AZAM menitikberatkan nilai eksklusif dalam sentuhannya.
AZAM menitikberatkan nilai eksklusif dalam sentuhannya.
Hafiz Ithnin

"Di dalam perniagaan fesyen, kita tidak boleh meletakkan keuntungan itu menjadi 'pendahulu', tetapi kerja seni itu di hadapan," jelas pereka dan usahawan fesyen berusia 43 tahun itu kepada penulis.

Selama 16 tahun membina jenamanya dalam industri berkenaan, bagi Azam Osman strategi memainkan peranan penting untuk mengukuhkan kedudukannya.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Operasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 2004, Azam terus mendalami bidang tekstil selama tujuh tahun bermula sebagai pemborong tekstil khususnya dari China dan Thailand.

Selepas itu, Azam nekad memulakan jenama Azammoff dan membuka butik pertama beliau pada 2011 di Shah Alam, Selangor.

Sehingga kini, jenama beliau sudah digayakan ramai profesional, selebriti dan golongan kenamaan termasuk kerabat diraja dari luar negara.

Azam mengakui industri fesyen tempatan sememangnya pesat membangun. Tidak dinafikan persaingan dalam kalangan rakan-rakan industri juga begitu kompetitif.

AZAM mempunyai strategi dalam mengukuhkan jenama dalam industri fesyen.
AZAM mempunyai strategi dalam mengukuhkan jenama dalam industri fesyen.

"Namun, kita sebagai pemain industri perlu tahu kekuatan diri masing-masing dan sasaran kepada pelanggan itu sendiri.

"Misalnya, saya mempunyai minat dalam industri fesyen batik, jadi saya perlu mencari kelainan supaya pelanggan dapat mengetahui keistimewaan yang ada pada jenama saya," katanya.

Mempunyai kepakaran dalam corak batik blok, Azam memancing inspirasi daripada alam semula jadi yang sememangnya sinonim dengan corak tradisional.

Jelasnya, dia mengekalkan corak yang mempunyai identiti tradisional dalam batik, tetapi perlu bijak mengadunkan dengan selera pembeli ketika ini yang mahu kelihatan moden dan praktikal.

"Pertama, meskipun bermain dengan corak tradisional, tetapi saya perlu menjadikannya lebih eksklusif dan tidak menjualnya dengan jumlah yang banyak.

"Ini kerana saya menyasarkan kepada pembeli dalam segmen kelas pertengahan dan ke atas. Mereka ini kebanyakannya mahukan sesuatu yang elegan dan mempunyai nilai eksklusif. Jadi, sebagai usahawan fesyen saya perlu peka mengenainya," katanya.

Jelasnya, pemakaian batik itu sendiri mempunyai etika tersendiri, jadi sebagai pereka fesyen dia perlu memahami personaliti dan acara yang akan dihadiri si pemakai.

"Apabila kita mempunyai pelanggan dalam segmen ini, mereka biasanya adalah golongan yang berada dalam etika pemakaian.

RONA pastel menjadi pilihan dalam sentuhan Azam.
RONA pastel menjadi pilihan dalam sentuhan Azam.

"Jadi, saya perlu memahami kesesuaian pakaian yang reka itu dengan acara supaya tidak melanggar etika dan praktikal untuk mereka. Dalam masa sama, elemen eksklusif dan elegan tetap diberi keutamaan," katanya.

Tambahnya, dia juga perlu peka dengan rona yang sentiasa menjadi perhatian dalam pasaran. Justeru, pengenalan warna pastel misalnya mampu menarik perhatian.

"Sebagai pereka fesyen saya perlu menjaga identiti fesyen itu sendiri iaitu menjaga tradisinya, tetapi kita juga perlu faham kepada kehendak pasaran yang mahukan sesuatu yang segar.

"Jadi, pada hemat saya tidak menjadi kesalahan jika mengolah sesuatu yang mengikut gaya terkini, tetapi tidak melupakan keasliannya dengan bermain rona yang lebih 'trendy'," katanya.

Sebagai peminat pakaian tradisi, Azam juga melihat pakaian itu mempunyai peminatnya tersendiri dan golongan muda ketika ini mula menjadikannya sebagai pakaian harian.

"Trend pakaian tradisional mula kembali menambat hati pembeli kerana pereka fesyen sudah mula menjadikannya lebih praktikal dengan situasi semasa.

"Perkara ini bermaksud, kita ambil konsep asasnya, tetapi diolah menjadi lebih praktikal dalam gaya itu supaya ia boleh disarungkan dalam pelbagai masa dan acara," katanya.

ANTARA sentuhan klasik yang dimodenkan.
ANTARA sentuhan klasik yang dimodenkan.

Ditanya mengenai cabaran, Azam berkata, ketika ini banyak usahawan fesyen yang terlalu mengejar keuntungan, tetapi mengetepikan 'penghargaan' kepada seni fesyen itu sendiri.

"Misalnya, kita boleh lihat jika satu corak itu dihasilkan, terdapat usahawan fesyen yang cuba meniru dan ia sesuatu perkara yang sebenarnya tidak wajar berlaku.

"Saya sendiri pernah berdepan situasi ini apabila ada pihak yang meniru corak batik blok dihasilkan oleh jenama saya. Mereka sekali gus, menipu pembeli," katanya.

Katanya, untuk terus kekal lama dalam industri fesyen keaslian sentuhan seni itu amat penting kerana ia dapat dihargai oleh peminatnya.

"Disebabkan itu, saya katakan seni perlu di hadapan dan keuntungan akan menyusul," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 7:00 AM