INISIATIF Pusat Beli-Belah Alamanda menyalurkan sumbangan makanan sebagai sokongan kepada petugas barisan hadapan.
INISIATIF Pusat Beli-Belah Alamanda menyalurkan sumbangan makanan sebagai sokongan kepada petugas barisan hadapan.
Nurul Husna Mahmud

DALAM menyemarakkan sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, Pusat Membeli-belah Alamanda, Putrajaya menyantuni petugas barisan hadapan Hospital Putrajaya.

Usaha itu dilakukan menerusi sumbangan bernilai RM10,000 yang disalurkan dalam bentuk peruntukan makanan sebagai menghargai peranan petugas hospital itu dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat terutama ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Menurut Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora'I Mohd Said, pihaknya menghargai inisiatif pusat beli-belah itu yang prihatin dengan kesejahteraan warga kerjayanya.

"Saya mewakili seluruh warga kerja dan rakan seperjuangan ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pengurusan Pusat Beli-Belah Alamanda atas inisiatif murni dalam menghulurkan bantuan khususnya di kala tempoh getir ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Esekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, sumbangan makanan dan minuman ini adalah kesinambungan tema 'We Are With You' oleh pihak pengurusan terus membantu pejuang barisan hadapan negara.

PETUGAS barisan hadapan Hospital Putrajaya ceria menerima sumbangan makanan.
PETUGAS barisan hadapan Hospital Putrajaya ceria menerima sumbangan makanan.

"Hari Malaysia adalah sambutan yang perlu diwacanakan sebagai titik penilaian aspek kemanusiaan dari sudut yang lebih dalam.

"Ia seiring usaha rakyat Malaysia yang terus melawan pandemik Covid-19 selain melihat sokongan yang konsisten buat petugas barisan hadapan perlu berterusan.

"Ini penting dalam menyuntik semangat bersatu hati meneruskan perjuangan melawan pandemik," katanya.

Kata Brien, sumbangan itu adalah yang ketiga untuk tahun ini di mana serahan sumbangan pertama dan kedua diberikan pada 11 Februari dan 3 Mei lalu.

"Pihak pengurusan Pusat Beli-Belah Alamanda membeli bekalan yang berbentuk makanan dan minuman sejuk daripada penyewa runcit pusat beli-belah itu sendiri untuk disumbang kepada warga kerja Hospital Putrajaya.

"Pendekatan aktiviti tanggungjawab sosial pada kali ini diteruskan untuk menyambung inisiatif Pusat Beli-Belah Alamanda yang sedia membantu pejuang barisan hadapan dan kelompok komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:30 AM