ISPARTA turut dikenali dengan nama Bandar Ros Turki.
ISPARTA turut dikenali dengan nama Bandar Ros Turki.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Sebut saja mengenai Turki, pasti yang terbayang di mata adalah keindahan seni bina di kota Istanbul dan pemandangan belon udara menarik di Cappadocia.

Namun, tidak ramai yang tahu, Turki juga popular dengan pelbagai festival di beberapa wilayahnya antaranya festival bunga ros yang bermula antara Mei hingga Jun setiap tahun.

Destinasinya adalah di sebuah negeri kecil, Isparta yang terletak kira-kira sembilan jam perjalanan kereta dari Istanbul.

Isparta hanyalah seluas kira-kira 9,000 kilometer persegi dan penduduknya juga tidak ramai iaitu hampir 500,000 sahaja.

Pada musim bunga dan musim luruh, bandar berkenaan dikunjungi pelancong dari serata Turki dan seluruh dunia untuk menyaksikan proses memetik bunga ros.

Sejak bertahun lamanya Isparta terkenal dengan jolokan 'Bandar Ros Turki,' selain tanaman dan industri produk berasaskan bunga ros juga adalah perniagaan utama di bandar berkenaan.

BUNGA ros mekar dan dipetik antara Mei hingga Jun.
BUNGA ros mekar dan dipetik antara Mei hingga Jun.

Pada musim bunga iaitu sekitar awal April hingga Jun, ros mula mekar dan sepanjang jalan di Isparta dipenuhi pelbagai jenis bunga itu yang berwarna-warni.

Ia menjadikan kawasan Isparta tidak ubah bagaikan hamparan lembah yang dipenuhi bunga ros dan berbau segar.

Pelancong biasanya mengambil pakej melawat ladang ros untuk memetik sendiri bunga berkenaan.

Bagaimanapun, jika mahu menyertai pekerja memetik bunga ros, pengunjung perlu berada di ladang pada awal pagi kerana ia biasanya selesai sebelum jam 10 pagi.

PERLU dipetik pada awal pagi untuk menjaga kualiti minyaknya.
PERLU dipetik pada awal pagi untuk menjaga kualiti minyaknya.

Bunga ros segar dan mekar pada awal pagi, justeru bagi menjaga kualiti minyak pada bunganya, ia perlu dipetik sebelum matahari meninggi serta perlu diproses pada hari yang sama.

Kebiasaannya, selepas tempoh memetik bunga itu selesai, pengunjung berpeluang melawat kilang pemprosesan ros.

Di sana, pengunjung boleh melihat sendiri bagaimana minyak diesktrak daripada bunga ros secara tradisional.

Sepanjang festival berlangsung, pengunjung juga turut berpeluang menyaksikan pertunjukan dan pameran produk berasaskan ros.

Untuk makluman, bunga ros dari kawasan itu bukan hanya dijual untuk hiasan sebaliknya menjadi bahan penting dalam banyak jenis produk antaranya minyak ros, air ros, jem dan material mentah dalam pembuatan produk kosmetik.

Bunga ros di Isparta dikatakan memiliki keistimewaan tersendiri dan salah satunya adalah bau yang lebih kuat.

 BUNGA yang dipetik akan diproses pada hari sama.
BUNGA yang dipetik akan diproses pada hari sama.

Sementara itu, pengunjung juga disarankan supaya tidak melepas peluang menghayati keindahan tasik semula jadi di Isparta seperti Tasik Golcuk Crater, Tasik Kovada, Tasik Salda dan Tasik Egildir.

Pengunjung juga boleh mengunjungi Tapak Arkeologi Sagalassos yang kaya dengan sejarah era empayar Roman dan masjid terkenal, Ulu Camii.

Selain itu, wilayah Isparta juga terkenal dengan industri pembuatan karpet bermutu tinggi.

TAPAK Arkeologi Sagalassos yang kaya dengan sejarah era empayar Roman.
TAPAK Arkeologi Sagalassos yang kaya dengan sejarah era empayar Roman.

Jadi, jika berkunjung ke Turki pada masa terdekat ini, jangan lupa selitkan Isparta dalam jadual lawatan anda.

Ia sesuai dikunjungi selepas melawat Pamukkale kerana terletak kira-kira dua jam sahaja perjalanan menaiki bas.

Dari Isparta, anda juga boleh mengunjungi Konya, Ankara atau Cappadocia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 7:00 AM