TIADA yang lebih mengujakan bagi seorang kanak-kanak apabila tiba waktu bermain. Segala riak tubuh termasuk perkembangan intelektual dan emosi jelas terpamer apabila mereka bermain.
Namun ramai ibu bapa masa kini lebih senang menyediakan gajet sebagai alat permainan. Si anak menjadi 'ralit' bermain dan keadaan itu tidak sejajar dengan keperluan seperti mana pengalaman bermain kaedah atau menggunakan alat permainan konvensional.
Menurut Pegawai Perubatan Klinik 'Afiya, Kota Bharu, Kelantan Dr Siti Amalina Mohd Noh, keadaan itu salah satu contoh sikap ibu bapa yang masih tidak cakna mengenai pemilihan barang permainan yang selamat dan sesuai untuk anak mereka.
Katanya, kebanyakan berpunca daripada kelemahan ibu bapa itu sendiri yang kurang menimba ilmu berkaitan perkembangan kanak-kanak menyebabkan anak mereka tidak mendapat keperluan atau manfaat daripada aktiviti bermain sewajarnya.
"Alam kanak-kanak ini keseronokannya adalah bermain dan aktiviti itu menjadi penting apabila mampu merangsang skil seiring dengan perkembangan usia mereka.
"Kalau lihat perkembangan di negara maju, kebanyakan ibu bapa selektif dalam pemilihan alat permainan bersesuaian dengan peringkat perkembangan kerana mereka sudah mula mempelajari peringkat perkembangan kanak-kanak seawal merancang ingin memiliki keluarga lagi.
"Sejak usia bayi tiga bulan lagi, ibu bapa di sana sudah menyediakan pelbagai permainan dan aktiviti bersesuaian dengan usia si anak," katanya.
Tambah Siti Amalina, sebenarnya setiap ibu bapa yang memiliki maklumat berkaitan perkembangan anak masing-masing dari usia 0 hingga 6 tahun dalam buku rekod perkembangan yang diberi.
"Doktor kebanyakan akan tanya kepada ibu bapa apa kemahiran dan tindak balas interaksi anak setiap kali mereka lakukan pemeriksaan kesihatan anak.
"Dalam setiap peringkat umur tertentu, ibu bapa kena isi perkembangan anak mereka. Ada soalan diberikan pada ibu bapa yang perlu dijawab.
"Sebagai contoh adakah anak mereka sudah pandai memberi senyuman, reaksi pada wajah atau suara ibu atau gemar mendengar bunyi?
"Namun pengamatan saya sendiri, ibu bapa yang komited mengisi atau cakna dengan tugas mengisi maklumat perkembangan tidak sampai 10 peratus. Mereka hanya melihat aspek keperluan bayi berdasarkan berat dan tinggi tubuh selain jadual imunisasi perlu dilengkapi.
"Pada peringkat usia tiga hingga empat bulan, bayi mudah tertarik kepada benda yang mengeluarkan bunyi dan benda bergerak," katanya.
Atas faktor itu, sepatutnya sudah disediakan permainan patung yang lembut (soft toy) seawal usia tiga bulan lagi untuk rangsang perkembangan kognitif, pelbagai motor sensori dan emosi si anak.
Maklumat yang ada dalam rekod perkembangan anak boleh digunakan ibu bapa sebagai rujukan membeli alat permainan yang sesuai.
Kata pegawai perubatan itu lagi, cara atau karakter anak bermain juga berlainan setiap peringkat umur dan itu menjadikan pilihan jenis permainan juga berbeza.
"Dari usia bayi 0 hingga satu bulan, peringkat ini dikenali sebagai tahap 'Unoccupied Play' iaitu bermain dengan gerakan semborono yang mana bayi itu mengamati jari dan kaki sendiri termasuk gerakan dilakukan.
"Ketika fasa itu juga, dia suka menggoncang atau melakukan gerakan sesuka hati. Ibu bapa kena cari alat mainan yang lembut dan mengeluarkan bunyi kerana itu boleh menarik perhatian mereka.
"Berlainan bagi anak mereka yang berusia tiga atau empat tahun yang mana bermain permainan yang boleh dilakukan bersama dengan orang lain dan mempunyai elemen mengasah skil kognitif terutama dalam penguasaan kata serta berbentuk susun gambar," katanya.
Kata Dr Siti Amalina, beberapa tip boleh diamalkan ibu bapa dalam memilih atau memastikan alat permainan selamat dan sesuai antaranya;