Nurul Husna Mahmud


SAJIAN nostalgia setiap kali raya bagi penyedia kandungan masakan di YouTube, Nur Hidayatul Asmaa Sazli, 31, ialah resipi rendang ayam ibunya, Noor Atikah Mansur.

Katanya sajian itu adalah menu wajib disediakan setiap kali beraya di kampung halamannya di Kulim, Kedah. Meskipun tidak dapat meraikan raya tahun ini bersama keluarga besar, namun sajian itu disediakan bagi memeriahkan suasana perayaan tatkala berjauhan.

"Tahun ini saya berkongsi resipi keluarga iaitu rendang ayam yang dipelajari daripada ibu dan dikongsi untuk pengikut kandungan sebuah YouTube kerana itu sajian kegemaran kami sekeluarga.

"Meskipun banyak penyedia 'content' masakan berkongsi resipi rendang, saya percaya masing-masing ada cara tersendiri menyediakan sajian kegemaran ketika raya itu. Alhamdulillah ramai yang memberi maklum balas positif mengenai resipi berkenaan.

"Tidak kurang juga ada pengikut saya mengatakan resipi dikongsi tidak ubah seperti mana mereka melihat ibu masing-masing menyediakan sajian itu ketika raya. Saya rasa itu satu penghargaan diterima selaku Youtuber," katanya.

Pada tahun ini selain resipi rendang, Nur Hidayatul Asmaa berkata, resipi kuah kacang keluarga mentuanya dari Kuala Terengganu turut dikongsi bagi mengubati kerinduan terhadap keluarga mentua.

"Sebelah suami pula, saya sangat sukakan hidangan kuah kacang ibu mentua. Pada saya apabila berkongsi resipi, saya lebih gemar berkongsi sajian yang dekat dengan keluarga kerana mereka ini menjadi sumber rujukan kepada setiap video yang dihasilkan.

"Apatah lagi raya tahun ini tidak dapat pulang ke kampung, dengan menyediakan hidangan ini di atas meja, baik saya atau suami dapat ubati kerinduan terhadap keluarga masing-masing," katanya.

Mengimbas pengalaman beraya di kampung, ibu dua cahaya mata itu berkongsi pengalaman sejak zaman kanak-kanak sehinggalah sudah berumah tangga, rutin menyediakan ketupat daun palas secara bergotong-royong antara detik paling menyeronokkan.

TIDAK dapat berkumpul ketika raya dengan keluarga seperti tahun lalu.
TIDAK dapat berkumpul ketika raya dengan keluarga seperti tahun lalu.

"Kalau balik Kulim, nenek sebelah ayah akan kumpulkan anak-beranak dia termasuklah cucu-cucunya untuk menganyam ketupat daun palas. Ketupat ini isinya adalah pulut dan 'regu' (padanan) makan bersama rendang ayam atau daging.

"Selain itu ada juga kuah kacang dan biskut tradisi seperti semperit dan biskut kelapa akan dihidangkan untuk dinikmati keluarga sendiri mahupun orang yang datang beraya.

"Saya sendiri memiliki lapan adik-beradik dan apabila kami pulang dengan keluarga masing-masing memang 'full house' rumah nenek kami. Itu yang membuatkan suasana setiap kali raya meriah apabila pulang ke kampung," katanya.

Tahun ini juga kata Nur Hidayatul Asmaa, dia berkongsi lebih 20 resipi tradisi dan ia disediakan berdasarkan permintaan pengikutnya yang gemarkan sajian mudah dan biasa dinikmati keluarga.

NUR Hidayatul Asmaa bersama anak dan suami ketika raya tahun lalu.
NUR Hidayatul Asmaa bersama anak dan suami ketika raya tahun lalu.

"Ketika memikirkan resipi untuk 'pengikut,' saya lebih gemar resipi yang mudah tetapi terkenal. Mereka akan tertarik dan berasa penyediaan biskut berkenaan mudah.

"Tahun ini juga satu percubaan berani apabila berkongsi lebih banyak resipi sejak puasa dengan seminggu memuat naik kira-kira empat hingga ke lima video resipi. Sebelum itu seminggu hanya memuat naik satu dan dua resipi sahaja.

"Namun saya perasan jumlah pengikut juga naik dan mungkin juga pandemik menyebabkan lebih ramai mahu belajar selain sediakan sendiri sajian untuk dinikmati di rumah," katanya.

Tidak kurang juga ada antara pengikut setianya turut memulakan perniagaan makanan dengan menggunakan resipi dikongsi beliau.

"Selain didekati pelbagai individu mahu saya sediakan content untuk produk mereka, ada juga kalangan netizen yang kirim e-mel bertanyakan sama ada saya menjual sajian yang dikongsi dalam YouTube.

"Tetapi saya menolak dengan baik mengatakan saya tiada kapisiti ketika ini kerana fokus menyediakan kandungan untuk penonton. Tidak kurang juga minta saya halalkan resipi kerana mereka berniaga menggunakan sajian terbabit. Memang itu hasrat saya berkongsi mahu penonton dapat manfaat dan jika mereka mula mencari rezeki dengan resipi dikongsi, saya bersyukur sangat," katanya.

RENDANG ayam resipi ibu adalah sajian nostalgia buat keluarganya.
RENDANG ayam resipi ibu adalah sajian nostalgia buat keluarganya.

Dalam cabaran meraikan raya tanpa kehadiran keluarga tercinta, kata Nur Hidayatul Asmaa, dia diuji apabila ibu tercinta dijangkiti Covid-19 dua minggu lalu selepas ada kontak rapat dengan ahli keluarga.

"Tahun ini paling mencabar kerana ibu saya ditahan di hospital kerana Covid-19. Peparunya dijangkiti dan ketika ini terpaksa bergantung dengan oksigen.

"Meskipun orang tua saya tinggal di Cheras, kami tidak dapat berkumpul kerana keluarga di sana terpaksa dikuarantinkan. Kami beraya di rumah dan makan sendiri sahaja," katanya Youtuber Limau Nipis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:00 AM