan individu untuk bergerak dengan lebih bebas dan kurang sekatan pergerakan. Tambahan pula, kedua-dua latihan ini boleh meningkatkan kecekapan pergerakan," katanya.

Jelasnya, namun terdapat perbezaan iaitu:

1. Meningkatkan peredaran darah

Disebabkan latih tubi mobiliti memerlukan pergerakan yang berulang lebih dari lapan kali, jadi secara tidak langsung ia juga mempunyai fungsi yang hampir sama dengan bersenam. Oleh itu, latih tubi mobiliti boleh meningkatkan peredaran darah dengan lebih baik berbanding latihan regangan fleksibiliti.

LATIHAN regangan fleksibiliti gaya bulan sabit untuk meningkatkan daya renggang otot rektus femoris, spina erektor dan kaf rotator.
LATIHAN regangan fleksibiliti gaya bulan sabit untuk meningkatkan daya renggang otot rektus femoris, spina erektor dan kaf rotator.

2. Meningkatkan daya imbang badan

Latih tubi mobilti memerlukan individu untuk bertahan dalam sesuatu posisi selama 15 ke 30 saat setiap ulangan. Tambahan pula, individu perlu mengaktifkan otot terasnya untuk kebanyakan pergerakan latih tubi mobiliti ini. Hal ini akan membolehkan individu untuk menguatkan ototnya dengan lebih cekap berbanding latihan regangan fleksibiliti.

3. Menambah baik postur badan

Sebagai contoh postur badan bongkok. Salah satu faktor badan bongkok adalah otot pektoralis (otot dada) lebih ketat berbanding otot romboid (otot belakang badan).

Apabila otot pektoralis ketat, ia akan menyukarkan otot romboid untuk menarik skapula (bilah bahu) untuk menzahirkan postur yang baik.

Untuk situasi ini, latihan regangan fleksibiliti lebih sesuai berbanding latih tubi mobiliti kerana latihan regangan boleh meningkat fleksibiliti otot pektoralis dengan lebih baik, hasilnya otot romboid boleh menarik dekat skapula ke tengah untuk menzahirkan postur yang baik.

Katanya, latihan regangan fleksibiliti lebih sesuai diaplikasikan selepas senaman atau sukan manakala latih tubi mobiliti lebih sesuai dilakukan sebelum senaman atau sukan kerana ia boleh meningkatkan persembahan individu itu ketika aktiviti ini berlangsung.

"Disamping itu, latih tubi mobiliti juga sesuai diaplikasikan sebagai senaman kerana ia boleh dilakukan pada repitasi yang banyak dan durasi yang lama," katanya.

Tambahnya, kedua-dua jenis latihan ini adalah latihan yang dapat mengekalkan otot dalam kondisi yang baik. Oleh itu, mengaplikasikan kedua-dua latihan ini dalam kehidupan seharian dapat memberikan impak baik kepada individu yang melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:30 AM