KETIKA pendemik Covid-19 terdapat suami yang kehilangan isteri (gambar hiasan).
KETIKA pendemik Covid-19 terdapat suami yang kehilangan isteri (gambar hiasan).
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


KASIH ibu membawa ke syurga, kasih bapa kekal selamanya. Begitulah antara ungkapan yang sering kita dengar apabila membicarakan mengenai kasih kedua-dua insan itu.

Ketika ini, kisah ibu muda yang terkorban ketika hamil akibat Covid-19 bukan sesuatu yang asing. Lebih menyentuh perasaan apabila si ibu tidak sempat melihat anak yang dilahirkan secara pembedahan.

Tidak sekadar itu, ada juga juga wanita syurga itu kembali ke negara abadi dengan meninggalkan si suami dan anak-anak yang masih kecil.

Perasaan reda itu perlu ada tetapi pada masa sama rasa sedih hadir apatah lagi harus membina kekuatan membesarkan anak-anak bukan sesuatu yang mudah. Meskipun, lelaki sering kali dikaitkan jiwa kental!

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, Pusat Penyelidikan Pew di Amerika Syarikat menunjukkan data yang agak mengejutkan.

"Di negara-negara maju, statistik menunjukkan kenaikan ketara fenomena 'bapa tunggal' sejak tahun 1960-an hingga kini.

"Di United Kingdom pula, berpuluh-puluh organisasi kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan nasib ratusan ribu bapa tunggal yang terus berusaha membesarkan anak-anak yang kehilangan ibu mereka," katanya.

Jelasnya, apabila berlakunya kematian si ibu, sokongan lingkungan terdekat amat diperlukan untuk membantu bapa tunggal.

"Siapakah lingkungan terdekat ini? Emak dan ayahnya jika masih hidup serta adik-beradik terdekat khasnya. Ada kalanya saudara-mara dan sahabat rapat juga dapat memberi sokongan terutamanya pada peringkat awal.

"Bantuan dan sokongan sementara seperti menjaga anak-anak bapa tunggal itu pasti akan membantunya untuk bingkas berdiri selepas tragedi kematian melanda," katanya.

Dr Airil Haimi berkata, konsepnya sama seperti apabila berlaku penceraian dan seorang ayah diberi hak jagaan anak. Sesekali kalau ada orang lain menjaga anak-anaknya terutama yang masih kecil, pasti minda dan semangat lelaki itu dapat diperkuatkan.

"Hakikatnya sokongan lingkungan terdekat boleh menjadi faktor utama kejayaan atau kegagalan bapa tunggal itu mengurus dan menjaga anak-anaknya.

"Kasih sayang datuk, nenek, ibu dan bapa saudara dapat membantu famili yang dilanda tragedi itu pada jangka masa panjang," katanya.

Katanya, usia anak-anak juga membawa kesan kepada seorang bapa tunggal. Bapa tunggal yang terpaksa menjaga seorang bayi secara bersendirian dengan bapa tunggal yang terpaksa hidup dengan anak remajanya ada kesan serta tekanan yang berbeza.

"Saya sendiri pernah menjadi bapa tunggal dengan seorang anak perempuan. Yang pasti, semakin anak itu membesar proses penjagaan menjadi semakin mudah kerana anak saya juga sudah boleh menjaga dirinya sendiri.

"Untuk bapa tunggal yang baru kematian isteri, hakikat ini akan membawa tekanan khasnya apabila dia terpaksa keluar rumah mencari rezeki," katanya.

Tambahnya, namun hari ini kita sudah ada penjagaan profesional dan pembantu rumah yang boleh membantu kalau anak-anak itu masih kecil.

MENANGIS adalah cara untuk meluahkan perasaan sedih.
MENANGIS adalah cara untuk meluahkan perasaan sedih.

"Persediaan mental sebenarnya amat kritikal kerana bapa tunggal itu kini terpaksa menjaga anak-anak ke tahap kasih dan sayang seorang ibu selain

pada masa yang sama, berusaha keras mencari dan menambah rezeki keluarga.

"Institut Penyelidikan Kekeluargaan di Amerika Syarikat menyatakan bahawa cabaran besar yang dihadapi bapa tunggal bukan hanya dirasai di peringkat peribadi dan famili tetapi juga dalam komuniti serta masyarakat," katanya.

Katanya, majikan yang kurang empati dan rasa kasihan misalnya, cenderung menutup mata apabila seorang bapa tunggal harus bercuti kecemasan untuk menjaga anak yang kurang sihat.

"Tidak kira bapa tunggal itu bekerja dalam pasukan pengurusan atau staf biasa, cabaran ini terpaksa dihadapi hanya kerana dia seorang lelaki.

"Tidak guna juga kalau bapa tunggal itu memiliki daya kebingkasan (resilience) yang tinggi dan dapat bangkit dengan cepat atau dia ada lingkungan terdekat yang dapat membantunya tetapi dia tertekan di tempat kerja atau ditekan majikan," katanya.

Katanya, ketidakadilan terhadap jantina lelaki ini, khasnya terhadap bapa tunggal, perlu diubah dengan undang-undang dan peraturan.

"Masyarakat harus sedar, bapa tunggal juga perlu hak dan keistimewaan seperti mana ibu tunggal diberi bantuan oleh masyarakat," katanya.

Menurutnya, dalam kita membincangkan isu bapa tunggal kerana kematian isteri yang terpaksa menjaga anak-anaknya, salah satu jalan keluar yang sering kita dengar adalah menyuruh lelaki itu berkahwin lagi.

"Secara logik akal, saya rasa jalan penyelesaian ini boleh dicuba sama ada oleh ibu atau pun bapa tunggal. Akan tetapi, tidaklah adil kalau kita mengharapkan isteri atau suami baharu itu b

oleh mengganti sepenuhnya peranan teman hidup kita yang sudah meninggal dunia.

"Cinta romantis perlu dipupuk bukan dipaksa. Berkahwin lagi semata-mata untuk mencari ibu baharu untuk anak-anak bukan jalan keluar terbaik.

"Apa pula kisahnya nanti kalau ibu baharu itu tidak dapat memainkan peranan yang diperlukan? Sebagai bapa tunggal, berikan diri anda masa jika ingin bernikah lagi," katanya.

Dr Airil Haimi berkata, lebihkan masa yang ada untuk anak-anak dengan anda sekarang. Benar jika seseorang itu kematian isteri tetapi sedarlah anak-anak anda pula kehilangan ibu!

"Manfaatkan masa yang ada untuk memupuk kasih sayang sesama ahli famili. Jika kelak rasa cinta berlabuh lagi minta pendapat dan kebenaran anak-anak serta kenalkan mereka dengan bakal ibu baharu mereka.

"Berikan masa kepada semua, sebelum anda berkahwin sekali lagi," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 7:00 AM