RED Bull membawa selebriti terkenal, Nabil Ahmad berkunjung ke The Royal Press. FOTO NSTP
RED Bull membawa selebriti terkenal, Nabil Ahmad berkunjung ke The Royal Press. FOTO NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


THE Royal Press (TRP) yang terletak di Melaka boleh diumpamakan sebagai ‘muzium’ hidup pertama di negara ini kerana memiliki pelbagai koleksi ‘polyglot’ yang didedikasikan untuk memelihara kraf percetakan huruf.

Banyak barangan percetakan disimpan rapi di premis dua tingkat berkenaan antaranya jenis Glockner-Mercedes tahun 1956 dan Linotype Model 78 yang diperbuat pada tahun 1961.

Selain itu, TRP juga menyimpan khazanah sejarah Melaka berusia lebih 81 tahun antaranya kotak perubatan, akhbar lama, tiket bas lama serta kalendar Peranakan tahun 1950.

Paling menarik, ‘muzium’ terbabit juga menyimpan lebih 150,000 blok cetak dalam empat bahasa iaitu huruf Roman, Cina, Arab dan Tamil.

Kepelbagaian koleksi yang dimiliki jelas mencerminkan keunikan TRP dan kehidupan komuniti masyarakat berbilang kaum di negara ini khususnya di Melaka .

PENGUNJUNG melihat peralatan cetak yang dipamerkan. FOTO NSTP
PENGUNJUNG melihat peralatan cetak yang dipamerkan. FOTO NSTP

Keunikan dan nilai sejarah yang dimiliki turut mendorong jenama minuman tenaga, Red Bull bekerjasama dalam menjemput selebriti berpengaruh seperti pengacara terkenal, Nabil Ahmad untuk berkunjung ke muzium berkenaan .

Nabil bagaimanapun tidak keseorangan kerana turut serta dalam kunjungan itu adalah beberapa pengikutnya yang bertuah.

Mereka bukan sahaja meluangkan masa mengikuti lawatan peribadi malah turut menyertai bengkel menarik yang diadakan di muzium berkenaan.

Menurut kenyataan Red Bull, pihaknya mengikuti perkembangan muzium berkenaan yang memulihara sejarah percetakan di tapak bersejarah, Melaka dan mahu ia dihargai masyarakat di negara ini.

“TRP menyimpan pelbagai khazanah negara ini dan muzium ‘hidup’ seperti itu sememangnya perlu dihargai masyarakat tanpa mengira peringkat umur.

“Sama-sama kita hargainya dengan mempertahankan, menghayati dan melindungi warisan bersejarah itu untuk masa depan generasi akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:45 PM