MENGUTAMAKAN keselesaan penghuni dan tetamu.
MENGUTAMAKAN keselesaan penghuni dan tetamu.
Muhamaad Razis Ismail


Memiliki rumah sendiri bukan keputusan mudah kerana ia menuntut komitmen besar yang perlu ditanggung pembeli untuk satu tempoh yang lama.

Apatah lagi rumah yang ingin dibeli terletak di lokasi strategik terutama di sekitar Lembah Klang yang pasti mempunyai nilai hartanah tinggi.

Menyedari hakikat itu, Mimie Nabila Ab Fattah dan suami, Kamarulhayat Zulkipeli yang masing-masing berusia 29 tahun lebih selesa menyewa rumah di Klang, Selangor.

Bagi mereka, memiliki sebuah rumah sendiri hanya angan-angan kosong yang hampir mustahil untuk dicapai kerana menyedari tahap kemampuan kewangan apatah lagi baharu mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila mentua Mimie Nabila menawarkan sebidang tanah kosong dengan harga sangat berpatutan untuk membina sebuah rumah.

Umpama bulan jatuh ke riba, selepas berfikir secara mendalam, mereka membuat keputusan menerima tawaran itu.

Lebih manis, rumah yang dinamakan 'Rumah Senget' itu diduduki pada malam sambutan Aidilfitri tahun lalu.

MIMIE Nabila bersama suami, Kamarulhayat di ruang tamu rumah mereka.
MIMIE Nabila bersama suami, Kamarulhayat di ruang tamu rumah mereka.

Berkongsi berkenaan rumah pertamanya itu, Mimie Nabila berkata, sebelum itu mereka tinggal menyewa di kawasan berhampiran selama tiga tahun.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia dan suami tidak merancang memiliki rumah pertama dalam masa terdekat kerana masih muda serta kurang berkemampuan.

"Seperti yang ramai ketahui harga tanah dan rumah di sini bukan murah selain menuntut komitmen tinggi untuk satu tempoh yang lama. Pada usia 27 tahun ketika itu, seperti pasangan muda lain kami lebih selesa untuk terus menyewa.

"Tidak pernah terlintas pun untuk memiliki kediaman sendiri apatah lagi rumah yang dibina atas tanah sendiri.

"Namun, mungkin rezeki kami apabila mentua mahu menjual sebidang tanah kosong bersebelahan rumahnya. Selepas berfikir secara mendalam, kami memutuskan untuk membeli tanah itu dan membina rumah," katanya.

PEMBINAAN dijalankan secara berperingkat.
PEMBINAAN dijalankan secara berperingkat.

Menurutnya, pembinaan rumah ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan kerana ia dijalankan secara berperingkat mengikut bajet sedia ada.

"Secara jujurnya membina rumah sendiri memerlukan kos besar. Dengan menggunakan simpanan sendiri, kami perlu betul-betul teliti dalam pengurusan kewangan untuk memastikan pembinaan rumah ini tidak terbengkalai.

"Saya bersyukur kerana mentua yang memahami keadaan kami banyak membantu sehingga rumah ini siap sepenuhnya," katanya.

Jelasnya, oleh kerana menggunakan khidmat kontraktor di kawasan sekitar, dia mengakui rumah yang dibina kurang sempurna seperti yang diinginkan.

"Antara masalah yang dikenal pasti adalah dinding dan lantai tidak rata. Atas sebab itu rumah ini dinamakan sebagai 'Rumah Senget'.

"Bagaimanapun, masalah ini tidak mengganggu keselesaan kami yang menghuni rumah ini, jadi kami terima seadanya kerana menyedari kemampuan kontraktor terbabit.

"Insya-Allah sekiranya mempunyai bajet lebih, kami akan baiki pada masa hadapan. Buat masa ini kekurangan rumah itu berjaya ditutup dengan perabot dan cat," katanya.

RUMAH pertama milik Mimie Nabila dan suami.
RUMAH pertama milik Mimie Nabila dan suami.

Tambahnya, sebaik rumah itu siap, dia dan dan suami mula membuat pengubahsuaian dan dekorasi.

"Pada ketika itu kami bertungkus-lumus menghias rumah dengan mengecat, memasang lantai 'SPC' dan membuat susun atur perabot kerana ingin menyambut Aidilfitri (tahun lalu) di rumah baharu.

"Sebagai kaki 'deko' saya teruja dapat menghias rumah sendiri mengikut cita rasa saya dan suami. Dekorasi yang dibuat tidak keterlaluan, namun masih dapat memberi keselesaan bukan sahaja kepada kami, malah tetamu yang berkunjung.

"Alhamdulillah, impian kami tercapai, apabila dapat masuk rumah ini sehari sebelum sambutan Aidilfitri tahun lalu," katanya.

Katanya, dia sangat menyukai kawasan rumahya itu kerana mempunyai suasana seperti berada di sebuah kampung walaupun terletak berhampiran bandar.

"Hubungan dengan jiran juga amat baik dan budaya 'rewang' ketika kenduri kahwin masih diamalkan sehingga hari ini.

"Selain itu, lokasinya juga agak strategik kerana terletak antara Shah Alam dan Klang serta berhampiran Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

"Malah, rumah ini juga berhampiran pelbagai kemudahan seperti stesen transit aliran ringan (LRT) masih dalam pembinaan, sekolah rendah, masjid dan sebagainya," katanya.

Mengimbas kembali keputusan mereka membeli tanah dan membina rumah sendiri pada dua tahun lalu, masih dianggap seperti mimpi sehingga hari ini.

"Siapa sangka dari angan-angan kosong, ia menjadi kenyataan. Kami amat bersyukur diberikan rezeki ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 6:20 AM