SIFAT bakhil enggan berkongsi resipi keluarga antara punca makanan tradisional makin pupus.
SIFAT bakhil enggan berkongsi resipi keluarga antara punca makanan tradisional makin pupus.
Aniza Zainudin


BISKUT makmur, kuih bangkit, sugi, tat bunga, kuih siput dan gunting, baulu lapis, agar-agar kering dan halwa maskat antara kuih raya tradisional yang semakin luput daripada lidah masyarakat Melayu.

Hilang minat, tiada pendedahan awal mengenai makanan tradisional dan sikap lebih mengagungkan makanan luar dianggap penyumbang ke arah kepupusan sajian istimewa sempena Aidilfitri ini.

Pakar Makanan Warisan Negara, Prof Madya Dr Shahrim Karim turut menegaskan, sajian tradisi ini kian hilang gara-gara peribadi masyarakat sendiri.

“Seiring dengan perkembangan dunia yang mendedahkan kita kepada dunia luar, membuatkan masyarakat lebih gemar mencuba biskut raya moden berasal dari luar.

“Tidak keterlaluan sekiranya saya melihat bahawa orang Melayu sendiri tidak berbangga dengan makanan warisan. Sebaiknya dalam budaya makanan, kita perlu mencontohi masyarakat Jepun yang sentiasa berbangga dan memperkasakan sajian warisan meskipun bergelar negara maju.

“Kita lebih mengagungkan makanan luar sehinggakan tidak mengetahui nama atau jenis makanan yang ada, sekali gus ia terus dilupakan.

PAKAR Makanan Warisan Negara, Prof Dr Shahrim Karim.
PAKAR Makanan Warisan Negara, Prof Dr Shahrim Karim.

“Saya melihat peranan ibu bapa penting dalam mendidik dan memperkenalkan makanan dan sajian tradisional Melayu kepada anak, bukan saja juadah sempena perayaan bahkan hidangan harian.

“Pengenalan awal ini mampu membuatkan generasi muda menghargai keunikan cita rasa dan selera warisan nenek moyang.

“Lebih menyedihkan apabila kita membawa makanan tempatan ke luar negara, masyarakat luar lebih menghargai dan menikmati hidangan Melayu yang disifatkan eksotik berbanding rakyat tempatan.

“Penerimaan ini membuktikan sajian Melayu tradisional termasuk kuih dan biskut raya memiliki potensi untuk dibawa ke peringkat antarabangsa, cuma kita perlu lebih kreatif untuk memasarkannya,” katanya ketika ditemui.

KUIH siput yang kian dilupakan.
KUIH siput yang kian dilupakan.

Menurut Dr Shahrim, sifat bakhil individu yang berkemahiran menghasilkan menu tradisional untuk dikongsikan kepada orang lain turut menyumbang kepada kepupusan makanan warisan.

Disifatkan ada segelintir pewaris resipi khuatir sekiranya resipi yang dikongsi akan dikomersialkan. Sedangkan ia satu daripada cara pemasaran untuk memastikan kelangsungan hidangan berkenaan.

Ujarnya, perkongsian resipi tradisional keluarga selalunya akan berlaku dalam kalangan ahli keluarga saja.

Merujuk kepada perkongsian resipi menerusi atas talian, beliau berkata, ia bersesuaian dengan trend semasa yang diguna pakai masyarakat hari ini.

“Saya melihat idea berkongsi ilmu dan resipi makanan melalui laman sosial adalah sesuatu yang bagus meskipun bayaran dikenakan.

“Ia juga satu punca pendapatan bagi individu di samping mengekalkan makanan tradisi, namun perlu diingatkan ‘guru’ berkenaan seharusnya jujur dalam perkongsiannya.

KUIH bangkit antara yang popular.
KUIH bangkit antara yang popular.

“Apabila ‘guru’ itu tidak jujur dan menyembunyikan ramuan atau cara tertentu, pastinya hasil tidak menjadi. Apabila makanan tidak menjadi, mereka akan hilang kepercayaan orang ramai.

“Rekod atau dokumen mengenai kuih dan biskut raya tradisional sangat jarang didokumentasikan mahupun penganjuran pertandingan berkaitan sering diadakan.

“Kuih raya memerlukan adunan dan ukur timbang yang tepat bagi menghasilkan kuih yang sempurna. Atas faktor ini, masyarakat kita melihat ia agak rumit untuk disediakan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 5:00 AM