LELAKI pada hari ini tidak ketinggalan dalam mengikuti dunia fesyen.
LELAKI pada hari ini tidak ketinggalan dalam mengikuti dunia fesyen.
Hafiz Ithnin


INDUSTRI fesyen tempatan sememangnya berkembang dari masa ke masa. Tanpa wujud persempadanan jantina, ia sentiasa mempunyai pengikut tegar yang inginkan sesuatu yang mampu menonjolkan identiti tersendiri.

Justeru, pereka fesyen perlu mempunyai daya kreativiti untuk menghasilkan busana yang mampu memikat hati pengguna atau pembeli. Apatah lagi, pasaran fesyen tempatan begitu luas.

Bagi pereka fesyen muda, Mohammad Shafirul Riza Ibrahim, pengalaman seni amat membantu menghasilkan karya busana sentuhan peribadinya. Namun, dia juga perlu memahami kehendak pasaran.

Jelasnya, ketika mula menceburi industri itu pada 2017, busana wanita menjadi pilihan dengan menjadikan seni seperti lukisan dan arca sebagai ilham dalam busana sentuhannya.

Namun, dia melihat pasaran fesyen lelaki mempunyai potensi besar untuk diterokai memandangkan ketika ini golongan itu juga lebih berani dalam menonjolkan diri menerusi fesyen.

"Sebelum ini, saya gemar untuk menghasilkan pakaian wanita kerana ia lebih tampak bebas dalam berkarya berbanding lelaki yang mempunyai 'protokol' tersendiri.

"Gaya lelaki harus mengekalkan ciri-ciri maskulin dan tidak boleh berlebihan kerana sebagai pereka fesyen saya perlu faham penerimaan masyarakat setempat sekiranya sesuatu busana untuk lelaki itu digayakan mungkin kelihatan lebih feminin," katanya.

Katanya, untuk mencipta busana lelaki terutama dalam segmen kasual pastinya ciri - ciri praktikal memainkan peranan penting dan juga mudah untuk disuai padan dengan pakaian yang lain.

Jelasnya, karektor pembeli lelaki harus difahami sebelum dia mencipta sesuatu busana kerana golongan itu lebih gemarkan sesuatu yang ringkas tetapi mampu menonjolkan identiti tersendiri.

ANTARA sentuhan Riza membabitkan pakaian wanita.
ANTARA sentuhan Riza membabitkan pakaian wanita.

MENJADIKAN seni sebagai inspirasi dalam berkarya fesyen.
MENJADIKAN seni sebagai inspirasi dalam berkarya fesyen.

RIZA bersama model dalam satu persembahan fesyen.
RIZA bersama model dalam satu persembahan fesyen.

"Sebagai pereka fesyen, saya mempunyai cita rasa peribadi dalam mencipta busana tetapi ia mungkin tidak kena dengan selera pengguna. Jadi, saya perlu faham kehendak pasaran tetapi ia masih mempunyai ciri-ciri seni.

"Perkara paling penting sudah tentu membabitkan material yang mudah diuruskan seperti mudah untuk digosok dan rekaan yang lebih praktikal sekiranya dihasilkan untuk gaya kasual," katanya.

Katanya, konsep rekaan semestinya berlandaskan rekaan yang terkini, minimal dan mementingkan praktikal terhadap si pemakai.

"Inspirasi yang sering diketengahkan dalam penghasilan rekaan fesyen datang dari pelbagai aspek. Tidak menjurus kepada satu inspirasi, kerana bidang seni reka fesyen boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seni dan juga ekspresi sebagai satu medium komunikasi artistik.

"Antara konsep yang sering menjadi inspirasi dalam rekaan adalah dari seni bina, lukisan dan arca seni," katanya.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Shafirul berkata, dia pada mulanya mengikuti pengajian peringkat diploma hiasan dalaman. Kemudian melanjutkan pengajian dalam ijazah seni fesyen dan kini pula bergelar pelajar sarjana membabitkan fesyen.

"Bagi saya fesyen itu adalah sesuatu yang luas dan boleh diterokai. Jadi dengan mempunyai latar belakang pendidikan sebelum ini dalam bidang hiasan dalaman, ia boleh diterapkan dalam fesyen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 6:48 AM