BINCANG dan lebih bersifat terbuka dengan anak-anak jika mereka mengalami masalah.
BINCANG dan lebih bersifat terbuka dengan anak-anak jika mereka mengalami masalah.
Hafiz Ithnin

Sedangkan kita yang sudah dewasa pun seharian tidak keluar dari rumah pun sudah terasa bosan dan tertekan, inikan pula kanak-kanak.

Perkara itu mungkin menjadi kegusaran ibu bapa ketika berdepan situasi penularan pandemik Covid-19 yang sememangnya memerlukan kita semua sebaik-baiknya berada di rumah demi menjaga keselamatan diri.

Saintis Sosial Multi Disiplin dan Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, kajian saintifik Profesor Shweta Singh dalam jurnal berwasit terkenal 'Psychiatry Research' pada 2020 membuktikan bahawa Covid-19 membawa gangguan kepada tahap kestabilan psikososial dankesihatan mental remaja serta kanak-kanak.

Jelasnya, isu yang sama juga mendapat perhatian pakar-pakar tersohor dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat.

"Lima isu kesihatan psikososial dan mental remaja serta kanak-kanak diketengahkan pusat itu.

"Pertamanya, gangguan rutin hidup seharian, diikuti gangguan proses pendidikan, gangguan penjagaan kesihatan, kehilangan episod penting kehidupan dan juga kehilangan rasa selamat dalam hidup," katanya.

Dr Airil Haimi berkata, terdapat kanak-kanak dan remaja yang sudah di tahap 'trauma' kerana keadaan semasa yang sangat tidak menentu.

"Dalam kita memfokus kepada dilema, konflik dan masalah yang dihadapi orang dewasa ketika pandemik ini, kita tidak boleh lupa trauma yang kini dihadapi anak kecil dan remaja.

"Kesejahteraan sosial, emosi dan mental orang muda juga sangat terkesan kerana Covid-19. Gangguan dalam hidup mereka ditambah dengan hilangnya peluang untuk hidup secara normal memberi kesan yang sangat teruk sebenarnya," katanya.

Jelasnya, selepas pandemik ini surut sekali pun anak kecil dan remaja perlukan masa untuk menyesuaikan diri mereka.

"Yang pasti, emak, ayah dan ahli keluarga di rumah perlu mengambil inisiatif yang lebih berkesan untuk mengurangkan kesan trauma mereka alami," jelasnya.

Justeru katanya, beberapa tip mungkin boleh membantu ke arah itu. Jika anda hidup bersama seorang anak kecil yang berusia 0 hingga 5 tahun, mulakan usaha dengan mengenali rasa risau, stres atau takut yang dihadapinya.

"Perasaan negatif bukan hanya hinggap dalam diri orang dewasa sahaja. Apabila emak, ayah atau penjaga berasa bimbang atau tertekan, kanak-kanak termasuk yang hanya berusia 2 tahun boleh dijangkiti tekanan emosi itu.

"Kanak-kanak 3 hingga 5 tahun pula mungkin bimbang dijangkiti Covid-19 atau orang yang mereka sayangi juga jatuh sakit," katanya.

Dr Airil Haimi berkata, kebimbangan atau kesedihan yang berlebihan, tabiat makan atau tidur yang tidak normal di samping kesukaran memberi perhatian dan tumpuan adalah beberapa tanda risau, stres atau takut dalam diri anak kecil.

"Selain itu, kanak-kanak pada peringkat usia ini juga perlu makan, minum dan rehat yang cukup untuk menjamin kestabilan psikososial dan kesihatan mental.

LAKUKAN pelbagai aktiviti menyeronokan di rumah bersama anak-anak boleh membantu menghilangkan tekanan.
LAKUKAN pelbagai aktiviti menyeronokan di rumah bersama anak-anak boleh membantu menghilangkan tekanan.

"Pastikan juga mereka selalu dapat berhubung dengan dunia luar, dengan nenek dan datuk di kampung misalnya, paling tidak melalui panggilan telefon atau panggilan video," katanya.

Katanya, untuk kanak-kanak dalam lingkungan usia 6 hingga 12 tahun pula, selain petua yang sama untuk kanak-kanak yang lebih muda, mereka perlukan rangsangan fizikal yang lebih.

"Kanak-kanak sebenarnya perlukan rangsangan melalui aktiviti fizikal, tidak kira usia mereka. Aktiviti fizikal ini kelak akan membantu mengurangkan rasa risau, stres atau takut di samping meningkatkan tahap kesihatan fizikal.

"Berlari di luar rumah, berjalan pantas atau sebarang aktiviti yang dibolehkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dilakukan sekerap mungkin di bawah pemerhatian emak dan ayah," katanya.

Jelasnya, aktiviti ini juga pasti dapat memupuk rasa kasih dan sayang dalam keluarga berkenaan. Kestabilan psikososial dan kesihatan mental kanak-kanak dapat dijamin dengan pemantauan berterusan selain empati yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga.

"Walaupun ayah dan emak juga sedang terkesan kerana pandemik global ini, rasa kasih dan sayang sesama mereka dapat membawa kesan yang positif buat semua.

"Untuk remaja 13 hingga 18 tahun, seperti anak kecil, anak remaja juga perlu dipantau dan dibantu dari sudut mental serta psikososial ketika pandemik," katanya.

Katanya, remaja tidak kurang terkesan dengan PKP dan penularan pandemik Covid-19. Malah tekanan mental mereka ditambah pula dengan kelas dalam talian, ujian dan peperiksaan yang terpaksa diduduki dalam keadaan serba kekurangan.

"Selain petua yang dikongsi untuk kanak-kanak, remaja boleh diberi sokongan lisan dengan berkongsi cerita dan menyelami perasaan mereka.

"Penceritaan seperti ini dapat membantu mereka untuk berasa selamat dan lebih yakin untuk menghadapi hari esok," katanya.

Katanya, paling utama, jangan berhenti untuk menyelami hati dan perasaan mereka walaupun mungkin agak sukar untuk berinteraksi dengan anak remaja yang cepat beremosi selain mudah memberontak jika mereka berasa terlalu risau, stres atau takut.

"Tidak dapat disangkal bahawa pandemik yang berterusan ini membawa kesan tidak baik kepada perhubungan antara ahli keluarga.

"Semua ahli keluarga, tidak kira usia, terkesan dengan isu-isu berkaitan Covid-19. Pada masa yang sama, keistimewaan hubungan kekeluargaan juga boleh menjadi kunci agar setiap ahlinya dapat menjaga ahli yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 7:01 AM