PES yang sudah sejuk boleh disimpan di dalam bekas tertutup.
PES yang sudah sejuk boleh disimpan di dalam bekas tertutup.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP daripada kita mengimpikan berpeluang dapat menyediakan hidangan yang enak.

Namun hasrat itu kadang-kala terpaksa diketepikan berikutan kebiasaannya hidangan lazat seperti ikan bakar menuntut masa yang agak lama untuk disiapkan.

Kekangan masa kerana perlu memenuhi komitmen kerja dan perlu menguruskan keluarga, menyukarkan proses penyediaan hidangan ini.

Kesudahannya, kita perlu mendapatkan hidangan ini di restoran.

Sebenarnya terdapat 'helah' yang boleh digunakan untuk memudahkan dan menjimatkan masa menyediakan hidangan ini di dapur

Suri rumah, Norzela Rashib, 32, berkata, bagi menjimatkan masa dan tenaga dia menghasilkan pes ikan bakar.

"Pes ini turut boleh digunakan untuk masakan lain seperti sotong dan udang bakar.

"Dengan penghasilan pes ini, saya dapat mengurangkan masa memasak di dapur.

"Selain itu, pes ini juga mampu bertahan sehingga tiga bulan dengan syarat buang biji cili dan pastikan sambal dimasak sepenuhnya sebelum disimpan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dia yang aktif menghasilkan resipi di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok berkongsi cara mudah menyediakan pes ikan bakar.

Bahan-bahan

  • Cili kering (dalam 2 genggam)

  • 1 biji bawang merah

  • Bawang putih (5 hingga 6 ulas)

  • Halia dan lengkuas (sebesar ibu jari)

  • 2 batang serai

  • Beberapa helai daun limau purut

  • Sedikit belacan

  • Sesudu kecil pes asam jawa

  • Sesudu kecil serbuk kari

  • Sesudu kecil gula melaka.

    Cara penyediaan:

    1)Rebus cili kering terlebih dahulu

    2)Kisar dengan semua bahan kecuali daun limau purut.

    3)Masak pes dengan menggunakan sedikit minyak.

    4)Perlahankan api dan kacau pes sehingga cili dan bahan, masak.

    5)Apabila bahan sudah masak, tabur hirisan daun limau purut. (boleh juga tambah perasa seperti garam dan gula, ikut cita rasa sendiri).

    6)Tutup api dan biarkan pes sejuk seketika.

    7)Pes yang sudah sejuk boleh disimpan di dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk.

    ANTARA hidangan bersama pes ikan bakar.
    ANTARA hidangan bersama pes ikan bakar.

    Antara resipi dengan menggunakan pes tadi ialah

    A) Sotong bakar

    Hiris sotong dan bendi kemudian bakar sebentar di dalam ketuhar mikro gelombang. Apabila air sotong dikeluarkan, lumur bersama pes kemudian bakar sekali lagi. Hidangan enak dimakan bersama nasi dan aneka ulam-ulaman.

    B) Ikan tilapia hitam bakar

    Hanya menggunakan pes yang disediakan, lumur pes pada ikan kemudian bakar, dinikmati bersama pelbagai pilihan ulam-ulaman. Menu yang sangat mudah apabila tetamu berkunjung ke rumah.

    C)Udang bakar bersama kacang bulu (edamame)

    Lumur pes pada udang kemudian tambahkan edamame. Bakar sebentar di dalam ketuhar mikro gelombang. Hidang bersama nasi juga ulam-ulaman.

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 6:38 AM