PEMAKAIAN sanggul menjadi tradisi dalam majlis perkahwinan untuk raja sehari.
PEMAKAIAN sanggul menjadi tradisi dalam majlis perkahwinan untuk raja sehari.
Hafiz Ithnin


AKSESORI tradisional sememangnya mempunyai pesona tersendiri apabila dipadankan dengan busana yang sesuai kerana ia boleh dikatakan sebagai malar segar.

Malah, ketika ini terdapat pereka fesyen yang berani untuk memadankan aksesori tradisional dalam rekaan moden bagi menghargai warisan perhiasan tempatan.

Penggemar dan pengumpul aksesori tradisional, Nur Syazalina Ahmad Ridzuan berkata, aksesori tradisional Melayu seperti cucuk sanggul, dokoh, tali pinggang, gelang dan gandik memiliki nilai estetika tersendiri yang mempunyai peranan bukan sahaja menambahkan pesona dalam penampilan, malah meningkatkan keyakinan diri seseorang.

"Wanita terutamanya, begitu mementingkan kecantikan dan penggayaan terutamanya dalam memilih aksesori sama ada dalam pemakaian tradisional mahupun moden sebagai pelengkap gaya.

"Barang-barang lama dan antik yang disimpan dengan baik, mempunyai nilai tinggi dan masih boleh digunakan bagi generasi baru," katanya yang juga pemilik Cazaluna .

Jelasnya, bukan sahaja itu, generasi akan datang juga boleh mengetahui kegunaan dan nilai aksesori itu sendiri.

SANGGUL lintang dan gandik klasik.
SANGGUL lintang dan gandik klasik.

Keunikan aksesori tradisional Melayu bukan sahaja digunakan untuk sebarang majlis perkahwinan, malah ketika menghadiri acara berprestij.

"Setiap aksesori sebenarnya membawa maksud tersendiri. Sepertinya, sanggul lintang yang dipakai di kepala wanita dahulu melambangkan sebagai tanggungjawab yang harus dipikul wanita kelak.

"Disebabkan itu, pada zaman dahulu, sanggul lintang yang digunakan ketika itu sangat berat dan memberi sedikit tekanan kepada si pemakai," katanya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam menjadi pengumpul barangan tradisional itu, jelasnya, pembabitan bidang tarian tradisional Melayu membuatkan beliau jatuh cinta dalam keunikan dan keindahan yang ada dalam seni tradisional Melayu.

"Kehalusan seni yang ada dalam aksesori tradisional, membuatkan saya menjadi pengumpul aksesori dan busana tradisional.

"Kini saya mempunyai lebih dari 1,000 jenis aksesori dan busana klasik. Ada juga koleksi berusia lebih 40 tahun," katanya.

KEPELBAGAIAN aksesori kepala tradisional yang menarik untuk dipadankan.
KEPELBAGAIAN aksesori kepala tradisional yang menarik untuk dipadankan.

Tambahnya, koleksinya dijadikan pameran dan sewaan untuk pelanggan yang datang ke butiknya di Selangor.

"Pelanggan terutamanya pengantin yang mencari pelengkap busana di hari bahagia mereka boleh menyewa aksesori klasik dan moden ini," katanya yang turut menawarkan sewaan busana dan aksesori klasik, servis tata rias pengantin, solekan dan juga sulaman baju.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 7:00 AM