Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Apabila menyebut osteoporosis, ramai mengaitkannya dengan masalah berkaitan tulang rapuh. Masalah osteoporosis kurang diberi perhatian walaupun ia banyak memberi kesan buruk kepada lelaki mahupun wanita selepas memasuki fasa usia lanjut.

Jika sejak kecil kita mendapat sumber kalsium dan vitamin D yang mencukupi, ia mungkin membantu mengurangkan risiko mendapat osteoporosis dalam tempoh awal.

Osteoporosis ialah masalah kerapuhan tulang. Tulang adalah tisu hidup yang terdiri daripada bahagian luar yang keras, mengandungi jaringan kolagen (serat elastik yang kuat), bahan mineral, salur darah dan sumsum tulang.

Justeru, terdapat senaman yang sesuai bagi membantu menguatkan tulang. Namun, ia perlu mendapat saranan dan nasihat pakar berkaitan terlebih dulu sebelum melakukannya bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Menurut pelatih kecergasan TRX dan kettlebell, Mohamed Azlan Zain Mohamed, lazimnya individu yang mengalami masalah ini perlu mengelakkan diri mereka daripada terjatuh.

"Justeru, mereka perlu banyak melakukan latihan imbangan seperti berdiri dengan sebelah kaki dalam sudut berbeza. Senaman yang tidak kena dengan keadaan pesakit akan memudaratkan kesakitan yang dialami justeru, kebanyakan pesakit akan dinasihat melakukan banyak senaman statik.

"Bagi pengunjung gimnasium, sebelum melakukan sebarang latihan senaman, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan dan nasihat daripada doktor pakar," katanya.

Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan kebenaran daripada juruterapi untuk melakukan senaman baru selepas terapi bagi mengelakkan sebarang kesan yang lebih buruk.

Katanya, sebelum melatih pesakit yang mempunyai masalah berkaitan sendi atau tulang, individu itu perlu mendapatkan kebenaran daripada doktor dan fisioterapi.

Apabila doktor membenarkan pesakit untuk berjumpa pelatih kecexrgasan, barulah diselidik gerakan yang sewajarnya.

Misalnya, jika ada sejarah patah tulang belakang atau pinggul, bahagian berkenaan akan diberi perhatian bagi membantu menguatkan semula otot dan sendi yang bermasalah dengan senaman ringan menggunakan berat badan sendiri.

"Individu yang mengalami masalah sendi ini tidak digalakkan joging kerana hentakan yang berlaku akan menyebabkan keadaan bertambah teruk.

"Bagi individu yang gemar melakukan senaman aerobik, sebaiknya berhati-hati kerana bukan semua studio ada menyediakan pelapik khas lantai.

"Sebelum melakukan senaman untuk masalah sendi atau tulang rapuh ini, individu itu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dulu," katanya.

Sebaiknya, senaman perlu dilakukan dengan pemerhatian juruterapi bagi mengelak masalah yang lebih serius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 10:25 PM