TERDAPAT pelbagai jenis pewarna rambut di pasaran tetapi pembeli perlu tahu kandungannya.
TERDAPAT pelbagai jenis pewarna rambut di pasaran tetapi pembeli perlu tahu kandungannya.
Hafiz Ithnin


MEWARNA rambut bukan sesuatu perkara yang asing dalam kalangan masyarakat kerana ia boleh menonjolkan diri lebih muda kerana rambut sudah beruban.

Di sisi lain juga, terdapat individu yang sering mewarnakan rambut untuk kelihatan mengikut trend masa kini dan ia seolah-olah mampu menonjolkan identiti diri.

Tenaga Pengajar Seni Reka Gaya Rambut GIATMARA Ampang Jaya, Syafiqah Janudin berkata, bagi penganut Islam mereka perlu memastikan bahan yang digunakan adalah bersifat telus air di rambut.

Jelasnya, setiap rambut terdiri daripada dua bahagian iaitu folikel rambut dan batang rambut. Folikel rambut mengandungi sel hidup. Pigmen melanin rambut terhasil daripada folikel rambut.

"Apabila pembentukan melanin berkurangan, maka terjadi uban. Pewarna rambut pula terbahagi kepada dua kategori iaitu separa kekal atau kekal.

"Bagi separa kekal, hanya melitupi lapisan luar batang rambut sahaja dan akan hilang apabila beberapa kali cucian dilakukan berbanding warna kekal yang bersifat sebaliknya," katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa bahan di dalam pewarna rambut paraphenylenediamine (PPD) yang bersifat kekal walaupun dibasuh dengan syampu dan hasilnya kualiti warna kelihatan seakan semula jadi.

"Kedua, hidrogen peroxide(H202) iaitu sejenis cecair yang dibancuh bersama pewarna rambut bagi mengaktifkan peleraian hidrogen peroksida dan membantu campuran warna menembusi lapisan rambut.

"Selain itu ialah amonia yang dapat menembusi lapisan rambut dan membuatkan pewarnaan rambut tahan dengan lebih lama," katanya.

Antara kesan bahan-bahan itu bagi mereka yang mengalami alahan ialah amonia boleh menyebabkan ekzema dan dermatitis.

"Manakala, hidrogen peroksida boleh menyebabkan gejala mual, muntah atau muntah darah jika termakan, kalau terlalu kerap hidu menyebabkan sesak nafas dan bengkak paru-paru.

"PPD pula menyebabkan alahan, ruam, melecet, bengkak pada kelopak mata, cuping telinga, leher. Walaupun jarang berlaku tetapi PPD boleh menyebabkan vitiligo atau leukoderma," katanya.

KHIDMAT nasihat pendandan rambut untuk mewarna rambut mampu mendapatkan warna yang sesuai.
KHIDMAT nasihat pendandan rambut untuk mewarna rambut mampu mendapatkan warna yang sesuai.

Katanya, tidak semua individu mempunyai alahan kepada bahan berkenaan. Individu yang sensitif atau mempunyai alahan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Justeru, Syafiqah berkongsikan beberapa tip bagi mewarna rambut:

1. Bagi mereka yang was-was, gunakan warna semula jadi kerana produk itu mempunyai bahan seperti vitamin B, pelbagai lemak sayur-sayuran, penapis sinar ultra ungu (UV). Bahan-bahan ini dapat melindungi rambut dan kulit kepala.

2. Bagi mereka mempunyai kulit kepala sensitif, boleh memilih pewarna sementara atau separa kekal seperti henna. Namun, pastikan bahawa produk itu bukan tiruan.

3. Jarakkan tempoh warnakan rambut. Jangan tukar warna rambut dalam tempoh yang dekat. Seelok-eloknya tunggu antara dua hingga tiga bulan.

4. Bagi wanita hamil, pewarnaan boleh dilakukan selepas trimester ketiga bagi mengelakkan kesan kepada bayi dalam kandungan. Sebaiknya dapatkan nasihat doktor pakar terlebih dahulu.

5. Gunakan khidmat salun bagi mewarnakan rambut kerana pendandan dilatih dan mempunyai pengetahuan cukup luas bagi menghasilkan warna rambut yang cantik serta selamat. Selain itu, mereka juga boleh menasihatkan kesesuaian warna.

6. Jika anda mempunyai kulit kepala yang bermasalah seperti ekzema atau psoriasis, digalakkan dapatkan khidmat nasihat doktor dahulu sebelum melakukan sebarang pewarnaan rambut kerana khuatir ia memberi masalah kepada kulit kepala dan menjadi lebih teruk termasuk terkena jangkitan.

7. Dapatkan warna rambut di kedai seperti farmasi atau kedai pengedar pewarna rambut yang berlesen kerana warna yang dijual boleh memberi jaminan keselamatan apabila digunakan. Rujuk juga kepada pendandan dan atau individu yang tahu mengenai pewarnaan rambut bagi mengelak terjadinya perkara yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:50 AM