KUMPULAN pesakit jantung berisiko rendah dibolehkan berpuasa.
KUMPULAN pesakit jantung berisiko rendah dibolehkan berpuasa.
Muhamaad Razis Ismail


Setiap kali Ramadan pasti akan timbul pelbagai persoalan terutama mereka yang menghidap penyakit kronik termasuk pesakit jantung.

Antaranya adakah pesakit jantung boleh berpuasa dan adakah puasa boleh memberi kesan kepada kesihatan jantung mereka?

Pakar Perunding Kardiologi di Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Muhammad Imran Abdul Hafidz berkata, terdapat kumpulan pesakit jantung yang dibenarkan berpuasa selepas disahkan mempunyai risiko rendah untuk menjalani ibadah Rukun Islam ketiga itu.

"Pesakit yang boleh berpuasa termasuk individu yang mempunyai tekanan darah tinggi dan penyakit saluran darah sempit yang terkawal.

"Selain itu, pesakit yang menghidap lemah jantung yang terkawal iaitu lebih 35 peratus tenaga pengepaman dan mempunyai masalah rentak nadi asalkan terkawal dengan ubat-ubatan tanpa simptom dibolehkan berpuasa," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, berpuasa mampu mengurangkan risiko kematian pesakit yang menghidap saluran darah koronari yang sempit.

"Kajian juga menunjukkan peningkatan Heart Rate Variability (HRV) dalam pesakit yang berpuasa. HRV yang disebabkan keadaan jantung yang tidak tertekan atau stres.

"Selain itu, berpuasa turut mengurangkan risiko serangan lemah jantung yang memerlukan kemasukan ke hospital," katanya.

Katanya, menerusi ibadah puasa, pesakit jantung boleh menyelaraskan metabolisma badan.

"Sumber tenaga berubah dari penggunaan protein (yang mengurangkan otot) kepada pembakaran lemak. Ini secara tidak langsung membantu menurunkan berat badan.

"Penurunan berat badan ini adalah bermanfaat bagi pesakit jantung kerana ia membantu menurunkan tekanan darah," kataya.

Mengulas lanjut, pesakit jantung yang menghidap penyakit kencing manis turut menerima manfaat dengan berpuasa.

BERPUASA dapat membantu mengawal pola pemakanan pesakit jantung.
BERPUASA dapat membantu mengawal pola pemakanan pesakit jantung.

"Ini berlaku apabila pengambilan pelbagai makanan terutama yang mempunyai gula yang tinggi dapat dikawal pada sebelah siang kerana berpuasa.

"Keadaan ini secara tidak langsung akan membantu menurunkan kadar gula dalam darah dan mengetatkan kawalan kencing manis," katanya.

Dr Muhammad Imran berkata, ketika berpuasa, pembakaran lemak sebagai sumber tenaga juga membantu mengurangkan kadar kolesterol jahat atau 'LDL cholesterol' dalam badan.

"Kolesterol jahat ini bertanggungjawab menyempitkan saluran darah di sekeliling jantung. Kolesterol yang rendah mengurangkan risiko serangan sakit jantung, strok dan sebagainya," katanya.

AMALAN berpuasa dapat membantu mengurangkan berat.
AMALAN berpuasa dapat membantu mengurangkan berat.

Tambahnya, ibadah berpuasa juga membantu mengurangkan kadar radang atau 'inflammation' dalam badan.

"Fenomena 'inflammation' ini dikaitkan dengan penghasilan mendakan kolesterol dalam saluran darah. Menerusi amalan berpuasa risiko fenomena ini dapat dikurangkan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat kumpulan pesakit jantung disyorkan tidak berpuasa antaranya yang mempunyai tekanan darah tidak terkawal dan mereka yang mengalami serangan jantung enam minggu sebelum ini.

"Selain itu, individu yang berdepan masalah injap serius dan pesakit mengalami lemah jantung kurang daripada 30 peratus turut berada dalam kumpulan ini.

"Hal ini kerana ada sesetengah pesakit ini bergantung kepada ubat-ubatan yang perlu diambil beberapa kali sehari atau pesakit yang sensitif dengan jumlah air atau garam dalam badan yang boleh mengakibatkan dehidrasi.

"Bagi sesetengah pesakit jantung yang mempunyai kencing manis kronik turut berdepan masalah apabila jumlah gula dalam darah badan menurun dengan banyak boleh mengakibatkan

'hypo'" katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan pesakit jantung yang ingin berpuasa supaya mendapatkan nasihat daripada doktor masing-masing.

"Melalui pemeriksaan doktor, pesakit akan mendapat gambaran sebenar berkenaan status penyakit jantung yang dihidapi,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 7:01 AM